
Ramai yang impikan rumah besar, luas, dan mewah. Tapi tahukah anda, semakin besar rumah, semakin tinggi kos penjagaannya? Bukan sekadar bayar bil utiliti, tapi kos penyelenggaraan pun boleh cecah ratusan ribu setahun lebih-lebih lagi bila rumah dah lama dan banyak kerosakan.
Ramai yang tak fikir bab ni masa nak bina atau beli rumah besar. Seronok bayangkan ruang luas, hiasan mewah, dan keselesaan. Tapi bila dah duduk, barulah terasa beban dari baik pulih bumbung bocor, cat dinding mengelupas, sistem elektrik rosak, sampailah kos pembersihan yang tinggi.
Begitu yang dirasai kini Usahawan sensasi, Datuk Aliff Syukri mendedahkan bahawa terbeban dengan kos ratus ribu untuk melakukan penjagaan banglow mewahnya. Sebagaimana perkongsian beliau ini.
“Rasa terbeban sangat bila ada rumah yang besar..masa dulu waktu nak buat rumah ni tak fikir seronok saja x fikir nak mantain..tapi bila dah ada dah duduk baru tahu kos nak ada rumah besar ni bukan mudah.”
“Terutamanya bila nak buat mantainent.. setahun sahaja saya kena memperuntukkan ratusan ribu untuk nak repair rumah terutama bila rumah ni dah lama..pening kepalajadi kepada anda saya nak bagi nasihat sebelum anda ambil keputusan untuk berpindah di rumah besar tolonglah ready untuk kos penjagaannya.”
“Semakin besar umah semakin tinggi kos..terutama bila rumah itu dah lama dan kerosakan banyak.. boleh saya tahu tak berapa kos repair rumah anda setahun?”
“Saya suka rumah kecik , tak takut duduk sesorang”- Netizen
Meninjua di ruangan komen, rata-rata memberi padangan mengenai pro dan kontra apabila memilik rumah bersaiz besar . Antaranya
“Saya suka rumah kecik , tak takut duduk sesorang tidak banyak masa nak mengemas. “
“Mungkin vibes² nak ke umur 50an kot dato. Mcm saya dulu tringin betul nak rumah besar konon-konon gitu begini. Tapi bila dah 39 tahun hidup ni rasa aman lg rumah standard 1 tingkat 4 bilik je. Xyah besar.”
“Saya suka tengok rumah org besar, tp saya tak suka dok rumah besar malas nak kemas, pastu berjalan penat wei nak ke ruang tamu ke dapur ulang alik kala ada tetamu.”
Sumber: aliffsyukriterlajaklaris
Dr Ahmad Sanusi Tegur-“Jangan Normalisasikan Maksiat”

