“Alhamdulillah, belum lagi makan pasir….” Norsalina bangga kerjaya suami sebagai badut. Norsalina Abdul Aziz berniat untuk riak, jauh sekali mendabik dada dengan rezeki yang dikurniakan Allah buat dia dan keluarganya.
“Saya hanya mahu orang tidak pandang rendah kerjaya sebagai badut,” Norsalina. Norsalina Abdul Aziz, 36 isteri kepada Muhammad Ar-Rabi Ab Ghani, 37, yang terlibat dalam perkhidmatan badut secara sepenuh masa amat berbangga dengan kerjaya suaminya.
Malah menurut wanita berasal dari Negeri Sembilan itu, berkat kerjaya tersebut suaminya mampu menyediakan keperluan dan kesenangan kepada mereka sekeluarga.
Menerusi hantaran di laman TikTok, Norsalina memuat naik video mengenai perjalanan kerjaya suaminya sebagai ‘penceria’ acara sehingga mampu memberi kemewahan antaranya bercuti ke luar negara, berpeluang mengerjakan umrah, membeli sebuah rumah dan emas perhiasan.
“Sebenarnya semua ini tak dirancang, saya pun tak tahu video itu boleh tular. Niat saya hanya berkongsi pada mereka yang melihat supaya jangan sesekali memandang rendah pekerjaan seseorang.
@acik_amat
“Rezeki bukan hanya datang dari pekerjaan kita, tetapi dari Allah. DIA berkuasa untuk beri rezeki selagi mana kita usaha dan yakin,” katanya.
Menyingkap kisah hidup mereka, Norsalina memaklumkan, keluarga tidak menolak pilihannya ketika di awal perkahwinan, bahkan menerima pekerjaan Muhammad Ar-Rabi sebagai badut.
Ibu Norsalina menyifatkan bakal suaminya seorang lelaki yang berani menggalas tanggungjawab untuk menampung kehidupan.
Walaupun pernah dihakimi oleh masyarakat sekeliling, pasangan yang dikurniakan dua cahaya mata itu hanya memekakkan telinga dan menepis persepsi dengan menjalani kehidupan serba cukup.
“Alhamdulillah, belum lagi makan pasir (kerana) suami buat kerja ini. Ada yang kata badut tak menjamin masa depan, sedangkan dengan kerja inilah suami dapat bawa kami sekeluarga bercuti luar negara.
“Saya terima banyak respon, ada juga yang terinspirasi dengan perkongsian kisah hidup kami.
“Ada juga yang kata saya riak bila berkongsi (kemewahan), namun niat saya hanya mahu masyarakat lihat kerjaya badut juga mampu menjamin masa depan,” ujarnya.
“Saya tak malu, malah bangga suami seorang badut sebab itu saya sendiri tawar diri untuk promosikan dia.”
“Masa tahun 2010, sejak dari sebelum kahwin suami membuat kerja sambilan sebagai badut, tetapi dia bekerja di bawah orang.
“Semasa itu suami ada kerja tetap sebagai ‘dispatch’ (penghantar barang) dan bila ada waktu cuti dia akan menjadi badut untuk memenuhi permintaan pelanggan.
“Selepas kahwin, saya lihat bakat suami boleh diketengahkan dan dia juga pandai menghiburkan orang lain terutama kanak-kanak. Dari situ saya ambil tugas buat promosi untuk iklankan perkhidmatan suami dan jalankan bisnes sendiri,” katanya.
Dia dan keluarga tidak pernah berasa malu dengan kerjaya suaminya sebagai badut kerana menganggap usaha itu sebagai komitmen suami menampung keperluan hidup mereka.
Menurut Noraslina, setiap tahun dia akan menjahit satu pakaian baharu untuk menambah kostum badut suaminya sambil menyusun jadual kerja lelaki itu.
Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, selain menyediakan perkhidmatan badut, dia dan suami turut menjalankan beberapa perniagaan lain antaranya ‘face painting’ dan ‘sand art’.
Bercerita lanjut, Norsalina memberitahu hasil perkhidmatan badut suaminya ini mampu meraih pendapatan kira-kira RM6,000 sebulan, bagaimanapun ia bergantung kepada permintaan pelanggan.
“Kami ambil tempahan seperti majlis hari jadi, kenduri akikah, fun run dan beberapa bentuk majlis santai yang lain.
“Kami tak jalankan secara terbuka di kawasan rekreasi seperti mana yang dilakukan tukang badut yang lain,” ujarnya.
Jelas Norsalina, kini permintaan untuk mendapatkan perkhidmatan badut bagi memeriahkan majlis bersama kanak-kanak semakin bertambah dan membuka rezeki luas buat keluarga kecil mereka.
Sumber: Sinar Harian, Kosmo online TikTok acik_amat