Penyanyi Ainan Tasneem memaklumkan bayi kembar yang dikandungnya itu kini mengalami sedikit masalah apabila kedua-duanya tidak mempunyai saiz yang seimbang.
Ainan atau nama sebenarnya Ainan Tasneem Redzuan, 28, berkata, doktor bimbang keadaan tersebut boleh mengakibatkan dirinya melahirkan bayi pramatang.
“Sekarang usia kandungan dah 31 minggu. Tadi, saya pergi buat pemeriksaan, doktor cakap salah satu bayi kembar tu kecil sikit.
“Sorang baru 1.1kg, sorang lagi 1.5kg dah. Risau terbersalin awal tu yang doktor suruh cucuk dexa (dexamethasone),” katanya menerusi satu entri di Instagram.
Menurut Ainan lagi, dia kini perlu menjalani pemeriksaan susulan dua minggu lagi bagi melihat perkembangan selepas perlu mengambil dua dos suntikan berkenaan.
“Subhanallah sakit yang amat ya kena cucuk dexa tu. Esok kena cucuk lagi untuk dos kedua
“Lagi 2 minggu kena pantau lagi, kalau berat bayi tu masih statik atau tak berapa memberangsangkan, memang saya kena bersalin awal je,” katanya.
Pada masa sama, Ainan turut memohon doa orang ramai agar proses kehamilannya kali ini dipermudahkan.
“Allah.. Ainan tak bersedia lagi. Tak boleh bayangkan bayi masuk NICU dan kena berpantang tanpa bayi di sisi.
“Sekarang nak terus positif je. Harapnya bayi membesar dengan baik dalam perut dan dapat bersalin cukup bulan. Mohon sangat doa daripada kalian semua ya,” luahnya.
Ainan berkahwin dengan Mohammad Ariffudin Mohammad Swaimi pada tahun 2017.
Pasangan itu kemudiannya dikurniakan seorang anak perempuan, Ainan Salsabiela pada 2 Mac 2018.