Semalam seorang jururawat dan pemandu Jabatan Kesihatan Pahang (JKNP) maut manakala seorang doktor cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit kemalangan membabitkan tiga kenderaan termasuk sebuah lori tangki.
Kejadian jam 10 pagi semalam itu menyebabkan Mohd Zuhairi Abdullah, 35, yang memandu kenderaan milik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Julayha Kudus, 39, jururawat di Pejabat Kesihatan Daerah Pekan, yang duduk di bahagian penumpang belakang, maut di lokasi kejadian.
Manakala Dr Muhd Ikhwan Ramlee, 29, cedera di kepala namun difahamkan berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan.
Mereka yang bertugas di Pejabat Kesihatan Daerah Pekan, dilaporkan dalam perjalanan ke perkampungan Orang Asli Api Larat di Nenasi, Pekan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan di sana.
Menurut Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Razli Mohd Yusof , kemalangan dipercayai berlaku apabila lori tangki yang dipandu lelaki berusia 34 tahun terbabas dan masuk ke laluan bertentangan, lalu bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dinaiki mangsa dari arah Pekan menghala ke Rompin.
“Lori tangki itu juga dipercayai turut melanggar sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu seorang suri rumah bersama dua anaknya, menyebabkan Myvi itu terbabas ke bahu jalan.
Mohd Razli berkata pemandu Myvi yang berusia 41 tahun dan anak perempuan berusia lima tahun bagaimanapun hanya cedera ringan dan mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Nenasi, Pekan manakala seorang lagi anaknya yang berusia 12 tahun tidak cedera.
Pemandu lori tangki yang berasal dari Mersing, Johor juga tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sementara itu, suami Julayha, Asmawi Yusoff, 45, berkata, dia sempat melihat jenazah isterinya terbaring di bahu jalan, selepas dihantar rakannya ke lokasi kejadian sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kemalangan itu oleh suami kepada rakan isterinya itu.
Dia yang merupakan tenaga pengajar di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan, turut mengikut kenderaan yang membawa jenazah ke Hospital Pekan sebelum pulang ke rumah, untuk memberitahu berita sedih itu kepada empat anak mereka yang berusia antara lima hingga 14 tahun.
“Saya mengambil masa agak lama di rumah untuk menenangkan anak-anak, sebelum kembali ke hospital bagi menguruskan jenazah. Saya tidak menyangka pagi tadi adalah kali terakhir isteri bersalam dan mencium tangan saya, yang menjadi rutin arwah sebelum keluar bekerja, katanya.
Sementara itu, isteri Mohd Zuhairi Abdullah memberitahu, pesanan WhatsApp dihantar tidak berbalas terungkai selepas menerima panggilan telefon memaklumkan suaminya maut.
Nor Hayati, 35, yang merupakan suri rumah berkata, dia menghantar pesanan itu pada 10 pagi bagi memaklumkan perihal anak-anak yang menjadi rutin harian mereka berdua ketika suaminya keluar bekerja.
“Saya menganggap suami tidak membalas kerana sedang memandu, memandangkan dia beritahu akan ke Tanjung Batu ketika keluar rumah pada 7 pagi. Sekitar 11 pagi, adik ipar telefon memberitahu suami meninggal kemalangan.
“Saya tidak percaya dan cuba menghubungi telefonnya namun langsung tidak berdering. Tak lama kemudian, seorang lagi kawan suami menyampaikan berita sedih itu, untuk kali kedua,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pekan di sini.
Nor Hayati berkata, suaminya sudah 10 tahun bertugas di Pekan selepas berpindah dari Pejabat Kesihatan Daerah Cameron Highlands pada 2010 dan mereka mempunyai empat orang anak berusia antara dua hingga sembilan tahun.
Mohd Zuhairi juga menurut Nor Hayati, ada menyuarakan hasrat untuk pulang ke kampung sebelah isterinya itu di Terengganu, kerana sudah lama mereka tidak berjumpa dengan ahli keluarganya sejak negeri itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 9 November lalu.
Credit photo : Mohd Faizol Abdul Aziz | Bernama & Ebit Lew Supporters