Anak Jaguh Silat Negara, Seru Ayah Ketika Jalani Rawatan Kanser. Netizen Sebak & Mendoakannya!

Share

Melihat anak kecil yang tidak bermaya menangis saat menerima rawatan penyakit kanser yang dihidapinya, tentu sahaja membuatkan hati kita mudah tersentuh malah menitiskan air mata.  Sayu melihat derita yang terpaksa ditanggung oleh anak sekecil itu.

Tular di laman sosial video Furqan Al Haq iaitu anak kepada jaguh silat negara, Mohd Al-Jufferi Jamari berada di hospital ketika menerima rawatan penyakit kanser.

Menerusi video itu, kelihatan Furqan menahan sakit sambil memanggil bapanya yang kemudian cuba menenangkannya.

Video berkenaan turut dikongsikan di laman Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) menerusi hantaran di Facebook (FB) dengan meminta orang ramai mendoakan kesihatan Furqan.

“Assalamualaikum kepada semua warga silat seantero dunia.

“Mohon doakan anakanda kepada ikon silat negara, Mohd Al -Jufferi Jamari diberi kesembuhan.

“(Furqan) Yang sedang menghadapi kanser sedang berada di hospital dan agak kritikal,” tulisnya.

Perkongsian itu nyata meruntun hati wargamaya dan rata-ratanya tidak henti-henti netizen mendoakan agar Furqan diberi kesembuhan dan ketabahan buat Mohd Al -Jufferi sekeluarga.

Antara komen yang ditinggalkan oleh wargamaya antaranya;

“Allahuakbar.. semoga diberi kesembuhan dgn segera diangkat segala kesakitan dgn segera..sembuh kan ank ini ya Allah.. hapuskan segala kesakitan dlm dirinya… insan yg terpilih Allah uji walaupun masih kecil.. semoga ada hikmah nya nanti.. insyallah,” doa Khatijah Cheram

Begitu juga Persatuan Silat Gayong Patani Kedah juga turut mendoakan, “Yaa allah angkat kan penyakit itu dari anak ini supaya dia sembuh sedia kala aminnn kami gayong patani tokpa negeri kedah akan membuat bacaan yasin buat kesembuhan anak jufferi supaya dipermudahkan urusan nya.”

“Sedih tengok…anak kecil diuji dgn ujian kesihatan yg berat.Semoga Allah berikan kesembuhan kpdnya,” luah Mursyid Mustafa.

Terdahulu, Mohd Al-Jufferi Jamari ada memuat naik hantaran di Instagram (IG) mengenai keadaan Furqan yang sedang bertarung nyawa akibat kanser.

Menurut Mohd Al-Jufferi, anaknya yang berusia tiga tahun itu kini berada di hospital.

Katanya, Furqan seorang anak yang kuat dan hebat kerana masih bersemangat dan berjuang untuk terus hidup.

Sebagai ayah, Jufferi berkata, dia dan isteri nampak kekuatan Furqan tatkala dimasukkan ke hospital.

“Hari ini seharian tak tidur. Dari start (mula) program kemerdekaan di Kuantan hingga pagi ni di hospital. Time to sleep (masa untuk tidur) jap (sekejap) ya Haq.

“Apa-apa Haq kejut ayah okay. Awak anak yang hebat. Hanya ayah dan mummy sahaja yang nampak kekuatan kamu. Teruskan berjuang,” tulisnya.

Hantaran berkenaan turut mendapat perhatian pengarah filem, Syamsul Yusof dan Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (PPSM) Yusuf Azmi yang mendoakan Furqan kuat dan kembali sihat.

Mereka turut berharap orang ramai dapat mendoakan segala urusan Furqan dipermudahkan.

Sumber : myMetro & facebook Persatuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka)

ARTIKEL MENARIK : Adunan Tak Naik? Wanita Ni Kongsikan Sebabnya Pada Yis!