Balu Allahyarham Abam iaitu Nor Hidayah Mohd Ali memberikan perkembangan terbaharu mengenai kes rayuan saman fitnah yang melibatkan adik iparnya, pelawak ali Puteh.
Menerusi hantaran terbaharu di akaun Instagramnya, Hidayah menyatakan rasa syukur apabila keputusan rayuan mahkamah juga berpihak kepadanya.
“Alhamdulillah, syukur pada Allah, keputusan rayuan mahkamah telah diputuskan, juga telah memihak kepada Hidayah,” maklumnya.
Dalam hantaran yang sama, Hidayah juga meminta agar Ali dapat membuat pembayaran seperti mana yang telah ditetapkan oleh mahkamah.
“Semoga pihak di sana tidak melengah-lengahkan lagi segala urusan pembayaran mengikut perintah mahkamah yang telah ditetapkan.
“Semoga Dayah dan Hamzah boleh meneruskan kehidupan yang lebih baik dan sempurna selepas ini. Amin. Terima kasih semua yang mendoakan,” tulisnya.
Terdahulu, pada 28 Disember lalu, Ali gagal dalam rayuan untuk mengetepikan perintah mahkamah berhubung ganti rugi RM60,000 yang perlu dibayar kepada Hidayah kerana memfitnahnya di media sosial dua tahun lepas.
Selain itu, mahkamah juga menolak rayuan Ali dan tiga anggota keluarganya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak tuntutan samannya terhadap Hidayah dan usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman berhubung satu temu bual yang disiarkan secara langsung di akaun YouTube miliknya.
Sumber : Instagram hidayah_hamzahh
https://www.youtube.com/watch?v=Yb_zk_ekL2M&t=199s
Suami Sanggup Berhutang Demi Kepuasan Isteri Tapi Akhirnya Merana. Kisah Benar Ini Jadikan Iktibar.
Rumahtangga yang bahagia pastinya idaman semua pasangan suami isteri.
Namun pastinya ada cabaran yang ditempuhi. Saling berbincang dengan pasangan antara cara untuk kekalkan keharmonian rumahtangga.
Begitulah perkongsian yang dipaparkan ini. Apabila pasangan yang tiada komunikasi dan berbincang secara telus boleh menjejaskan hubungan suami isteri. Malah ada yang membawa kepada penceraian!
Kisah sepasang suami isteri ini harus dijadikan iktibar apabila suami terpaksa berhutang demi kepuasan isteri.
Akhirnya, keluarga berkenaan telah hadapi masalah kewangan hingga isteri menuntut cerai!
_____________________
ISTERI TUNTUT CERAI
Seorang lelaki hadir untuk mendapatkan khidmat nasihat. Di tangannya kemas menggenggam segulung kertas. Mungkin itu surat saman. Tak tahulah apa kesnya.
Setelah selesai prosedur di kaunter, beliau dibawa masuk ke bilik khidmat nasihat. Di sana suasana tenteram. Ditemani sebuah meja, kerusi dan sekotak tisu.
Saya rangkul buku catatan dan beberapa akta dan enakmen berkaitan. Biar ada rujukan. Mana tahu tengah sesi nanti saya perlukan.
Bilik khidmat nasihat saya masuk dan memberi salam. Lelaki ini menjawab salam saya. Kepalanya sedang tunduk. Matanya berkaca. Melihat saya beliau bangun dan menghulurkan salam.
“Waalaikumsalam. Eh takpa encik. Duduklah”
Mata yang berkaca tadi dilap semahu mahunya. Mungkin malu seorang lelaki menangis. Ya. Memang ramai lelaki yang hadir. Jarang yang menangis. Rata rata memang pandai cover.
“Ustaz, tolong saya..”
Suara lelaki ini lemah. Mukanya keruh. Rambutnya kusut. Tangannya kuning. Pelik juga saya. Dia buat apa sampai kuning begitu.
“InsyAllah, saya akan tolong. Sekejap ya”
Saya salin semua maklumatnya dalam buku catatan. Catatan ini amat penting bagi orang yang pelupa seperti saya. Nanti kalau dia datang lagi tak perlu saya soal lagi. Pengalaman mengajar saya begitu.
Setelah selesai. Saya meneliti borang khidmat nasihat yang lelaki ini isi. Didalamnya, beliau tanda permohonan khidmat nasihat bagi kes “Permohonan Cerai”. Seksyen 47. Ohh.
“Ustaz, isteri saya tuntut cerai. Saya masih sayangkan dia dan anak anak. Anak kami lima orang. Yang paling bongsu baru setahun. Saya tak dapat bayangkan hidup saya tanpa isteri dan anak anak. Ustaz, tolong saya..”
