Sebelum Kepulangannya ke sisi Yang Maha Pencipta, beliau telah meninggalkan nama dalam dunia pendidikan, ilmu hasil dari penulisannya sendiri untuk manfaat orang ramai dan Negara.
Keperibadiannya amat mementingkan pendidikan, sentiasa memberi motivasi, bimbingan dan harapan bahawa semua boleh berjaya dengan adanya ilmu dan pendidikan. Demikian sisi hebat figura bernama Professor Dato’ Dr. Hussein bin Haji Ahmad.
Perjalanan terakhir arwah Professor Dato’ Dr. Hussein sebelum menemui Yang Maha Esa diceritakan oleh dua orang anaknya, Hamizah Farhana dan Haliza.
“Waktu itu, kami ingat tidak ada yang serius, malah ayah sempat menyambut hari lahir yang ke 75 dan juga melancarkan Memoir Pendakian Seorang Pendidik dengan mempamerkan buku-buku penulisan beliau sepanjang hidupnya di Dewan Serbaguna, Masjid Kampung Tunku. Waktu sambutan Hari raya Aidilfitri 2017 juga tiada sebarang petanda.
Cuma, arwah ayah lebih banyak berehat di rumah, kurang aktiviti berziarah, kurang menonton televisyen, lebih banyak ke masjid terutamanya waktu subuh dan menghadiri mesyuarat Pakatan Islam Kampung Tunku. Dalam masa yang sama, arwah selalu bangun awal pagi mengerjakan solat tahajud dan membaca al-Quran.
“Sehinggalah Ogos yang lalu, ayah demam, tak lalu makan dan sangat lemah. Waktu ini, kami adik-beradik memujuknya ke hospital tetapi ayah enggan. Sehinggkan kami terpaksa mendapatkan Pakar Kardiologi Kanan, University Malaya Specialist Centre untuk memujuk ayah ke hospital. Kebetulan doktor pakar tersebut merupakan anak kepada kawan baik ayah. Doktor tersebut juga adalah sepupu sebelah suami. Begitu cantik perancangan Allah, urusan ayah dipermudahkan kerana adanya doktor ini.
“Ayah akhirnya mengalah dan bersetuju untuk pergi ke hospital. Keadaan ayah waktu itu, sangat lemah kerana terdapat komplikasi dalaman yang serius. Doktor yang merawat ayah tidak mengalah walaupun pakar organ dalaman yang lain sudah menyerah kalah dan mengatakan tidak mampu berbuat apa-apa.
“Setiap hari, doa anak-anak yang tidak pernah putus menemani ayah bertarung melawan penyakitnya. Semasa ayah sakit, kami turut sakit, semasa ayah bertarung, kami juga berjuang sehabisnya. Kami berusaha sebaik mungkin lebih daripada pakar-pakar di Hospital, kami menjaga ayah lebih daripada jururawat yang menjaga ayah, kami berdoa lebih dari ustaz-ustaz dan alim ulama.
Pertarungan ayah adalah pertarungan kami semua. Kami bergilir-ganti menemani ayah dan memastikan surah-surah pilihan sentiasa dibacakan kepada ayah bersertakan zikir-zikir mudah untuk diikuti ayah.
“Keadaan ayah yang semakin lemah menyukarkan percakapan. Kadang kala ayah lebih banyak tidur dari sedar. Setiap kali ayah sedar, dia memberikan isyarat untuk kami menyempurnakan hajat-hajatnya.
“Walaupun susah untuk memahami kehendak ayah kerana percakapan ayah juga terganggu kerana keadaannya, kami percaya Allah memberikan kemudahan dalam melalui ujian Allah ini. Intuisi dan gerak hati antara ayah dengan kami sangat kuat.
Kami juga memahami ayah seolah-olah mahu kami menyempurnakan hajat-hajatnya yang lain yang telah dirancang sebelum ini. Satu persatu berjaya kami rungkai dan kami sempurnakan semua hajat-hajatnya secepat mungkin.
Permintaan terakhir
Ads
Setiap hari ada cabarannya, kondisi Dr. Hussein tidak menentu. Dalam situasi kesihatan yang semakin menurun, ayah pula menyuarakan kehendak untuk pulang ke rumah.
Sebagai anak, kami berada dalam keadaan yang sangat hiba, keliru dan penuh dilema sama ada ingin berusaha sedaya upaya dan selagi boleh bersama-sama doktor yang mahu menyelamatkan ayah ataupun mengikut kehendak ayah untuk pulang ke rumah dan redha atas kesihatanya yang makin merosot.
