Kisah hidup wanita ini cukup tragis. Buat pertama kali dia merasakan tiada lagi harapan untuk terus hidup apabila doktor mengesahkan dia menghidap kanser darah atau leukimia.
Saat doktor mengatakan dia hanya punya masa seminggu untuk hidup, Aziela Che Nor, 48 hanya membayangkan kematian. Bagaimana nanti apabila dia tiada, apakah anak-anak dan suami boleh menerima situasi tersebut. Lantas, dia kembali menguatkan semangat untuk melawan penyakit tersebut.
Anak masih menyusu
Menceritakan detik awal dia disahkan menghidap leukimia enam tahun yang lalu, segalanya bermula selepas dia asyik demam yang tidak kebah, perut buncit, mudah letih dan tidak lalu makan sehinggakan ada ketika dia rasa penat yang sangat dan tidak mampu berbuat apa-apa.
Lantas keluarga membawanya mendapatkan rawatan pakar. Waktu itulah doktor mengkhabarkan dia mempunyai penyakit tersebut.
“Hanya Tuhan yang tahu perasaan waktu itu, hanya gambaran kematian sahaja difikiran. Sementelah anak bongsu waktu itu baru berusia tiga tahun. Bayangkan anak menyusu lagi ketika itu, saya terpaksa berjauhan dengan anak dan suami untuk mendapatkan rawatan.
“Ketika itu, doktor cadangkan saya melakukan rawatan pemindahan darah. Selepas diperiksa, darah anak sulung saya, Wan Muhammad Izzat Wan Izani, 29 sesuai. Malah, Kes pemindahan darah daripada anak kepada ibu adalah pertama di Malaysia, memandangkan kes-kes lain pemindahan darah adalah dari ibu kepada anak.
Tahun 2013, saya menjalani pemindahan darah dan memang kesan sampingan dari kimo dah bukan macam diri kita waktu itu, makan bersuap, terlantar di hospital dan diuruskan sepenunya oleh keluarga dan doctor, rambut gugur, kulit kering, jerawat yang teruk, ibarat bayi yang kena dipakaikan lampin pakai buang dan 6 bulan pertama saya hanya duduk di hospital.
“Kemudian, dibenarkan pulang 2-3 hari terpaksa masuk semula ke hospital. Saya tidak boleh tededah pada matahari kerana akan naik biji-biji kecil seperti ruam, kulit rasa terbakar dan satu badan rasa sakit dan air bias itu boleh merebak apabila pecah.
“Kerana itu saya tidak boleh memakai baju yang tebal dan sebagainya. Kalau di hospital saya ditempatkan di biik berais yang memang sejuk sangat.
“Hanya Tuhan yang tahu betapa sejuknya bilik tersebut.,” cerita Ziela Che Nor, Pengasas Sunrich Heritage Sdn Bhd (Sunrich Heritage) dengan panjang lebar.
Pemindahan darah
Akui Ziela atau lebih mesra disapa bonda Zie, waktu diuji, segala kenikmatan sebelum ini diambil oleh Tuhan termasuklah tiada deria rasa ketika makan.
Namun berkat sokongan suami dan anak-anak membuatkan dia bersabar dan mampu bertahan.
“Alhamdulillah tahun lepas doktor sahkan saya bebas penyakit leukimia. Bayangkan waktu pemindahan darah anak lelaki berumur 24 tahun. Sekarang dia 29 tahun dan menurut doktor selepas 5 tahun rawatan baru boleh tahu sama ada penyakit tersebut bebas atau tidak.
“Ibaratnya sekarang ini, Allah beri peluang saya ‘hidup’ kali kedua. Kerana itu, saya mahu berkongsi dengan wanita di luar sana supaya jaga kesihatan dan jangan sudah terlewat baru nak dapatkan rawatan.
Mahu kembali cantik demi suami
Sebelum ini dia juga tidak dibenarkan bersama suami bahkan diri sendiri malu dan tidak mahu orang melihat kekurangan yang ada pada tubuhnya akibat kimoterapi.
“Dalam masa yang sama, saya juga rasa malu rasanya nak berdepan walaupun suami menerima seadanya. Manakan tidak, waktu itu, wajah kehitaman akibat kesan kemoterapi, kulit semakin kering dan hitam.
“Kerana itu saya tekad untuk kembali cantik di mata suami kerana dia ‘syurga’ saya. Kesakitan akibat kimo hanya Tuhan dan pesakit sahaja yang boleh rasa. Betapa sakitnya walaupun sekadar untuk minum air tetapi dek semangat yang diberikan oleh keluarga, saya cuba melawan rasa sakit tersebut.
“Dalam masa yang sama, saya mahu tanamkan keyakinan pada pesakit kanser di luar sana supaya kuatkan semangat untuk sembuh. Jangan rasa tertekan, takut, malu dan tidak yakin walaupun berlaku perubahan pada diri kita.
“Jangan kerana kekurangan itu membuatkan anda mengabaikan rawatan. Kunci untuk sembuh adalah yakin dan positif setiap masa,” jelas ibu kepada 4 orang anak ini.