Alhamdulillah, selepas tiga hari menerima rawatan susulan menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang akibat penyakit Scoliosis, akhirnya penyanyi lagenda, Zamani Ibrahim dibenarkan pulang ke rumah.
Berkongsi perkembangan penyanyi lagu Gerimis Mengundang itu, isterinya, Nur Juliana Abdul Rani, 39, memberitahu suaminya dibenarkan pulang ke rumah, petang ini.
“Alhamdulillah, Zamani sudah dibenarkan keluar hospital, petang ini. Saya dan Zamani ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada doktor, pasukan pembedahan, kakitangan hospital serta mereka yang mengambil berat dan mendoakan Zamani sepanjang menjalani pembedahan sehingga hari ini.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Datuk Aznil Nawawi dan peminat atas sumbangan yang diberikan.
“Budi baik dan doa anda kami hargai sehingga akhir hayat,” katanya kepada BH Online.
Sebelum ini, Juliana memaklumkan, Zamani dalam keadaan baik selepas berada dalam pemantauan pihak hospital selepas melalui prosedur pembedahan membetulkan tulang belakang selama tujuh jam, Isnin lalu.
Juliana berkata, Zamani dinasihatkan doktor supaya berehat lebih lama bagi memastikan keadaan kesihatannya pulih dengan cepat.
“Kemungkinan Zamani akan bercuti antara tiga hingga empat bulan sebelum kembali bekerja,” katanya.