Amalan Rasuah di Malaysia Pada Skala Bahaya, Sultan Nazrin Luah Rasa Bimbang.

Perkembangan rasuah di negara ini didakwa semakin membimbangkan apabila dilakukan secara lebih berani dan terang-terangan melalui sindiket dan perancangan yang tersusun.

Masyarakat tidak boleh alpa bahaya rasuah. Malah Perkembangan rasuah di negara ini didakwa semakin membimbangkan apabila dilakukan secara lebih berani dan terang-terangan.

Di Sebalik Populariti Kerjaya Sebagai “Mr. Pilot”.

 

Dapatkan My Qalam Elite Digital Perjuzuk Set dengan diskaun RM5 apabila anda menggunakan kod KELGST5 di sini 

Inilah yang ditegaskan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, amalam rasuah tidak boleh dipandang ringan malah ada yang seolah-olah menidakkan kewujudan gejala rasuah yang kian membarah dalam negara ketika ini.

Baginda bertitah bahawa amalan rasuah di negara ini disifatkan berada pada skala yang membahayakan, berdasarkan teguran laporan Ketua Audit Negara (KAN) secara berulang kali dan pelbagai penemuan dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Amalan Rasuah di Malaysia Pada Skala Bahaya, Sultan Nazrin Luah Rasa Bimbang.

 

“Rasuah mengakibatkan pembangunan tidak lestari, pencemaran alam sekitar, pengagihan kekayaan tidak seimbang dan ketirisan khazanah negara.

“Banyak negara dianugerahi rahmat Ilahi dengan pelbagai sumber kekayaan tetapi kerana rasuah, ada negara yang terbenam dalam kemelut kemunduran, ada negara yang tertimbus dalam lumpur kemiskinan,” titah baginda.

Sultan Nazrin yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian ketika menyempurnakan pelancaran buku Korupsi Dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu: Perlunya Disegerakan Transformasi Moral-Etika karya tokoh pemikir Islam, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan di Kumpulan Karangkraf, di sini, pada Khamis.

Amalan Rasuah di Malaysia Pada Skala Bahaya, Sultan Nazrin Luah Rasa Bimbang.
Kredit: Foto Sinar Harian
Amalan Rasuah di Malaysia Pada Skala Bahaya, Sultan Nazrin Luah Rasa Bimbang.
Kredit: Foto Sinar Harian
Amalan Rasuah di Malaysia Pada Skala Bahaya, Sultan Nazrin Luah Rasa Bimbang.
Kredit: Foto Sinar Harian

 

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melancarkan buku tulisan Prof Emeritus Tan Sri Dr M Kamal Hassan bertajuk ‘Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu, Perlunya Disegerakan Transformasi Moral Etika’.

Amalan Rasuah di Malaysia Pada Skala Bahaya, Sultan Nazrin Luah Rasa Bimbang.
Kredit: Foto Sinar Harian

Berikut titah penuh baginda:

Bismillahi Rahmani Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera

‘Korupsi Dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu: Perlunya Disegerakan Transformasi Moral-Etika’ dihasilkan oleh Profesor Emeritus Tan Sri Dr M Kamal Hassan sebagai sumbangan menyokong kempen memerangi rasuah yang digerakkan oleh Rasuah Busters, bermula pada tahun 2021.

Penulis memilih menukilkan pada halaman pembukaan buku, kata-kata Penyair Mesir, Ahmad Shauqi Bey, petikan: “Bangsa-bangsa akan kekal selagi akhlak mereka utuh; apabila akhlak mereka sudah rosak, mereka pun akan musnah.”

Terdapat elemen keselarian kata-kata Ahmad Shauqi dengan ayat 53 Surah Al-Anfal yang bermaksud: “Sesungguhnya ALLAH SWT sekali-kali tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dianugerahkanNya kepada sesuatu kaum, hingga kaum itu mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”

Juga dengan ayat 11, Surah Ar-Rad yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.”

Dalam prakata buku, terkandung catatan yang mencerminkan rasa jijik, marah dan muak penulis dengan dua fenomena dalam masyarakat Muslim di Malaysia masa kini.

Pertama: Korupsi politik dan kemunafikan parti-parti politik Melayu dan ahli politik. Kedua: Perpecahan dan fragmentasi politik dalam masyarakat Muslim yang telah membawa negara kepada keadaan paling memalukan dengan politik yang tidak bermoral dan tidak beretika, di samping perpecahan masyarakat Muslim yang parah.