Saya dah agak. Tepat sangkaan saya. Segulung kertas yang digenggam tadi sememangnya saman dan permohonan cerai. Turut disertakan iqrar dari si isteri.
Lalu dokumen itu saya minta darinya dan saya teliti. Sebaris demi sebaris borang Jawi 6 dan ikrar sang isteri.
MASALAH KEWANGAN KERAP BUAT PINJAMAN
Lalu fahamlah saya, isterinya menuntut perceraian atas faktor tidak sefahaman. Di dalam ikrar dijelaskan panjang lebar. Semuanya berpunca dari nafkah yang tidak mencukupi. Untuk mendapat kepastian, saya bertanya adakah benar dakwaan isteri tersebut.
“Betul ustaz. Saya memang akui. Sejak setahun yang lalu saya tak dapat sempurnakan nafkah kepada isteri. Tapi bukan saya sengaja. Setiap bulan gaji saya negatif”
Lalu saya teliti slip gaji lelaki ini. Ya Rabbi. Baki gajinya tak sampai empat angka. Anak 5 orang tu. Tinggal pula di bandar. Memang bukan setakat sangkut lagi. Tenggelam dah.
“Encik, kenapa sikit sangat baki gaji ni?kenapa banyak tolak? Loan apa yang encik buat ni?”
“Ustaz, semua anak saya bersalin di hospital swasta. Itu memang kehendak isteri. Saya tak cukup duit, tapi saya ikutkan sahaja kehendak dia. Sebab itu saya buat loan peribadi kat bank setiap kali isteri mengandung. Puas dah overlap.
Lepas tak boleh pusing, saya pinjam lagi kat koperasi. Duit kawan kawan pun banyak yang saya pinjam untuk beli barang dapur, susu, pampers semua. Masuk anak kelima ni pun saya pinjam lagi. Last last saya tak dapat pusing, saya pinjam ahlong. Saya memang tak dapat bayar. Hari hari diorang cari saya. Isteri saya tak tahan dan salahkan saya. Sebab itu dia tuntut cerai ni.. Ustaz tolong saya. Saya tak nak bercerai”
Kali ini lelaki ini tidak malu lagi. Air mata yang ditahan tahan dari tadi melimpah akhirnya membasahi pipi. Di saat ini kotak tisu yang bisu tadi amatlah membantu.
Allahu.
Saya tak tahu samada ceritanya itu benar atau tidak. Tetapi sebagai manusia biasa saya tetap simpati kepadanya.
“Beginilah encik. Kes ini baru peringkat sebutan pertama. Mahkamah akan tanya encik dahulu. Sekiranya encik tak setuju cerai, kes ini akan diteruskan dengan Jawatankuasa Pendamai di jabatan agama, kemudian jika tak selesai juga kes ini akan dibawa kepada Hakam keluarga. Tak selesai juga, Hakam kuasa penuh.”
Saya terangkan step by step Seksyen 47 dan 48 Akta Undang Undang Keluarga kepadanya. Bermula dari jawatankuasa pendamai hinggalah kepada lantikan hakam berkuasa penuh. Semuanya ikut prosedur.
MASIH SAYANG RUMAHTANGGA
Air mata mula dikesat. Lelaki ini mencatat step step prosedur yang saya terangkan. Dari jawatannya saya tahu. Lelaki ini bukan calang calang orang. Bijak. Tetapi bila tiba masalah rumahtangga begini, tak katalah. Siapapun akan buntu.
“Encik, masalah apapun yang kita hadapi pasti ada jalan penyelesaian. Sabar ya. Cubalah bincang elok elok dengan isteri. Mana tahu dia tertekan. Tak kata kat dialah, siapa yang tak tertekan kalau ahlong asyik datang rumah” saya memujuknya.
Lelaki ini terus lap air matanya. Tisu yang basah dipegangnya tadi mula menguning. Pelik saya.
“Encik, maaflah saya nak tanya, kenapa dengan tangan tu? Pasaipa kuning”
“Ohh, begini ustaz. Isteri saya dah keluar rumah dengan anak anak semua. Dia balik rumak mak ayah dia. Saya dok sensoranglah kat rumah tu. Jadi saya kononnya nak masaklah sebab jimat sikit. Dah gaul ikan dengan kunyit.
Tiba tiba ada orang ketuk pintu rumah. Saya basuh tangan lebih kurang sajalah. Bukak pintu ada sorang hantar surat ni ha. Minta saya sign.
Lepas baca surat ni saya terus hilang lapar. Sedih saya. Terus tak jadi makan. Call member dia suruh datang khidmat nasihat kat sini”
Allahu. Begitu kisahnya.