Isi Kandungan
ToggleDr Ahmad Sanusi Tegur, “Jangan normalisasikan maksiat.” Dalam dunia hari ini, kita semakin melihat perkara yang dahulunya dianggap salah, kini diterima sebagai kebiasaan. Sama ada dalam media sosial, hiburan, mahupun kehidupan seharian, batasan antara yang baik dan yang buruk semakin kabur.
Dr Ahmad Sanusi Tegur – “Jangan Normalisasikan Maksiat”
Media Sosial: Alat Normalisasi Maksiat?
Tidak dapat dinafikan bahawa media sosial memainkan peranan besar dalam membentuk pemikiran masyarakat hari ini. Apa yang dulunya dianggap tabu kini menjadi perkara biasa, hanya kerana ia kerap dipaparkan di skrin telefon kita. Pergaulan bebas dipamerkan secara terbuka, pakaian seksi dianggap fesyen, hiburan melalaikan dijadikan norma – semuanya ini dilakukan tanpa rasa bersalah.
Lebih membimbangkan, ramai yang berbangga dengan perbuatan maksiat. Jika dahulu orang melakukan dosa dalam sembunyi, kini ia dipamerkan untuk mendapat likes dan followers. Kita seakan-akan lupa bahawa Allah sentiasa melihat, walaupun manusia tidak.
Jangan Biasa Dengan Dosa
Apabila kita terlalu kerap melihat sesuatu perkara, kita akan menjadi terbiasa dengannya. Inilah bahaya normalisasi maksiat. Apa yang pada awalnya membuat kita rasa janggal atau bersalah, lama-kelamaan kita anggap biasa sahaja. Daripada biasa, kita mula membela dan mempertahankan. Akhirnya, kita sendiri jadi sebahagian daripada budaya itu.
Sedar atau tidak, inilah yang sedang berlaku. Dosa tidak lagi dirasakan sebagai satu kesalahan. Malah, orang yang menegur pula dianggap “kolot”, “bajet alim”, atau “suka jaga tepi kain orang”.
Ini bukan soal menjadi terlalu konservatif atau menghukum orang lain, tetapi tentang menjaga nilai moral dan agama yang sepatutnya menjadi pegangan hidup kita.
Berikut perkongsian daripada Dr. Ahmad Sanusi Azmi
1. Bagi yang belum berkahwin, janganlah pula kita menormalisasikan perkara yang dilarang oleh Allah. Bertepuk tampar sesama pasangan yang belum mempunyai sebarang hubungan yang sah adalah dicegah dalam Islam.
2. Rasulullah memberikan amaran yang keras kepada pasangan yang bercinta namun mereka seronok berpegangan tangan.
Sabda Rasulullah:
لَأَنْ يُطْعَنَ فِي رَأْسِ أَحَدِكُمْ بِمِخْيَطٍ مِنْ حَدِيدٍ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَمَسَّ امْرَأَةً لَا تَحِلُّ لَهُ
“Andai sekiranya kepala salah seorang di antara kamu ditusuk dengan jarum besi itu adalah lebih baik baginya daripada menyentuh wanita yang tidak halal buat dirinya.” (HR al-Tabrani)
3. Apatah lagi sekiranya yang melakukan itu merupakan seorang yang dikenali ramai, namun dia menunjukkan contoh yang bercanggah dengan perintah Allah. Sekiranya perbuatan melakukan maksiat ini diikuti oleh anak muda yang lain, maka dia akan menanggung dosa orang yang mengikuti perbuatannya itu.
Sabda Rasulullah:
وَمَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا ، وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ
“Dan barangsiapa yang melakukan perbuatan jahat dalam Islam, lalu diikuti oleh orang yang lain, maka akan ditulis baginya dosa bagi orang yang melakukan perbuatan tadi, tidak berkurang sedikit pun dari dosa tersebut.” (HR Muslim)
4. Bagi orang awam pula, janganlah menunjukkan sokongan terhadap perbuatan yang bertentangan dengan syarak. Jangan pula kita berkongsi dan turut menyebarkan kerosakan ini. Malah kerosakan yang disenyapkan ini mengundang azab Allah.
Sabda Rasulullah:
ما من قومٍ يُعْمَل فيهم المعاصي، ثم يقدرون على أن يغيِّروا ثم لايغيروا؛ إلا ويوشك الله أن يعمَّهم بعقابٍ
“Tidak ada satu kaum yang melakukan maksiat, sedangkan ada dikalangan mereka yang mampu mencegahnya namun mereka tidak mencegahnya, melainkan akan dibimbangi keseluruhan mereka akan ditimpa azab ke atas kesemuanya” (HR Abu Daud)
Semoga Allah membimbing kita.
Maksiat tidak sepatutnya dinormalisasikan, walau dalam apa jua bentuk sekalipun. Islam bukan agama yang menyekat kebebasan, tetapi agama yang membimbing kita ke jalan yang benar. Jika kita benar-benar sayangkan agama, sayangkan diri, dan sayangkan masyarakat, kita harus berani berkata tidak kepada budaya normalisasi maksiat.
Kerana yang salah tetap salah, walaupun ramai yang melakukannya. Dan yang benar tetap benar, walaupun hanya sedikit yang mengikutinya.
Sumber: Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Baca artikel lain juga: Makan Tengah Hari Berdua Punca Terlibat Dengan Orang Ketiga! 9 Cara Elak Terbabit Dalam ‘Skandal’ Di Pejabat
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my
Rahsia Penduduk Belanda Tertinggi Di Dunia