“Sebagai anak, kami ingin menghormati permintaan ayah apatah lagi tatkala melihat mata ayah yang seolah-olah merayu untuk dibawa pulang, Walaubagaimanapun doktor mohon supaya kami tidak berputus asa sehingga tiada jalan keluar. Setiap hari kami berada dalam debaran menunggu jawapan dari doktor sama ada sempat atau tidak ayah berada dalam majlis yang dirancangnya sendiri.
“Sehinggalah tibanya raya Aidiladha, kami sambut dengan penuh hiba kerana walaupun sedar ayah berada didalam keadaan tenat. Kami solat subuh berjemaah bersama ayah,dimulakan dengan mengambil wudhu menggunakan renjisan air, dibisikkan niat solat ditelinganya, diimamkan oleh abang dan disudahi dengan takbir raya aidiladha bersama ayah. Kami masih menaruh harapan yang tinggi keajaiban akan terjadi, harapan supaya ayah kembali sihat seperti sediakala
“Namun, takdir mengatasi segalanya, apabila doktor memohon maaf dan mengatakan tidak mampu untuk melakukan apa-apa lagi. Keluarga diberi pilihan untuk mengekalkan ayah dihospital atau membawa pulang. Kami mengambil keputusan untuk membawa ayah pulang ke rumah pada pukul 3 pagi sebelum majlis yang dirancangnya sendiri keesokan harinya. Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan kami’ Jelas Hamizah yang mengatakan cucu saudara ayah yang merupakan seorang jururawat PPUM menawarkan diri untuk menjaga ayah di rumah.
Koleksi al-Quran jadi ‘rebutan’
Ads
Biarpun ada yang memantau dan menjaga arwah di rumah, namun Hamizah dan adik beradik yang lain tidak pernah lekang dari sisi ayah mereka termasuklah membantu urusan memandikan dan membersihkan insan kesayangan mereka itu.
“Semua urusan dipermudahkan. Majlis Aidiladha yang dirancang sebelum ini diadakan seperti biasa walaupun penuh sayu dan hiba. Ramai keluarga dan saudara mara sebelah ayah hadir. Walaupun rancangan hanya diadakan untuk keluarga sebelah ayah, rumah kami tetap dibanjiri saudara mara, sahabat handai ayah, jiran tetangga, pelajar dan kenalan-kenalan ayah.
“Kami percaya majlis yang diadakan berjalan penuh barakah. Kerana orang ramai hadir bersama doa yang tidak putus dan diiringi dengan ayat-ayat suci al-Quran. Kami bersyukur kerana segala hajat ayah ditunaikan oleh kami, adik beradik.
Bukan itu sahaja, seorang ustaz dari Syria hadir dan membacakan surah-surah terpilih dan ayat-ayat suci Al-quran iaitu Surah Yasin, Al-Waqiah, Al-Fajr dan diakhiri dengan doa-doa untuk memberikan ayah kebaikan dan dipermudahkan segala urusannya.
Ustaz tersebut mengatakan inshaAllah, ayah mendapat pengakhiran yang baik (husnul Khotimah) kerana terpilih didengarkan surah-surah dan ayat-ayat al-Quran sebelum pergi menemui Ilahi.
“Ayah juga sempat solat berjemaah maghrib yang diimamkan oleh abang walaupun ayah sangat tenat, kami tetap memastikan solatnya dibimbing. Selepas solat maghrib, nafas ayah semakin lemah. Saya mengajarnya shahadah sehingga nafasnya yang terakhir. InshaAllah saya yakin ayah mendapat pengakhiran yang baik.
Ads
Ayah diimamkan oleh anak lelakinya sendiri di masjid yang dibanjiri orang ramai, kami juga sempat khatam quran buat ayah pada hari pemergian ayah. Semua anak-anak, menantu dan cucu berada di samping arwah ketika pemergiannya.
Begitu cantik perancangan Allah dan segala aturan yang telah tertulis. Setiap satu kelemahan kami sebagai anak yang mungkin lalai tentang penyakit yang ditanggung ayah, segala kekhilafan dari pihak hospital dan faktor- faktor lain hanyalah asbab untuk ayah kembali kepada Ilahi bertepatan seperti janji Allah, tidak cepat sesaat atau terlambat walau sesaat. Kami redha dengan pemergian ayah, walaupun kami sangat merinduinya.
