Autisme bermaksud satu gangguan dimana kanak-kanak mempunyai kesukaran dalam interaksi sosial dan komunikasi serta tingkah laku terhad dan melakukan sesuatu perkara berulang-ulang. Simptom ini mula ditunjukkan oleh anak-anak seawal umur 3 tahun lagi.
Memang diakui tidak mudah untuk mendekati kanak-kanak autisme kerana mereka tidak suka disentuh, tidak mahu bertentang mata, taksub dengan objek yang berputar seperti kipas dan seolah-olah berada di dalam dunia sendiri.
Melalui pendekatan betul, kanak-kanak autisme yang sering dianggap bermasalah sebenarnya boleh belajar dengan baik dan berdikari. Selagi kita belum kenal dan tahu mengapa mereka menunjukkan kelakuan ‘pelik’, jangan cepat memberi label kepada kanak-kanak autisme hanya kerana mereka dilahirkan begitu.
Mereka bukanlah pembawa masalah, sebaliknya kehadiran mereka sebenarnya memberi peluang kepada kita untuk berfikir lebih kreatif menjaga dan mendidik golongan ini.
Ciri-ciri Autisme :
a) Mempunyai masalah bercakap dan memahami percakapan orang
b) Lebih suka bermain bersendirian atau mengasingkan diri – biasanya kekecewaan ditunjukkan melalui tindak balas negatif seperti mengamuk, marah-marah atau perlakuan yang merosakkan diri sendiri
c) Suka melakukan perkara sama (berulang) dan tidak mahu menerima perubahan. Mereka mudah terganggu jika ada sebarang perubahan dan enggan melakukannya.
d) Sangat sensitif pada rasa, bau dan bunyi yang menyebabkan mereka menunjukkan perlakuan di luar kawalan
e) Menunjukkan minat yang pelik, seperti terhadap peta, peralatan elektronik dan sebagainya
Kesan kepada pembelajaran mereka :
a) Kurang tumpuan dan fokus dalam persekitaran dan pembelajaran
b) Pertuturan kurang jelas dan sukar difahami
c) Mengelak daripada membuat kerja dengan cara menangguh, lari, menanggis atau ‘buat perangai’
d) ‘Stimming’- perlakuan merangsang diri sendiri kepada tingkah laku berulang-ulang tanpa tujuan tertentu. Contohnya, berjalan mundar-mandir, ketawa di luar konteks, bermain dengan jari dan sebagainya.
“Apabila kanak-kanak mula menunjukkan ‘perangai’, semua yang hendak diajar tidak sampai. Pendekatan dulu yang menghukum anak tanpa mengambil kira punca tidak boleh digunakan kerana lama kelamaan mereka akan lali dengan hukuman. Sebaliknya, fahami apa yang cuba disampaikan anak melalui perlakuan ditunjukkan.
“Namun pendekatan ini tidak sesuai kerana kita perlu melihat punca kepada satu-satu perlakuan. Ini penting kerana kanak-kanak ini tidak pandai bergaul dan sesetengahnya lambat bercakap, jadi mereka tidak tahu bagaimana hendak memberitahu masalah atau gangguan dihadapi,” jelas Puan Intan Miranti yang merupakan Perunding Bebas Pendidikan Kanak-kanak Autisme semasa bengkel kesedaran autisme: menangani isu tingkah laku kanak-kanak autisme anjuran Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Keadaan ini yang selalunya membingungkan ibu bapa, penjaga dan guru. Namun, beberapa strategi boleh kita dilakukan untuk mengatasi masalah ini iaitu:
a ) Gunakan cara yang mudah difahami, contohnya gambar untuk berinteraksi seperti buku berwarna-warni ataupun kad bergambar (flash cards). Pada peringkat awal, gunakan bantuan visual selama satu hingga dua minggu, mengikut keupayaan anak anda. Dengan cara ini, kita dapat melatih mereka mengolah deria visual mereka dengan lebih baik dan dapat menarik perhatian mereka untuk belajar dengan mudah.
b) Ajari anak cara sesuai untuk meminta sesuatu dengan beratur mengikut susunan ( how to takes turn ) walaupun antara dia dan adiknya sahaja di rumah. Gunakan cara hubungan komunikasi yang baik dengan ajari mereka mengucapkan terima kasih dan menggunakan pandangan mata ( eye contacts) dengan anda. Cara ini akan melatih mereka untuk bertenang dan bersabar dalam setiap perkara yang mereka hendak lakukan. Jika tidak, dia akan kembali ke cara negatif dengan mengamuk apabila permintaannya tidak dipenuhi.
c) Alunan muzik dan disertai pergerakan badan yang tersusun seperti di dalam kelas khas bagi melatih kebolehan tindak balas terhadap arahan yang mudah di dalam pembelajaran. Contohnya, apabila bait lagu menyuruh mereka please sit down and turn around, mereka akan melakukan setiap langkah itu satu per satu mengikut urutan dan meniru apa yang guru mereka lakukan walaupun dalam keadaan yang lambat. Jika dipraktis setiap minggu, kepantasan tindak balas gerakan tubuh ini akan meningkat.
c) Gunakan konsep pembayang awal. Kalau mahu menghentikan sesuatu aktiviti, beri amaran bahawa ia akan ditamatkan dalam masa beberapa minit supaya kanak-kanak itu bersedia. Jangan berhenti mendadak kerana walaupun mereka tahu bercakap, kanak-kanak autisme ada masalah kenali konsep masa.
Contohnya ‘dalam kiraan lima kita akan berhenti bermain’. Guru perlu mengira penurunan masa dengan terang supaya kanak-kanak autisme mendengarnya. Konsep pembayang awal ini juga memberi peluang kanak-kanak autisme bersedia untuk peralihan aktiviti.
Bagi kanak-kanak normal, kepelbagaian rutin akan menambah keseronokan, tapi bagi kanak-kanak autisme, perubahan rutin membuatkan mereka berasa cemas dan gelisah, terutama yang kurang faham bahasa. Pendekatan ini perlu dilakukan secara konsisten sama ada di sekolah atau rumahbagi mendapat perubahan yang memberangsangkan.
Selamat maju jaya menjadi ibubapa yang kreatif !
Sumber: www.excelqhalif.com