Pantang cuti sekolah, mesti akan ada orang yang mengadakan majlis perkahwinan atau pertunangan. Mana tidaknya, barulah ibu ayah boleh ambil cuti lebih sikit untuk terus berjalan-jalan dan tak rasa bersalah untuk pontengkan anak sekolah!
Tidak terkecuali, pelakon cantik manis orangnya, Reen Rahim mendedahkan dia akan menamatkan zaman bujang pada hujung bulan ini.
Bagaimanapun, Reen mendedahkan permintaan ibunya terhadap bakal suami untuk majlis perkahwinan yang akan diadakan tidak lama lagi.
Bukan wang mencecah puluhan ribu ringgit, sebaliknya hanya senaskah al-Quran dan barang kemas untuk dijadikan sebagai hantaran.
“Saya tak pasti boleh cerita atau tidak… tetapi ketika bertunang, ibu saya jawab mengenai hantaran. Ibu kata: ‘Anak aku tak ternilai’ dan menurut ibu dia hanya mahu bakal suami menghadiahkan senaskhah Al-Quran yang telah dikhatamkan.
“Selain Al-Quran, ibu juga meminta barang kemas serba satu, kiranya satu set untuk saya,” kata pelakon berusia 34 tahun itu.
Mengulas tentang perkara tersebut, pelakon drama Pujaan Hati Kanda itu tidak membantah apa ditetapkan oleh ibunya terhadap bakal suami yang juga seorang ahli perniagaan.
“Saya sebenarnya suka (permintaan ibu) sebab saya tidak boleh minta tunang jadi suami yang baik… suami yang boleh jaga saya, tidak aniaya saya. Saya tidak boleh minta itu dengan bakal suami.
“Apa yang saya boleh buat adalah meminta pada Allah SWT. Jadi dengan Al-Quran itu, saya yakin ia dapat memberi laluan kepada apa yang saya inginkan,” ujarnya.
Sementara itu, Reen memaklumkan bakal suaminya yang turut bekerja dalam bidang seni sedang menghabiskan bacaan 30 juzuk dengan meminta pandangan golongan yang arif.
“Dia ok dengan permintaan ibu saya. Kalau di set penggambaran, selalu nampak dia baca dan meminta pandangan orang lain mengenai bacaannya,” kongsinya lagi.
Terdahulu, dia sering memuat naik posting meluangkan masa untuk belajar mengaji bersama ahli keluarganya sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Semalam, pemilik nama Noreen Ashikin Abdul Rahim itu mengumumkan bakal mengakhiri zaman bujang dengan jejaka pilihan hatinya yang dikenali sebagai Mr. H pada hujung bulan ini.
Sumber: Gempak , gambar Instagram Reen Rahim