Nama Ana Raffali suatu ketika pernah menjadi perhatian ramai apatah lagi selepas dinobatkan pemenang utama di Anugerah Juara Lagu ke-25 menerusi lagu Tolong Ingatkan Aku sekali gus mencipta kejutan apabila berjaya menewaskan nama-nama hebat dalam industri muzik tempatan.
Penyanyi Ana Raffali juga turut popular menerusi lagu Kalau Berpacaran, Hujan Bunga Di Kuala Lumpur dan Hari Hari Hari Raya. Pun begitu nama Ana Raffali seakan hilang dari radar dunia muzik tempatan semenjak mendirikan rumah tangga pada tahun 2012.
Baru-baru ini berkongsi berita gembira, penyanyi Ana Raffali yang juga merupakan ibu kepada 2 orang anak lelaki menzahirkan rasa syukur selepas akhirnya dia berjaya menamatkan pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Teknologi Pengajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Berita gembira itu dimaklumkan menerusi Instagram. Menerusi posting sama, penyanyi yang popular menerusi lagu Tolong Ingatkan Aku itu turut berkongsi swafotonya sewaktu menghadiri majlis konvokesyen yang berlangsung pada Sabtu.
“Alhamdulillah, syukur saya dianugerahkan Sarjana Pendidikan dalam bidang Teknologi Pengajaran dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA).
“Terima kasih kepada semua yang memberikan kepercayaan dan bantuan sepanjang pengajian saya,” tulisnya pada ruangan kapsyen.
Ana turut merakamkan ucapan penghargaan buat semua pihak yang telah menyokong dan membantunya sepanjang pengajian.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata peminat dan kenalannya tumpang rasa gembira dengan pencapaiannya malah turut mendoakan agar Ana akan terus berjaya di masa akan datang.
Sumber : Anaraffali
ARTIKEL MENARIK : Selepas Balik Haji, Rico Rinaldi Tolak Tempahan Baju Seksi. Ramai Puji & Doakan Istiqomah!