Kata penulis, “Budaya politik, sistem politik, tingkah laku politik Melayu yang sudah menjadi korup ditambah pula dengan perpecahan dalaman yang semakin melebar memerlukan langkah-langkah transformasi yang komprehensif, asasi dan segera.

“Langkah-langkah transformasi itu mestilah berlaku pada tahap yang paling asasi iaitu pada tahap kesedaran kerohanian, moral dan etika (yang terbit dari hati/kalbu) para pemimpin, pengikut, kader-kader (anggota sesebuah parti politik) dan penyokong politik.

“Satu paradigma transformasi kepimpinan yang baharu mesti diwujudkan kerana sistem dan paradigma kepimpinan yang lama, pada hemat saya (penulis), telah ternyata gagal dengan akibat-akibat yang sangat negatif ke atas umat Islam dan negara Malaysia.”

Penulis memilih dua kata kunci, korupsi dan kemunafikan, secara berani, mengaitkan dua kata kunci tersebut dengan politik Melayu, sebagai tajuk buku. Orang Melayu, untuk sekian lama, dikenali dengan budaya berkias, bertamsil (perumpamaan), beribarat dan bergurindam.

Kerana mahu menjaga hati dan perasaan, orang Melayu lazimnya amat berhati-hati ketika mahu menyuarakan teguran, malah bersedia memukul anak sendiri meskipun marahnya pada menantu.

Ads

Sesungguhnya, pendekatan penulis, merupakan pendekatan baharu di luar norma – di luar kotak budaya bangsa. Penulis berkemungkinan menghadapi risiko tidak disenangi oleh sebahagian daripada masyarakat Melayu, terutama yang terasa pedasnya cili.

Namun penulis bersedia menghadapi risiko tersebut kerana mahu bangsanya disentakkan, agar bangun dari lena dan leka; semoga segera sedar bahawa bangsanya dan negaranya sedang menghadapi virus penyakit yang sangat memudaratkan; jauh lebih berbahaya daripada serangan virus Covid-19.

Beta memilih menumpukan huraian mengenai rasuah. Rasuah ditakrifkan sebagai perbuatan salah guna kuasa untuk memperkaya atau memberikan kelebihan kepada individu, anggota keluarga, dan kenalan rapat ketika seseorang itu diamanahkan dengan tanggungjawab untuk mentadbir urus sumber awam.

Profesor Emeritus Dr Petrus van Duyne, penyelidik tersohor jenayah ekonomi, penyeludupan wang dan rasuah dari Tilburg University mentakrifkan rasuah secara saintifik.

Rasuah (ditakrifkan sebagai) satu kemungkaran atau kerosakan dalam proses membuat keputusan di mana seseorang pembuat keputusan bersetuju untuk menyimpang atau melakukan penyelewengan daripada kriteria yang ditetapkan dalam membuat keputusan, sebagai pertukaran untuk ganjaran atau untuk janji atau jangkaan ganjaran. Motif ini mempengaruhi pembuat keputusannya dan tidak boleh menjadi sebahagian daripada justifikasi keputusan.

Transparency International menggariskan misi: Rasuah menjejaskan kerajaan yang baik, secara asasnya memutarbelitkan dasar awam, mencetuskan kepada penyelewengan sumber dan merugikan golongan miskin. Untuk mengawalnya, ia hanya boleh dibuat dengan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan dalam sistem integriti, termasuk yang paling penting negeri, masyarakat sivil dan sektor swasta.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu, Ban Ki-Moon pada September 2007 menyatakan: Rasuah menjejaskan demokrasi dan kedaulatan undang-undang. Ia membawa kepada pelanggaran hak manusia. Ia menghakis kepercayaan orang ramai terhadap kerajaan. Ia boleh membunuh.

Rasuah dikenal pasti sebagai salah satu sebab utama yang membantutkan pertumbuhan ekonomi, menghilangkan minat pelaburan asing, meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga, menidakkan rakyat daripada mendapat perkhidmatan, serta mendorong berlakunya ketidakstabilan politik.

