“Anak Baru 6 Bulan, Tak Sangka Bapanya Pergi Terlalu Awal.” Sempat BerwhatsApp, Gambar Swafoto Kiriman Terakhir Arwah Pada Isteri

Share

Isteri  Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya, pegawai komando 11 Rejimen Gerup Gerak Khas yang maut terkena tembakan ketika demonstrasi latihan di Kem Lok Kawi, Sabah tidak menyangka perbualan menerusi aplikasi Whatsapp pagi tadi menjadi perbualan terakhir antara mereka.

Malah Nourshafinar Harun berkata, dia sebak apabila mengenangkan dalam perbualan itu pada 8.15 pagi, suaminya sempat menghantar gambar swafoto dirinya sebelum mengadakan demonstrasi itu.

 

Katanya, arwah seorang yang positif dan seperti biasa berhubung dengannya sama ada sebelum atau selepas latihan dijalani tanpa menunjukkan sebarang tanda pelik.

“Tapi hari ini saya tak sangka ia kali terakhir saya berbalas mesej menerusi aplikasi Whatsapp dengan arwah. Saya sempat berbual dengannya sekejap sekitar 8 lebih dan arwah ada menghantar gambar swafoto dirinya yang sedang bersiap sedia untuk melakukan demonstrasi itu.

“Namun tak sampai sejam, saya terima panggilan memaklumkan arwah meninggal dunia terkena tembakan ketika melakukan demonstrasi berkenaan. Saya tak sangka itulah gambar swafoto terakhir diterima daripada arwah,” katanya.

 

Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa arwah lebih seminggu lalu ketika menghantarnya ke lapangan terbang untuk menaiki penerbangan ke Sabah.

Menurut Nourshafinar, dalam keadaan anaknya yang baru berusia enam bulan, dia merasakan ini dugaan berat buat mereka.

“Anak kami baru saja berusia enam bulan, saya sangat-sangat tak sangka bapanya pergi terlalu awal,”luahnya.

Sementara itu,ibu arwah memberitahu, pagi sebelum Mohd Zahir melakukan aksi demonstrasi di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, beliau sempat memaklumkan kepada ibunya, Rusunjan Mohamad, 57, akan ke pasar membeli cenderahati buat isteri dan anaknya, terlebih dahulu.

Selain itu, arwah juga memaklumkan persembahan hari ini adalah show (persembahan) terakhirnya apabila menghubungi Rusunjan menerusi WhatsApp pada 7 pagi.

“Saya sangat gembira kerana malam ini akan dapat bertemu dengannya dan saya sudah ke pasar untuk membeli bahan masakan kerana kami akan buat jamuan keluarga.

“Namun ketika berada di pasar, saya terima panggilan daripada pejabat Kem Lok Kawi memaklumkan kejadian yang menimpa anak saya.

“Ia sangat mengejutkan tetapi sebagai ibu, saya reda dengan apa yang berlaku. Saya sebenarnya berharap dia dikebumikan di sini tetapi atas permintaan isterinya, kami bersetuju untuk pengebumian di Perak,” katanya.

 

 

Rusunjan berkata, sepanjang seminggu anak sulung daripada tiga beradik itu di Kota Kinabalu, mereka tidak berkesempatan untuk bertemu dan hanya berhubung menerusi WhatsApp dan panggilan telefon.

“Beberapa kali juga saya beritahu dia mahu bertemu di Kem Lok Kawi namun, arwah memaklumkan dia sangat sibuk dan berjanji akan pulang ke rumah hari ini selepas selesai tugasan,” katanya.

 

Allahyarham maut terkena tembakan dalam demonstrasi di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu Sabah, hari ini.

Arwah yang bertugas di Kem Sungai Udang, Melaka adalah anak kepada pelakon, AR Badul. Arwah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Queen Elizabeth pada 9.28 pagi tadi

Sumber: Harian Metro