Kalau kita bandingkan, memang ramai orang luar, terutamanya dari Eropah, nampak jauh lebih tinggi dari orang Asia.
Tak sangka, rupa-rupanya orang Eropah ni memang antara yang tertinggi di dunia! Malah, Belanda telah menduduki tangga pertama untuk ketinggian purata penduduk tertinggi dunia.
Menurut laporan yang disiarkan oleh Harian Metro, senarai negara dengan penduduk memiliki purata ketinggian tertinggi dan terpendek di dunia tahun 2024. Ia berdasarkan data dari laman sesawang, World Population Review.
Bagaimanapun, untuk memudahkan perbandingan, maklumat ini mengambil kira ketinggian purata untuk lelaki berusia lebih 19 tahun dan ukuran adalah dalam sentimeter (sm).

Negara penduduknya memiliki purata ketinggian tertinggi
1. Belanda: 183.78 sm
2. Montenegro: 183.3 sm
3. Estonia: 182.79 sm
4. Bosnia dan Herzegovina: 182.47 sm
5. Iceland: 182.1 sm
6. Denmark: 181.89 sm
7. Republik Czech: 181.19 sm
8. Latvia: 181.17 sm
9. Slovakia: 181.02 sm
10. Ukraine: 180.98 sm
Negara penduduknya memiliki purata ketinggian terendah
1. Timor Leste: 160.13 sm
2. Laos: 162.78 sm
3. Kepulauan Solomon: 163.07 sm
4. Papua New Guinea: 163.1 sm
5. Mozambique: 164.3 sm
6. Nepal: 164.36 sm
7. Guatemala: 164.36 sm
8. Yaman: 164.42 sm
9. Bangladesh: 165.08 sm
10. Madagascar: 165.16 sm
Rahsia Penduduk Belanda Tertinggi Di Dunia
Tentu ramai yang tahu apakah rahsia menyebabkan negara Belanda menjadi penduduk tertinggi dunia!

Berdasarkan kajian yang diterbitkan oleh Royal Society of London, catatan ketenteraan Belanda mendapati bahawa pada pertengahan tahun 1800-an, ketinggian purata tentera Belanda adalah sekitar 165 cm. Namun, dalam tempoh 160 tahun, ketinggian penduduk Belanda meningkat lebih 20 cm.
“Pertumbuhan ini terlalu pantas jika hanya disebabkan oleh faktor genetik,” kata Profesor Louise Barret dari Universiti Lethbridge, Kanada.
Kajian itu juga mendapati bahawa pasangan yang mempunyai ramai anak kebiasaannya terdiri daripada lelaki tinggi dengan wanita yang mempunyai ketinggian purata.
Oleh itu, ketinggian orang Belanda juga mungkin dipengaruhi oleh faktor persekitaran. Menurut Barret, sistem penjagaan kesihatan yang baik, tahap ketidaksamaan pendapatan yang rendah, dan sistem kebajikan sosial yang sangat mantap di Belanda adalah faktor yang menyumbang kepada ketinggian mereka.
“Di Belanda, semua faktor ini menyumbang kepada kelahiran bayi yang berkualiti tinggi dan seterusnya mengurangkan risiko faktor-faktor yang boleh menghalang pertumbuhan ketinggian,” kata beliau.
“Setiap kali badan terpaksa meningkatkan tindak balas imun, badan akan kehilangan tenaga yang sepatutnya digunakan untuk pertumbuhan,” tambahnya lagi.
Berkaitan dengan pemakanan yang diambil oleh orang Belanda, perlu diingat bahawa negara ini terkenal sebagai pengeluar susu. Malah, orang Belanda juga sangat gemar dengan produk tenusu.
Kajian menunjukkan bahawa pengambilan susu memberi sumbangan besar kepada peningkatan ketinggian mereka.
“Kalsium membina tulang, dan pertumbuhan sangat bergantung kepada ketersediaan kalsium,” jelasnya.
Sumber: travel.detik & harian Metro
Perfume Paradise Mengharumi Kongsi Kasih Jejak Jalanan Musim Baharu, Lebih Menginspirasi!

