Jodoh itu rahsia Allah. Kegagalan perkahwinan lalu nyata tidak meninggalkan bekas di hati wanita yang cukup lemah lembut ini.
Bella atau nama sebenarnya Nabilah Ali Dally, 28 sebelum ini pernah berkahwin dengan aktor kacak Nazim Othman. Namun rumah tangga mereka menemui noktah apabila bercerai pada Mei tahun lalu.
12 Januari lalu, Bella membuat kejutan buat peminatnya apabila memuat naik gambar pertunangan. Dia sebelum ini tidak pernah berkongsi kisah cintanya. Malah Bella tidak pernah memuat naik foto tunangnya, Arif di instagram!
Arif atau nama sebenarnya Arif Izuddin Mohd Radzali, merupakan seorang ahli perniagaan berusia 34 tahun dan pertama kali bertemu dengan Bella pada Ogos tahun lalu.
Lima bulan mengenali antara satu sama lain, pasangan ini mengambil keputusan untuk menoktahkan hubungan dengan ikatan pernikahan. Dalam majlis pernikahan ahad lalu, Bella menerima mas kahwin sebanyak RM1000 beserta tujuh dulang hantaran.
Rupa-rupanya ada kisah disebalik perkenalan merpati sejoli ini. Semasa majlis resepsi, Noorsyahida Mohd Radzali yang merupakan kakak sulung Arif dalam ucapannya mendedahkan detik perkenalan adiknya bersama Bella Dally.
Menurutnya, Arif beberapa kali meminta pertolongan untuk berkenalan dengan artis di bawah pengurusannya. Namun, permintaan itu tidak dilayan sehinggalah Arif menunjukkan minat kepada Bella.
“Arif banyak kali minta saya kenalkan dia dengan artis. Tapi saya tak pernah layan. Saya cakap Kak long bukan penjual artis, kak long penjaga artis.
“Sehingga suatu hari, Arif mesej dan minta tolong. Dia kata perlu sangat nak kenal dengan artis ni. Saya tanyakan siapa dan Arif hantar gambar.
“Rupa-rupanya Bella dan saya cakap ini bukan main-main. Tapi Arif kata dia serius dan saya menyuruh dia mencari dan berusaha sendiri.
“Selepas itu dia diam, saya ingatkan dia dah putus asa dan tak layan dah artis ni. Sekali dia hantar gambar ‘dating’ di Sabah. Katanya, nampak tak orang serius sampai dating kat Sabah.
“Saya pun cakap bagus kerana pilih Bella. Bella yang saya kenal baik hati, hormat orang tua. Saya pesan pada Arif kalau betul serius, ambil dia, jaga dia dan sayang dia,”kongsi kakak ipar Bella dalam majlis persandingan baru-baru ini.
Rata-rata pengikut Bella mendoakan yang terbaik untuk perkahwinannya kali ini.
Sumber: IG belladally & sis_515