Rasuah mengakibatkan pembangunan tidak lestari, pencemaran alam sekitar, pengagihan kekayaan tidak seimbang dan ketirisan khazanah negara. Banyak negara dianugerahi rahmat Ilahi dengan pelbagai sumber kekayaan, tetapi kerana rasuah, ada negara yang terbenam dalam kemelut kemunduran, ada negara yang tertimbus dalam lumpur kemiskinan.

Kekayaan negara disalah guna – hasil mahsul lesap. Akibatnya, kemunduran terus melanda, kemiskinan terus merebak. Apabila tidak ada kesungguhan untuk membanteras rasuah, perlakuan rasuah akan tumbuh melebar, subur membesar, lalu diterima sebagai norma dan akhirnya meresap menjadi budaya, akhirnya memusnahkan sesebuah negara bangsa.

Sesuatu penyakit akan dapat dirawat jika pesakit menyedari badannya berpenyakit, mengakui dia menghidap penyakit, bersedia membenarkan tubuh badannya diuji, diperiksa dan dinilai, terbuka menerima nasihat, teguran dan preskripsi, serta lebih utama, bersedia menerima rawatan walaupun terpaksa mengambil ubat yang pahit.

Rasuah ialah penyakit dalam masyarakat, penyakit bersifat barah, penyakit yang menjalar sedikit demi sedikit, merosakkan satu persatu organ organisasi, hingga akhirnya melumpuhkan organisasi dan membawa maut jika dibiarkan merebak tanpa disegerakan rawatan kemoterapi.

Daripada 180 buah negara yang dilakukan penilaian oleh Transparency International, Malaysia jatuh daripada kedudukan ke-57, mencatat skor 52 pada tahun 2020, ke kedudukan ke-62 mencatat skor 48, pada tahun 2021. Kini, Malaysia dikelompokkan dalam kumpulan dua per tiga negara yang mencapai skor di bawah 50.

Oleh yang demikian kita tidak boleh memandang ringan, bersifat leka, memilih melakukan penafian, memikirkan segala justifikasi – bersilat dengan segala helah mahu menindakkan kewujudan gajah rasuah di hadapan mata.

Penilaian keadaan rasuah, wajib dilakukan secara jujur – secara ikhlas, secara objektif – secara fakta, dijadikan bukti bahawa kita sangat serius mahu membendung, malah berhasrat mahu memerangi dan menghapuskan rasuah. Kita wajib bersifat berani mengakui, realiti sedang berlakunya amalan rasuah pada skala yang membahayakan, berdasarkan berulang kali teguran yang terkandung dalam laporan Ketua Audit Negara dan pelbagai penemuan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (Public Account Committee).

Di samping itu, bilangan aduan serta rungutan yang dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta pelbagai agensi dan jabatan, subjek yang terkandung dalam surat layang, berita yang terpapar dalam media, dan isu yang diuar-uarkan dalam media sosial, hendaklah dijadikan cermin dan dianggap petunjuk kepada situasi rasuah yang berlaku.

Malah jalan raya berlopak, longkang tersumbat, bangunan runtuh, bumbung bocor, pencemaran alam, penerokaan haram, rumput dan taman yang tidak terurus, masing-masing mempunyai bahasa tersendiri, menyampaikan mesej akan standard tadbir urus yang sedang berlaku.

Sikap dan tindak balas terhadap perkara berkaitan akan menentukan sama ada amalan rasuah mahu dibendung secara bersungguh atau dilakukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Sifat responsif, segera melakukan pembetulan bukan sahaja dapat membendung salah laku tadbir urus, malah akan meningkatkan keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada kerajaan.

Rasuah bukan fenomena baharu. Dokumen tertua menyentuh subjek rasuah ditemui terkandung dalam Arthasastra, tulisan BC Kautilya di India, pada tahun 300 sebelum Masihi. Kautilya, mengenal pasti 40 kaedah salah guna wang yang dilakukan oleh pegawai awam untuk kepentingan peribadi.

Ditemui dalam nota Kaultitya catatan berikut: “Mustahil (seseorang) tidak merasai madu atau racun yang terdapat di hujungnya lidah, jadi tidak mungkin seseorang penjawat awam tidak ‘makan’ sekurang-kurangnya sedikit hasil raja (kerajaan). Sebagaimana ikan di dalam air, tidak mungkin dapat dipastikan sama ada ia minum atau tidak air itu, maka bagi pekerja kerajaan tidak dapat diketahui sama ada mereka ada mengambil wang kerajaan (untuk diri mereka sendiri).”