Kongsi Kasih, rancangan yang menyentuh hati rakyat Malaysia, kini kembali dengan musim baharu bertajuk “Kongsi Kasih Jejak Jalanan”. Dengan kerjasama Perfume Paradise, musim ini membawa makna yang lebih mendalam dalam berkongsi cerita-cerita inspirasi dan keprihatinan, khususnya sempena bulan Ramadan.
Pelancaran rasmi musim baharu ini disambut dengan penuh meriah melalui aktiviti istimewa, Kongsi Kasih Jejak Jalanan, bertempat di Astro Bukit Jalil dan Anjung Kembara Pusat Transit Gelandangan. Acara ini menyaksikan kehadiran rakan media, selebriti, dan pasukan pengurusan daripada Nu Ideaktiv serta Perfume Paradise, bersatu untuk melancarkan musim baharu yang penuh keindahan kasih sayang.
Bermula Di Astro Bukit Jalil Ke Anjung Kembara
Acara bermula dengan majlis perasmian di Astro Bukit Jalil, di mana para VIP termasuk pengurusan tertinggi Perfume Paradise dan Nu Ideaktiv secara simbolik menyembur pewangi Perfume Paradise ke arah kereta rasmi – melambangkan misi menyebarkan “kasih” dan memberikan harapan baharu kepada mereka yang memerlukan.
Konvoi Kongsi Kasih Jejak Jalanan kemudiannya bergerak ke Anjung Kembara, di mana aktiviti utama melibatkan pengagihan pek makanan tengah hari dan kit kebersihan kepada komuniti gelandangan.

Para selebriti dan rakan media turut serta dalam sesi makan bersama komuniti, mendengar kisah-kisah mereka yang penuh perjuangan dan harapan – selari dengan tema rancangan ini untuk menyebarkan kasih dan kebaikan.
Bersiaran Bermula 14 Februari Bersama Hos Hazeman Huzir
Musim terbaharu Kongsi Kasih Jejak Jalanan akan bersiaran di Astro Prima, bermula 14 Februari 2025 jam 7 malam dengan jumlah 7 episod berdurasi 30 minit setiap satu dan 1 episod berdurasi 60 minit bagi menutup musim dengan pengisian istimewa sempena bulan Syawal dan perayaan Aidilfitri.

Diterajui oleh hos popular Hazeman Huzir dan disertai oleh Abbe Hae dari Pertubuhan Jejak Jalanan, rancangan ini membawa cerita-cerita inspirasi daripada komuniti yang pelbagai di seluruh Malaysia. Fokus musim ini termasuk membantu gelandangan, ibu tunggal, warga emas, serta keluarga yang terjejas akibat bencana. Setiap episod menyeru rakyat Malaysia untuk menghargai nilai empati, kebaikan, dan berkongsi kasih, terutamanya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.
Syamil Fahim Mohamed Fahim, Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv berkata, “Sebagai penerbit kandungan dan juara suara komuniti, kami di Nu Ideaktiv berasa bertanggungjawab untuk membawa kisah-kisah mereka yang memerlukan ke ruang yang boleh dilihat dan didengari oleh rakyat Malaysia. Kisah-kisah ini datang daripada pelbagai komuniti yang kami dengar setiap hari melalui interaksi dengan masyarakat. Harapan kami adalah agar cerita-cerita ini membuka mata dan hati rakyat Malaysia untuk sama-sama menghulurkan bantuan”.