Selesai sesi khidmat nasihat. Lalu lelaki ini meninggalkan saya dengan sekuntum senyuman kelat. Sempat menitipkan ucapan terima kasih.
Saya tak tahu apa kesudahannya di Mahkamah. Saya juga tak tahu cerita sebenar apa yang berlaku antara mereka. Namun saya dapat belajar dua perkara.
KENA TAHU PENGURUSAN KEWANGAN KELUARGA
Pengurusan kewangan dan komunikasi suami isteri.
Ya. Itu key pointnya. Jika kita tak mampu, buatlah cara tak mampu. Jangan ikut trend orang.
Berbincanglah dengan pasangan terutama berkaitan pengurusan kewangan. Percayalah, ramai kini yang terjerat dengan hutang. Menyebabkan gaji mereka negatif setiap bulan.
Buat anda yang mempunyai sebarang masalah perundangan yang memerlukan nasihat, sila berhubung dengan kami di JBG. Untuk melayakkan anda mendapat bantuan guaman, anda mestilah:
●Warganegara Malaysia ; dan
●Bagi bantuan guaman dalam kes mahkamah anda mestilah :
✔️ Memenuhi kriteria yang ditetapkan
✔️ Lulus ujian kemampuan (sumber kewangan tidak melebihi RM50, 000.00 setahun); dan
✔️Mempunyai kes yang bermerit
Semoga tulisan ini memberi pengajaran buat kita semua.
Sekian wassalam.
Sumber: Anas Jamaluddin,
“Aafiyah Ada Pilihan Apabila Dewasa” – Siti Nurhaliza Jawab Isu Anak Ikut Jadi Penyanyi
Setiap ibu bapa semestinya mengharapkan anak-anak untuk peroleh kerjaya yang terbaik dan bersesuaian dengan mereka. Termasuklah penyanyi no 1 Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang tidak sesekali menghalang minat Siti Aafiyah Khalid sekiranya permata hatinya itu memiliki bakat menyanyi sepertinya.
Namun, jika diberi pilihan, beliau dan suami lebih berharap Aafiyah menjadi ahli perniagaan atau memilih kerjaya lain di luar bidang seni.
Berasakan bukan senang menjadi seorang artis, Siti bimbang sekiranya Aafiyah tidak mampu berdepan cabaran dan rintangan sebagai pejuang seni.
“Saya sudah melalui segala-galanya selama 26 tahun bergelar penyanyi. Namun, saya bersyukur dijaga oleh ahli keluarga, jadi saya diuruskan dengan baik.
“Jauh di sudut hati, sebagai ibu sudah tentu ada kerisauan Aafiyah mampu atau sebaliknya. Adakah anak saya saya akan hanyut dan sebagainya.
“Itu menjadi kerisauan ibu bapa seperti apa yang dilalui ibu bapa saya.
“Kalau suami nak Aafiyah jadi ahli perniagaan dan meneruskan legasi perniagaan kami, itu membuatkan saya lebih gembira. Bukan senang nak jadi selebriti, tidak seindah disangka, tak seburuk yang diduga,” katanya.
Sejak akhir ini, video memaparkan Aafiyah menyanyi sering dikongsi pengguna media sosial, sekali gus ramai beranggapan si comel berusia empat tahun itu akan mengikut jejak langkah ibunya sebagai penyanyi.
Mengulas lanjut, Siti berkata, Aafiyah mempunyai pilihan sendiri apabila besar kelak.
Katanya, apa yang penting anak sulungnya itu tahu membawa diri.
“Bakat adalah anugerah Allah. Saya pun dapat bakat saya daripada ibu saya. Tinggal sahaja, adakah itu pilihan saya atau pilihan anak saya.
“Sebagai ibu, saya kena menyokong dari segi minat dan bakat Aafiyah. Cuma, Aafiyah ada pilihan apabila dewasa.
“Sekiranya bakat Aafiyah dirasakan luar biasa, tetapi saya percaya paling penting ketahanan mental dan fizikal,” katanya.
Sumber : BH Online
“Hati Saya Lega, Lapang. Anak Sudah Pulang Kepada Penciptanya” Pemuda Hilang 10 Bulan Selamat Dikebumikan
“Alhamdulillah, sudah selesai semuanya. Hati saya lega, lapang. Anak saya sudah pulang kepada Penciptanya.”
Begitulah luahan hati seorang ibu, Azmawati Ab Kadir, 55, selepas selesai pengebumian anak sulungnya Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain, yang sebelum ini dilaporkan hilang sejak 29 Okt tahun lepas.