Ads

Di negara China, Dinasti Qing pada tahun 220 sebelum Masihi mengenal pasti konsep rasuah dan mengenakan hukuman berat terhadap mereka yang melakukannya. Hakikat yang wajib direnungi dan difahami, godaan berunsur rasuah berkembar dengan penciptaan manusia. Godaan berunsur rasuah merupakan godaan pertama yang dihadapi oleh manusia pertama ciptaan Ilahi.

Rasuah berjaya bertapak, apabila amanah dipinggirkan. Kealpaan pertama meminggirkan amanah, dikisahkan untuk dijadikan peringatan dan pengajaran dalam ayat 115 Surah Taha yang bermaksud: “Dan sesungguhnya telah Kami perintahkan kepada Adam dahulu, maka ia lupa (akan perintah itu), dan tidak Kami dapati padanya kemahuan yang kuat.”

Perintah yang dimaksudkan terkandung dalam ayat 35 Surah Al-Baqarah yang bermaksud: “Dan kami berfirman: Hai Adam, diamilah oleh kamu dan isterimu syurga ini, dan makanlah makanannya yang banyak lagi baik di mana-mana sahaja yang kamu sukai, dan janganlah kamu dekati pohon ini, yang menyebabkan kamu termasuk orang yang zalim.”

Ketika ALLAH SWT murka kepada Nabi Adam AS kerana terpengaruh dengan godaan iblis, baginda berada dalam kesenangan syurga, dilimpahi nikmat yang dijamin oleh Ilahi seperti maksud yang terkandung dalam ayat 118 dan 119 Surah Taha: “Sesungguhnya kamu tidak akan kelaparan di dalamnya dan tidak akan bertelanjang. Dan sesungguhnya kamu tidak akan merasa dahaga dan tidak akan ditimpa panas matahari.”

Nabi Adam AS terpedaya dengan godaan iblis sedangkan ALLAH telah memberikan peringatan dalam ayat 117 Surah Taha bahawa “Iblis ialah musuh”. Baginda tertewas oleh janji palsu iblis untuk memberikan kuasa, janji palsu “pengekalan kuasa”, seperti yang terkandung dalam ayat 120 surah berkaitan yang bermaksud: “Kemudian syaitan membisikkan fikiran jahat kepadanya, dengan berkata: Wahai Adam! Mahukah aku menunjukkan kepada mu pohon khuldi dan kerajaan yang tidak akan binasa?”

Betapa dinding ketahanan iman ditembusi kerana tarikan untuk mendapatkan kuasa. Nafsu yang gilakan kuasa nyata boleh menewaskan kewarasan akal. Pengukuhan iman ialah benteng pertahanan yang wajib dibina untuk meningkatkan daya tahan insan (yang) tergelincir kerana tarikan kebendaan, tarikan kemewahan, serta tarikan pangkat dan tarikan jawatan.

Insan wajib diperingatkan firman ALLAH yang terkandung dalam ayat 35 Surah Al-Anbiyaa dan ayat 12-14 Surah Al-Qiaamah yang bermaksud: “Tiap-tiap yang berjiwa akan merasai mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan” – Surah Al-Anbiyaa.

“Pada hari itu, kepada Tuhanmu sahaja terserahnya ketetapan segala perkara. Pada hari itu, manusia diberitahu akan apa yang ia telah lakukan, dan apa yang dia telah tinggalkan. Bahkan manusia itu, (anggotanya) menjadi saksi terhadap dirinya sendiri” – Surah Al-Qiaamah.

Manusia hendaklah diinsafkan dengan kisah yang dijadikan pengajaran oleh ALLAH. Iblis memilih untuk menyesatkan manusia melalui instrumen imbuhan berbentuk kuasa. Hari ini lebih ramai manusia yang telah disesatkan dengan imbuhan keduniaan berbentuk kuasa dan kekayaan.