“Kehadiran Perfume Paradise sebagai rakan kongsi dalam Kongsi Kasih Jejak Jalanan memberi kami lebih kegembiraan kerana ia melambangkan bagaimana sebuah jenama boleh turut serta mengangkat kisah-kisah ini dan membantu mereka yang memerlukan. Dengan Perfume Paradise, kami melihat harapan baharu untuk memberi kehidupan yang lebih baik kepada komuniti ini.”
Menurut Nur Afiqah Amran, Ketua Pegawai Eksekutif Perfume Paradise, “Bagi Perfume Paradise, adalah satu penghormatan untuk menjadi sebahagian daripada program Kongsi Kasih Jejak Jalanan. Melalui program ini, kami berpeluang menyebarkan mesej kasih dan harapan kepada mereka yang memerlukan. Sebagai sebuah jenama yang berinspirasikan wangian, kami percaya seperti mana pewangi memberikan kesegaran dan keyakinan kepada kehidupan, kasih sayang juga boleh memberikan harapan baharu kepada mereka yang terpinggir.

Program ini selaras dengan misi kami untuk tidak hanya menjadi sebuah jenama, tetapi juga sebagai pencetus perubahan yang membawa kegembiraan kepada masyarakat. Kami berharap melalui program ini, lebih banyak pihak akan terinspirasi untuk menyebarkan kasih dan kebaikan kepada yang memerlukan.”
Spray Sekali, Wangi 3 Hari!
Ditubuhkan pada tahun 2008 oleh bapa kepada Nur Afiqah Binti Amran, Perfume Paradise bermula sebagai perniagaan keluarga dengan matlamat menghasilkan wangian berkualiti mewah pada harga mampu milik. Selepas beberapa tahun, jenama ini mencapai satu titik perubahan penting apabila Nur Afiqah Binti Amran mengambil alih pengurusan.
Di bawah kepimpinannya, Perfume Paradise berkembang pesat dan berjaya membina reputasi sebagai jenama yang dipercayai di Malaysia. Kini, Perfume Paradise telah menjadi pilihan utama pengguna dengan dua rangkaian produk utama berharga RM10 dan RM40. Dikenali dengan lebih 70 wangian unik yang tahan lama, Perfume Paradise turut dikenali dengan slogan “Spray Sekali, Wangi 3 Hari,” yang terhasil daripada maklum balas pelanggan setia.

Jenama ini memberi tumpuan kepada 80% pengguna wanita dan turut menawarkan pilihan wangian untuk lelaki. Perfume Paradise juga aktif dalam kolaborasi bersama influencer, kempen pengiklanan holistik, dan inisiatif tanggungjawab sosial korporat seperti Kongsi Kasih, sejajar dengan misi untuk menyebarkan kebahagiaan dan kebaikan melalui wangian.
Bagi Raqim Ahmad, Ketua Kandungan Saluran Astro, program Kongsi kasih adalah usaha Astro untuk menyebarkan kasih sayang dan berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan. “Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik sambil menyemarakkan semangat kemasyarakatan.
“Kami amat berharap program ini mendapat maklum balas yang positif daripada masyarakat dan mampu memberi manfaat yang sedikit sebanyak menjelang bulan Ramadan yang bakal tiba. Semoga usaha ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai pihak untuk terus menyebarkan kebaikan.”
Saksikan tayangan perdana Kongsi Kasih Jejak Jalanan di Astro Prima, setiap Jumaat jam 7 malam bermula 14 Februari ini, dan hayati kisah-kisah penuh inspirasi yang menyentuh hati. Mari bersama kami menyebarkan kasih dan kebaikan kepada komuniti yang memerlukan.