Anak Balik Sekolah, Cikgu Ni Pesan Agar Ibu Ayah Cuba Tanyakan Soalan-soalan Ni. Sila Takenote!

Share

Mendengar celoteh anak-anak ketika pulang daripada sekolah memang macam-macam kisahnya. Selain kita hanya mendengar sahaja, ada baiknya diajukan beberapa soalan ini sebagaimana yang disarankan oleh Cikgu Mohd Fadli Salleh. Menurutnya, daripada soalan-soalan itu ibu ayah dapat memahami perasaan anak-anak di sekolah. Jom ketahui apakah soalan-soalan tersebut.

BILA ANAK PULANG DARI SEKOLAH, APA YANG PERLU IBUBAPA TANYA?

1. Makan apa di sekolah?

– Sangat penting untuk memantau pemakanan anak-anak agar mereka membeli makanan yang sihat. Lebih-lebih lagi, kita kena tahu mungkin anak kita tidak makan hari tu atas beberapa sebab ; bekal makanan tumpah, duit hilang atau duit kena pau.

– Atau mungkin juga anak kita meminjam duit kawan kerana duit hilang. Kena tahu dengan siapa dia pinjam, bayar semula esok hari.

– Sangat aku galakkan ibu-ibu yang gemar memasak dan membekalkan bekalan makanan untuk anak-anak mereka untuk memasak lebih. Ajar anak berkongsi dengan kawan mereka.

2. Beli apa disekolah?

– Ibubapa perlu tahu ke mana anak mereka membelanjakan wang saku. Ada murid, sampai sahaja di sekolah, terus habiskan wang saku!

– Paling ramai murid tewas dengan koperasi/kedai buku sekolah. Suka betul mereka membeli kat sana. Pembaris dah ada 3 dia beli lagi dua.

– Beli macam-macam benda tidak berfaedah. Sampai waktu rehat, dia dah kelaparan dan mula meminjam/meminta duit kawan.

– Malah, ada murid berbulan tidak berbelanja di sekolah. Bukan kerana duit mereka dibelanjakan awal, sebaliknya ‘diminta’ oleh kawan mereka. Murid jenis pendiam, ibubapa pula tidak bertanya. Maka kes sebegini lambat sampai ke pengetahuan cikgu untuk tindakan lanjut. Apa kau ingat cikgu ada kuasa sakti nak tahu semua benda?

3. Belajar apa hari ini?

– Penting soalan ini agar murid ‘recall’ balik apa yang mereka belajar di sekolah. Apa yang guru ajar, kemudian ‘dipanaskan’ oleh ibubapa dirumah menjadikan pembelajaran mereka hari itu kekal diingatan. Kalau tidak, hanya menjadi memori sementara. Tanya ya.

4. Ada kerja rumah atau tidak?

– Soalan ini biasanya hampir semua ibubapa bertanya pada anak. MALANGNYA, mereka sekadar bertanya sahaja. Tidak membantu bimbing anak untuk membuat kerja rumah.

– Maaf katakan, ramai murid menipu mak ayah bahawa tiada kerja rumah diberikan dan mak ayah terus percaya tanpa periksa. PERIKSA beg anak dan setiap buku untuk pastikan semua kerja rumah mereka disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.


.

5. Tolong periksa beg anak. Tolong?

– Tolonglah. Sesekali periksa la beg anak-anak. Bekas pensil mereka, alat tulis mereka. Ada murid dari golongan berada berbulan-bulan datang sekolah tanpa alat tulis. Meminjam je kerja dia setiap hari.

– Ada yang tak bawa buku mengikut jadual. Dia main letak ikut suka dia je. Tolong la bantu dia susun jadual.

– Ada murid bawa mainan ke sekolah tanpa pengetahuan mak ayah. Malah, pernah berlaku murid bawa kucing dalam beg nak tunjuk kat kawan-kawan! Ini bukan gurauan, ini kejadian benar.

6. Barang ini milik siapa?

– Kalau perasan ada pertambahan alat tulis dan buku, soal anak siapa punya. Kembalikan semula kepada pemilik asal barang-barang itu.

– Ada murid suka ambil barang kawan dan bawa pulang. Yang minta barang kawan pun ramai juga, kawan tu terpaksa bagi kerana diugut, ‘kalau awak tak bagi pensil tu, saya tak nak kawan’.

– Ugutan ini walau nampak remeh, tapi sangat berkesan kat budak-budak. Aku tahulah, aku kan cikgu.

7. Apa benda yang seronok/tak seronok berlaku hari ini di sekolah?

– Sangat penting mendengar jawapan anak. Membuat mereka dihargai. Membuat mereka rasa diri mereka penting.

– Kurangnya komunikasi begini dengan anak membuatkan mereka menjarak. Dan mencari rakan sebaya untuk meluahkan segalanya. Dan akhirnya mereka mula ikut-ikut kawan, perangai mula nakal dan kita susah nak didik mereka.

– Dari respon mereka kita cuba teruskan keseronokan mereka ke sekolah dan selesaikan apa yang tak seronok itu.

sumber : Mohd Fadli Salleh