“Walaupun kami kehilangan ayah, namun ada juga tersirat disebaliknya, selain hubungan kami adik-beradik makin kuat dan rapat, kami juga lebih dekat dengan Allah. Mengaji, solat dan membaca al-Quran zikir dan sebagainya yang dilakukan sepanjang bersama ayah masih kami teruskan. Bahkan, barangan kesayangan ayah seperti koleksi al-Quran menjadi ‘rebutan’ kami adik-beradik dan ia seolah-olah ‘kawan baik ‘ kami kini,”.
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Melihat kebesaran Allah SWT dengan melancong ke luar negara adalah satu kesempatan yang ingin diraih semua. Pun begitu, bukan semua percutian meninggalkan kenangan indah, tragedi adakalanya datang tanpa kita jangka.
Pengalaman Puan Nor Aziah Abd Aziz, 56, bekas guru Sains dan Matematik, Sekolah Kebangsaan Dengkil yang telah pun menamatkan perkhidmatannya sejak tahun 2014 ini mengakui ada hikmah sebalik kejadian yang menimpanya dan suaminya, Hashim Ahmad, 58 ketika bercuti ke Tehran, Iran.
Dipukau ketika sedang beratur di kaunter tukaran wang adalah sesuatu yang tak mungkin terjangka oleh sesiapa sahaja. Namun inilah yang dilalui oleh pasangan yang sudah menjelajah ke lebih 30 destinasi seluruh dunia ini.
“Saya dan suami memang sedia maklum kes-kes penipuan sebegini kalau bercuti ke Iran. Banyak blog bercerita hal ini dan minta berhati-hati ketika berada di Iran tapi kami langsung tak sangka kami terkena secepat itu, iaitu ketika di lapangan terbang.
Ketika itu saya dan suami sedang beratur di kaunter tukaran wang di lapangan terbang kerana di negara kita tak ada wang Iranian Rials (IRR) Iran, jadi memang terpaksa ditukarkan di sana.
Ketika duit sudah ditukar, suami saya pegang duit tersebut untuk mengira kerana keliru dengan jumlah juta dan kosongnya yang sangat banyak.
Ketika sedang memegang wang, datang seorang pemandu teksi lelaki terus ambil dua keping wang di tangan suami dan mahu menghantar kami terus ke hotel.
Peliknya ketika itu saya dan suami langsung tak marah bila wang diambil dari tangan dan kami terus menuju ke teksinya. Katanya, bayaran tambang yang dikenakan 250 ribu IRR. Kami berborak seperti biasa ketika di dalam teksi dan sebaik tiba kami berikan dia 50 USD sebagai baki bayaran.
Ketika di dalam bilik barulah kami sedar yang dia telah mengambil dua keping wang bernilai 2 juta IRR dan juga termasuk 50 USD. Saya dan suami terdiam dan terkesima dengan apa yang berlaku. Ketika itulah baru kami sedar kami seolah-olah dipukau. Langsung tiada reaksi dari saya dan suami ketika itu.
Itulah detik paling meninggalkan kesan buat saya dan suami. Sedih tak terkata, jumlah yang begitu banyak kami serahkan sebaik menjejak bumi Iran.”
Dibaling Batu Di India
Tidak hanya dipukau, ketika bercuti ke Kashmir, India, pasangan ini juga pernah disekat dipertengahan jalan ketika perjalanan dari Serinagar ke Gulmarg. Semuanya disebabkan adanya sekatan jalan raya dan rusuhan yang dilakukan oleh pengangkutan awam.
“Bas berkumpul dan buat tunjuk perasaan di bandar, akibatnya kami terpaksa ikut jalan kampung. Ketika melalui sebuah kampung kami disekat oleh penduduk kampung yang cuba membaling batu ke arah van kami.
Cemas juga ketika itu kerana belum pernah alami suasana begini, apa lagi di negara orang. Setelah berbincang, kami dilarang melalui jalan tersebut dan terpaksa berpatah balik.
Dek kerana kami bertegas untuk Gulmarg juga, sudahnya kami terpaksa diiringi oleh anggota tentera India yang mengiringi konvoi 5 buah kereta kami hingga selamat tiba di pergunungan. Dua buah kereta askar setia mengiringi di hadapan dan belakang konvoi kami demi memastikan kami selamat sampai,” luahnya lagi.
