Anak Bongsu Rangkul 4 Anugerah Akademik, Raja Azura “Hadiah Istimewa Sempena Birthday Ke 51 Tahun”

Share

Kejayaan anak bongsunya meraih empat anugerah terbaik dalam bidang akademik dan kokurikulum menjadi hadiah istimewa buat pengacara popular, Raja Azura sempena ulang tahun kelahirannya ke-51 pada 18 Ogos lalu.

Anak bongsunya, Puteri Mia Maizura, 18, yang juga bekas pelajar Sekolah Seni Kuala Lumpur memperoleh Anugerah Pencapaian Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022, Anugerah Ikon Kokurikulum, Anugerah Tokoh Bidang Teater dan Anugerah Tokoh Murid 2022.

“Kejayaan Mia adalah hadiah istimewa sempena menyambut ulang tahun kelahiran ke-51 pada 18 Ogos lalu.

“Alhamdulillah, saya dikurniakan anak-anak yang mementingkan pelajaran selain aktif menyertai pelbagai aktiviti kokurikulum.

“Mia mempunyai minat yang sama seperti saya. Dia suka berlakon teater hingga pernah mewakili Malaysia dan meraih pelbagai anugerah,” katanya.

Menurut Raja Azura, selepas Mia meraih 5A dalam SPM dia bakal melanjutkan pelajaran ke universiti bulan depan.

“Mia bakal melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan Diploma Teater. Sebenarnya cita-cita Mia nak jadi peguam tapi disebabkan salah satu mata pelajaran tidak melepasi syarat kelayakan, jadi dia mohon jurusan teater.

“Mungkin sudah tertulis rezeki dia. Mana tahu satu hari nanti dia dapat meluaskan kerjaya yang mak dia buat selama ini,” katanya.

Sumber : Harian Metro, Instagram Raja Azura