“Alhamdulillah, Selepas 5 Tahun…”-Aishah Syukur Hak Sebidang Tanah Lot Banglo Selesai

Share

Mencapai segala tujuan yang kita inginkan, tidak dinafikan memerlukan usaha malah hingga ada yang perlu berjuang tanpa kenal lelah dan putus asa.

Begitulah juga buat penyanyi Datuk Aishah, lima tahun menuntut hak bukanlah waktu yang singkat dan  akhirnya berjaya juga dalam kes tuntutan sebidang tanah lot banglo yang dimenanginya di program realiti Gegar Vaganza musim keempat.

Memetik mymetro, penyanyi berusia 57 tahun itu berkata selepas lima tahun menuntut haknya akhirnya dia boleh menarik nafas lega dan hidupnya lebih tenang.

“Alhamdulillah, selepas lima tahun kes ini berlangsung baru temui penyelesaian,” kata penyanyi, Datuk Aishah yang bersyukur apabila kes berkaitan tuntutan sebidang tanah lot banglo yang dimenangi ketika menyertai program realiti Gegar Vaganza musim keempat (GV4) pada 2017 akhirnya selesai.

Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, 57, berkata, biarpun pada awalnya dia enggan kes terbabit di bawa ke mahkamah, namun demi menuntut hak yang dijanjikan dia terpaksa berbuat demikian.

“Sebenarnya kalau ikut hati saya tidak mahu kes ini di bawa sehingga ke mahkamah tapi apabila saya cuba berunding dengan pihak penaja terbabit selepas lapan bulan dari tarikh kemenangan, mereka minta diberikan masa.

“Saya tunggu dan beri masa lebih kurang enam bulan. Malangnya ketika saya hubungi selepas itu tiada sebarang jawapan daripada pihak berkenaan sehingga terpaksa teruskan kes ini di mahkamah.

“Saya buat semua ini supaya bakal-bakal penaja tunaikan apa dijanjikan,” katanya kepada pemberita.

Menurut Aishah, tiada istilah tamak kerana dia hanya menuntut hadiah yang sepatutnya diberikan kepadanya.

“Ini bukan cerita mengenai tamak atau minta melebihi apa yang dihebahkan. Apa hadiah yang dikongsikan itu saja yang kami tuntut. Malangnya perkara ini perlu berjalan selama bertahun-tahun dan akhirnya baru selesai. Saya harap apa yang berlaku ini menjadi peringatan kepada semua pihak yang berkenaan,”katanya.

Terdahulu, Aishah memuat naik video ucapan wakil peguam dari Tetuan Izwan Mazniza Kamil & Associates yang menjelaskan pihak penaja bersetuju membuat bayaran kepada Aishah.

Peguam yang mewakili Aishah iaitu Mohammad Izwan Azmi menjelaskan,  pihak penaja hadiah berkenaan tampil dengan satu dokumen tawaran penyelesaian dan dipersetujui oleh Aishah sendiri.

“Tahniah kepada Datuk Aishah kes ini selesai. Terdapat ‘proposal settlement’ daripada pihak penaja dan Aishah sendiri sudah bersetuju.

“Ada bayaran yang perlu dibuat dan beberapa tindakan perlu dilakukan oleh pihak penaja,” katanya.

Dalam masa sama, Izwan berterima kasih kepada Aishah kerana mempercayai firma guamannya itu.

Sumber : mymetro & Ig aishahjmm

ARTIKEL MENARIK : “Di Rumah Auto Jadi Bapak-bapak..”-Isteri Abam Bomba Viral Kongsi Rutin Suami,Tarik Perhatian!