Di Tahan Di China
Lain pula kesnya ketika keluarga ini bercuti ke Xian, China. Menurut Aziah lagi, anak bongsunya yang berusia 16 tahun ketika itu disekat daripada memasuki negara itu gara-gara pastport yang dimilikinya ketika berusia 12 tahun.
“ Ketika dilapangan terbang, anak saya disekat kerana rupa parasnya yang tidak sama seperti di dalam pastport. Maklum sahaja pastport itu dibuat ketika usianya 12 tahun dan kini dia sudahpun remaja dan berusia 16 tahun. Dia di bawa ke satu tempat dan saya minta untuk mengiringinya.
Lama kami ditahan. Pihak kastam China mahu saya buktikan bahawa dia anak saya. Kad pengenalan kita juga tidak diterima oleh pihak kastam.
Akhirnya saya buka kesemua video anak bongsu saya ketika dia masih kecil dan tunjukkan pada mereka. Itu sahaja cara yang saya ada untuk membuktikan dia anak saya. Mujur usaha saya diterima atas budi bicara mereka. Langsung tak sangka video yang sekecil itu sangat membantu ketika dalam situasi genting sebegini,” katanya lagi yang bakal bercuti ke Balkan pada penghujung tahun ini.
Jejak Langkah Ke 30 Destinasi Dunia
Bercerita mengenai kisah pasangan ini yang suka melancong ke luar negara memang buat kita rasa terinspirasi.
Pasangan ini memulakan langkah untuk melihat dunia luar ciptaan Allah SWT ketika tahun 1986. Ketika mereka ke Medan, Indonesia dan anak pertama yang baru berusia 1 tahun ditinggalkan.
Seterusnya ibu kepada Amir Hakim, 32, Amirah Halwa, 31, Ammar Hazwan, 29, Akhmal Hafiz, 18 dan Aqilah Hanis, 17 tahun ini mula mengorak langkah lebih jauh.
Sehingga kini pasangan ini telahpun menjejakkan kaki ke 30 destinasi dunia. Antara negara yang dilawati mereka termasuklah Turki, negara-negara
Eropah seperti Belgium, Amsterdam, Paris dan London. Tidak ketinggalan juga Korea, Japan, India, New Zealand, Australia, Cairo, Iran, Lubnan, Dubai, Vietnam serta tidak ketinggalan Los Angeles, California, Amerika Syarikat.
Menariknya pasangan ini hanya sesekali sahaja menggunakan travel agensi untuk menguruskan percutian mereka, selebihnya mereka lebih senang menguruskan sendiri dan bergerak sendiri sepanjang percutian ke lebih 30 buah negara ini.
“Bagi saya melancong ke luar negara bukan hanya release tension tetapi paling penting dapat melihat budaya dan tempat orang. Bila lihat tempat orang buat kita lebih menghargai negara kita sendiri. Saya langsung tak fikirkan soal beli belah tetapi dapat lihat ciptaan Allah dan lihat budaya orang lain, itu yang lebih penting,” katanya yang menjadikan koleksi frame dari setiap negara sebagai buah tangan wajib yang dikumpulkansetiap kali melancong.
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkongsi berita duka berhubung kematian madunya, Datin Bahazanariah Baharudin. Allahyarhamah yang mesra disapa Kak Nana meninggal dunia akibat kanser.
Perkongsian berita sedih itu dimuat naik Datuk Nurulhidayah atau lebih dikenali dengan panggilan Kak Long menerusi laman instagramnya.
INNALILLAHIWAINNALILLAHIRROJIUN
Bismilillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum. Saya, NurulHidayah Ahmad Zahid bersama suami Dato Saiful Nizam Mohd Yusoff mewakili seluruh keluarga kakak Madu, Datin Bahazanaria, yang sangat kami sayangi, ingin memaklumkan Datin Bahazanariah binti Baharudin telah pulang ke Rahmatullah pada pukul 4.16 pagi (5 November 2020) ini di Hospital KPJ Damansara, setelah bertarung penyakit barah Tahap 4 sejak Ogos tahun ini. Mohon sedekahkan Al-Fatihah dan mohon ampunkan segala salah silapnya sepanjang kehidupannya. Sesungguhnya Allah SWT lebih menyayanginya, dan semoga Kakak saya ditempatkan dalam kalangan para solehin.