Manusia tanpa sedar, tanpa silu, tanpa malu, tanpa khuatir akan kebarangkalian telah tergelincir melakukan perbuatan berunsur syirik, kerana sanggup mengabdikan diri menjadi hamba kepada wang, kuasa, pangkat dan jawatan. Manusia mula mendewakan manusia lain dan bersedia menghambakan diri, menggadai prinsip serta menjual maruah dan harga diri kepada manusia lain kerana wang, kuasa, pangkat dan jawatan.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah: “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Akan datang suatu zaman, umat manusia tidak lagi mempedulikan rezeki yang diterima olehnya, sama ada daripada sumber halal atau pun haram.”

Telah ada manusia yang sanggup bersekongkol dan bersubahat melakukan kemungkaran serta tergamak berbohong, kerana lupa bahawa punca rezeki, kuasa, pangkat dan jawatan datangnya daripada ALLAH. Rezeki, kuasa, pangkat dan jawatan sebenarnya ialah anugerah dan juga ujian daripada Ilahi.

Sedarilah! Sumber kuasa yang diperoleh melalui sogokan belum terjamin dikembari dengan kesetiaan. Sifat sebenar insan akan terserlah ketika seseorang itu mendapat jawatan dan kuasa, betapa kata tidak lagi dikotakan, malah begitu cepat bertukar nada, berlainan irama, bersedia mengatakan yang hitam itu putih dan yang putih itu hitam.

Watak sebenar insan akan terpamer apabila telah memiliki kekayaan dan harta lalu lenyap budaya kesederhanaan dan merendah diri, di sebaliknya menjelma sifat sombong dan gelagat bongkak.

Manusia semakin lupa bahawa ALLAH ialah Tuhan Pemerintah sekalian alam yang Maha Berkuasa, memiliki kerajaan di atas segala kerajaan. Manusia semakin lupa sumber rezeki dan penghidupannya ditentukan oleh ALLAH kerana itu umat Islam sewajibnya menghayati maksud yang terkandung dalam ayat 162, Surah Al-An’am: “Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk ALLAH Tuhan semesta alam.”

Jadikan pekerjaan sebagai ibadah disempurnakan atas nama dan kerana ALLAH. Iblis telah berjaya menggelincirkan akidah manusia melalui instrumen kebendaan duniawi berbentuk kuasa dan kemewahan, maka benteng pertahanan manusia hendaklah dibina berpayungkan naungan Ilahi.

Kepercayaan kepada Tuhan ialah prinsip pertama Rukun Negara. Insan yang mempercayai Tuhan, menyedari setiap perkara, sama ada niat begitu juga perbuatan, sama ada dilakukan secara terbuka mahupun secara tersembunyi, kesemuanya dalam pengetahuan Ilahi.

Firman Allah dalam ayat 11, Surah Ar-Rad turut memperingatkan: “Bagi manusia ada malaikat yang selalunya menjaganya bergiliran, dari hadapan dan dari belakangnya. Mereka menjaganya atas perintah Allah.”

Profesor Emeritus Kamal Hassan menamakan “Paradigma Kepimpinan Theosentrik” sebagai paradigma baharu berdasarkan model kepimpinan Nabi Muhammad SAW yang antaranya mengandungi ciri-ciri berikut:

Pertama: Berpegang teguh kepada pandangan alam tauhid (ia itu kepercayaan dan keyakinan bahawa ALLAH Tuhan Maha Esa, Tuhan yang sebenar, menguasai, mengatur, mengurus, menjaga, memerintah dan menentukan bahawa manusia sebagai hambaNya harus menyerah dan tunduk kepada kehendakNya.

Ads

Kedua: Mencari untuk mendapatkan keredaan Ilahi dan kesejahteraan abadi pada hari akhirat dalam syurga ALLAH. Ketiga: Kesedaran tentang akauntabiliti secara langsung kepada ALLAH.

Dalam usaha melaksanakan perjuangan murni, yakinlah dan percayalah kepada kebesaran kuasa Ilahi. Hadapilah cabaran dengan semangat gigih dan hadapilah ujian dengan hati yang cekal. Semaikan kesedaran dan bina kekuatan.

Tumpukan usaha kepada tenaga muda yang masih belum rosak mindanya. Para aktivis yang terlibat dalam gerakan memerangi rasuah, hendaklah memiliki semangat kental, menyamai semangat para pemuda Ashabul Kahfi, kerana sifat gigih mereka mempertahankan iman meskipun menghadapi pemerintah yang zalim, ALLAH telah memberikan mereka perlindungan; mereka ditidurkan selama lebih 300 tahun, seperti yang diperihalkan dalam ayat 18 ke ayat 21 Surah Al-Kahfi.