Menurutnya, tiada lagi persoalan bermain di minda selepas 10 bulan menunggu khabar berita anaknya.
“Terima kasih ya Allah, 24 tahun Allah pinjamkan dia untuk saya. Syukur Alhamdulillah, dia anak yang terbaik untuk saya,” katanya kepada pemberita selepas selesai pengebumian anaknya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Putih, awal pagi ini.
Turut menemani Azmawati ialah anak bongsunya Nurul Izz Anisah Dzulkarnain, 21, dan tunang Allahyarham, Nurfaizah Mahadi, 25.
Dalam pada itu, tunang kepada Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain tidak sangka mimpinya bertemu dan bercakap dengan Allahyarham yang memberitahu akan ‘pulang’ merupakan petanda jasadnya yang hilang ditemukan serta disemadikan pada Selasa.
Nurfaizah Mahadi, 25, yang bekerja sebagai kerani berkata, sudah dua kali bermimpi bertemu dengan Allahyarham pada awal tahun ini dalam tempoh kira-kira 10 bulan Allahyarham menghilangkan diri.
“Saya tidak ingat tarikh kedua-dua mimpi itu tetapi dalam mimpi pertama, saya hanya sempat bertanyakan ke mana dia pergi tetapi dibalas dengan senyuman arwah.
“Dia senyum tunjuk ke satu arah dan hilang, sebelum saya terjaga dari tidur,” katanya.
Menceritakan berkenaan mimpi keduanya, Nurfaizah berkata, dia ‘berjaya’ menghubungi Allahyarham menerusi telefon bimbitnya.
“Saya bertanya dalam mimpi itu, awak di mana? semua orang mencari awak. Arwah cakap saya ada sini dalam 26 hari bulan (Selasa) nanti saya balik la. Saya bersyukur Iman ditemui,” katanya.
Dia melahirkan rasa syukur kerana jawapan kepada persoalan hampir 10 bulan di mana tunangnya pergi telah terjawab kerana sebelum ini sering risau keadaan Allahyarham sejak kehilangannya 29 Oktober lalu.
“Selama hampir 10 bulan kami menunggu jawapannya, sekarang sudah terjawab di mana dia berada. Ada kuburnya, Saya rasa bersyukur sangat kerana ini jawapan yang saya tunggu, selama 10 bulan ini saya selalu fikir dia di mana. Dia makan ke atau tidak?,” tambahnya.
Allahyarham Muhammad Iman Aqmar dan Nurfaizah sepatutnya melangsungkan pernikahan ketika ulang tahun kelahiran tunangnya itu pada Disember lalu namun hajat mereka tidak kesampaian.
Perkahwinan mereka sepatutnya diadakan pada Ogos tahun lalu, namun ditangguhkan pada Disember lalu kerana Ayah Norfaizah meninggal dunia.
Terdahulu, jenazah Muhammad Iman Aqmar selamat dikebumikan 1 pagi tadi, yang dihadiri lebih 100 ahli keluarga dan rakan-rakan.
Sebelum van yang membawa jenazah tiba di tanah perkuburan kira-kira 12.15 tengah malam, Allahyarham dibawa ke kediaman keluarganya di Taman Air Biru, di sini pada 11.45 malam.
Jenazah Muhammad Iman Aqmar terlebih dahulu dimandikan, dikafankan dan disolatkan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang, sebelum dibawa pulang ke Johor selepas solat Asar.
Hujan lebat di akhir majlis pengkebumian seolah-olah menangisi pemergian pemuda yang hilang 10 bulan tanpa khabar berita.
Dua hari lepas, satu rangka manusia ditemukan dalam sebuah kereta ditarik keluar dari Sungai Api-Api, Nenasi, Pekan di Pahang, dipercayai mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang hampir 10 bulan lepas.
Ketua Polis Daerah Pekan Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin dilaporkan berkata mayat ditemukan dalam kereta pelbagai guna (MPV), yang dijumpai seorang lelaki warga emas semasa mengalihkan besi dari jalan ke tepi sungai berkenaan pada 11.40 pagi.
Ketika ditemui, kenderaan itu turut terdapat kerosakan pada bahagian hadapan, kiri dan kanan selain dijumpai rangka manusia diselaputi lumpur serta pas pekerja atas nama Muhammad Iman Aqmar.
Sebelum ini, kisah kehilangan Allahyarham tular di media sosial sejak dia dilaporkan hilang.
Sumber: BERNAMA, Sinar Harian
Dapatkan Telaga Biru Pakej Kenal Jawi Kenal Al Quran Set dengan kos diskaun RM5, KELGST5 di sini