Dato’ Nurulhidayah Ahmad Zahid Dato’ Saiful Nizam Mohd Yusoff Dan Anak-anak serta Keluarga
Kakkkkkkk .. Allahuakbar 😭😭😭
Dalam pada itu, menerusi tembual bersama Astro Awani, Kak Long menyifatkan pemergian Allahyarhamah satu kehilangan yang cukup besar.
“Saya kehilangan seorang kakak, seorang wanita yang hebat. Saya amat menghargai kejujuranya menerima saya sebagai madu dalam kehidupannya. “Kejujurannya, pengorbanannya dan kasih sayangnya tiada tolak bandingnya. Saya akan merindui Kak Zana.”
Nurulhidayah bwerkongsi cerita bagaimana Allahyarham Bahazanariah bersungguh-sungguh yang memintanya berkahwin dengan suami mereka, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff.
“Arwah yang beriya-iya minta saya menikahi suaminya kerana beliau mahu memberikan sepenuh perhatian pada kesihatannya sebaik disahkan mengidap kanser payu dara. “Saya tidak tahu bagaimana lagi mahu gambarkan kehebatan arwah. Pengorbanannya akan saya kenang sehingga ke akhir hayat saya. Terima kasih Kak Nana atas segala-galanya. Saya akan bawa kebaikan dan kasih sayang kakak sehingga ke lahad,” ujar Nurulhidayah atau lebih dikenali sebagai Kak Long dalam kalangan keluarga dan rakan-rakannya.
Allahyarham Bahazanariah yang berusia 50 tahun menghembuskan nafas terakhir pada pukul 4.16 pagi ini di sebuah hospital swasta di Damansara akibat kanser payu dara.
Bahazanariah disahkan menghidap kanser tahap empat pada Ogos lalu.
Beliau menutup usia semasa dalam tidur dan disedari oleh suaminya, Saiful Nizam.
Menurut Nurulhidayah, beliau dan Saiful Nizam yang bergilir-gilir menjaga Bahazanariah semasa Allahyarham menerima rawatan di hospital.
“Arwah Kak Nana seorang yang sangat positif. Sekalipun dalam kesakitan, beliau sentiasa tabah menerima dugaan daripada Allah, tidak pernah sekalipun Allahyarham mengeluh, bahkan sentiasa mengingatkan diri agar bersabar. “Inilah keperibadian yang akan saya rindui,” kata Nurulhidayah lagi.
Kisah Nurulhidayah berkongsi suami dengan Allahyarham Bahazanariah sentiasa menjadi rujukan dalam pelbagai perbincangan melibatkan isu poligami.
Ini kerana, hubungan kedua-dua wanita itu amat akrab sekali dan sering dilihat bersama-sama dalam pelbagai acara.
Bahkan, Nurulhidayah dan Bahazanariah juga tidak pernah kekok keluar bersama-sama suami mereka dalam satu masa.
Nurulhidayah juga sering memuat naik pelbagai foto mereka dalam akaun Instagram peribadinya. Kehidupan bermadu mereka amat dikagumi ramai.
Kata Nurulhidayah dalam beberapa wawancara sebelum ini, beliau dan madunya itu sentiasa mengamalkan sikap diplomasi dan saling memahami antara satu sama lain.
Bahkan, kedua-dua wanita itu juga bertuah kerana suami mereka, Saiful Nizam memainkan peranan yang bijaksana dalam memimpin rumah tangga mereka.
“Kak Nana adalah orang yang sentiasa memberi semangat untuk bergelar isteri kedua. Arwah Kak Nana sentiasa ada di sisi saya ketika saya memerlukan dia pada bila-bila masa. “Sekali lagi ingin saya katakan, saya kehilangan seorang kakak dan wanita yang sangat hebat. Terima kasih Kak Nana atas pengorbanan kakak. Terima kasih kerana menerima saya dalam hidup kakak. Saya akan kenang kakak sehingga ke akhir hayat saya,” kata Nurulhidayah lagi.
Jenazah Allahyarham Bahazanariah kini berada di Masjid Al-Mukarramah, Bandar Sri Damansara dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kota Damansara sekitar pukul 10 pagi.
Tidak dinafikan mendidikan anak adalah suatu yang mencabar. Lantaran itu ada segelintir sanggup mengikuti kelas keibubapaan untuk mendapat ilmu.Menerusi FB Zatil Arip, beliau berkongsi...