Dalam gerakan melakukan yang makruf dan menentang yang mungkar, jangan sama sekali berputus asa memohon petunjuk dan kekuatan daripada Ilahi. Teruskan usaha dan teruskan berdoa memohon kemenangan daripada ALLAH. Berdoa itu merupakan sebahagian daripada ibadat yang disyariatkan Islam.

ALLAH sangat suka hambaNya berdoa memohon dan mengharap kepadaNya. Orang yang senantiasa berdoa kepada ALLAH, menandakan orang itu menyedari kelemahan dirinya. Para pejuang yang mahu menegakkan kebenaran berlandaskan seruan Ilahi, hendaklah sentiasa melazimkan ibadah berdoa agar perjuangan mencapai kejayaan.

Berpandukan fahaman, bahawa doa memiliki peranan istimewa dalam hidup insan, Beta telah menitahkan di negeri Perak, untuk dilengkapkan khutbah pada setiap solat Jumaat dengan dua doa berikut.

Pertama: Ya Dzal Jalali Wal Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Kedua: Ya Malikul Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

Ketika menghadapi mudarat yang melanda negara akibat perlakuan rasuah, kita memerlukan lebih ramai para murabbi tampil ke hadapan secara berani menggemakan mesej memerangi rasuah. Para murabbi berperanan amat penting untuk mendidik dan menyuburkan kesedaran kerohanian dan moral.

Para murabbi perlu menegaskan pentingnya ummah memiliki sifat-sifat ikhlas kerana ummah yang ikhlas itu, tidak akan dapat didampingi atau dipengaruhi oleh Iblis seperti yang tersurat dalam ayat 39 dan ayat 40 Surah Al-Hijr yang bermaksud: Iblis berkata, “Wahai Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, (maka) aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi dan aku akan menyesatkan mereka semuanya” dan “Kecuali hamba-Mu yang ikhlas (dibersihkan daripada sebarang syirik) dalam kalangan mereka.”

Melalui buku yang dihasilkan, Profesor Emeritus Mohd Kamal Hassan menyeru akan pentingnya dibina kekuatan dalaman – kekuatan rohani untuk memerangi rasuah. Buku Korupsi Dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu tidak akan mencapai tujuannya jika sekadar ditulis, diterbitkan, dilancarkan, dibeli dan diedarkan.

Buku ini perlu dikembari dengan usaha bersungguh, berterusan dan berskala besar, menyampaikan mesej bahaya rasuah dan pentingnya rasuah dihapuskan, serta menyebarkan mesej pentingnya tanggungjawab diamanahkan kepada orang yang bebas daripada rasuah.

Kandungan buku ini amat perlu disebarkan mesejnya ke setiap kota, mukim dan desa, dalam bahasa yang mudah difahami oleh masyarakat biasa yang tidak berpendidikan tinggi.

Beta menzahirkan penghargaan kepada Profesor Emeritus Tan Sri Mohd Kamal Hassan yang telah memenuhi satu tuntutan fardu kifayah, menghasilkan Korupsi Dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu, juga dizahirkan penghargaan kepada penerbit, EMIR Research dan kepada Datuk Hussamuddin Yaacub serta rakan-rakan Rasuah Busters.

Ya ALLAH! Ya Rabbulalamin! Peliharalah negara yang telah Engkau kurniakan kepadakami ini daripada kemusnahan kerana perlakuan rasuah, dan berpandukan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud, “Jikalau ALLAH menginginkan supaya sesuatu bangsa itu sejahtera, maka ALLAH akan memberi bangsa itu pemimpin yang baik.”

Kami pohonkan kepada Mu Ya ALLAH, kurniai kami pemimpin yang baik, pemimpin yang amanah, jujur dan ikhlas. Dengan kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, Beta melancarkan buku tulisan Mohd Kamal Hassan, Korupsi Dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu: Perlunya Disegerakan Transformasi Moral-Etika.

Sumber: Sinar Harian

 

 

 

Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA  atau join keluargagader club

 

Amalan Rasuah di Malaysia Pada Skala Bahaya, Sultan Nazrin Luah Rasa Bimbang.

 

 

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI