Ibu mana yang tidak bimbang dengan kesihatan anaknya bila kerap kali mengalami beberapa gejala seperti susah bernafas, bersin dan badan berbintik-bintik tanpa mengira waktu.
Disebabkan kerisauan itu juga telah membuatkan Tya Ariffin akhirnya memutuskan untuk membawa anak lelakinya, Arif Jiwa mendapatkan rawatan dengan melakukan ujian alergi kulit di sebuah pusat perubatan di ibukota baru-baru ini.
Berkongsi info berkenaan keadaan anaknya, Tya memaklumkan anak lelakinya itu kerap mengalami masalah susah bernafas, bersin dan badannya pula berbintik-bintik merah.
“Pergi ke klinik, ingatkan batuk atau selsema. Minumlah ubat. Pergi ke TNT juga, sekejap hilang dan datang lagi.
“Kerana tak puas lagi, jadi datanglah ke doktor untuk buat ujian alergi,” kongsi Tya di dalam video yang dikongsikan di Instagramnya.
Tambah Tya lagi, “Jadi buat test alergi pada susu ke, cheese ke, kacang ke, coklat, sampai haiwan peliharaan pun ditest, tu yang kenapa belakang Arif ada titik titik,” terangnya.
Hasil daripada ujian yang dilakukan dengan kos sekitar RM700 hingga RM1,000 itu, dapatlah diketahui bahawa Arif sebenarnya alergi pada debu.
“Ingakan sebelum ini sebab tak boleh minum susu, makan kacang atau keju. Buat juga ujian haiwan peliharaan.
“Tapi hasilnya, Arif memang alergi debu,” jelas Tya.
Lantaran itu Tya berpesan kepada semua agar menjaga kebersihan kediaman termasuk menukar sarung bantal, karpet dan langsir.
“Kena selalu lihat kebersihan carpet, bantal, langsir. Selain itu kena tukar 5-7 hari sekali. Bantal setiap hari dijemur atau dicuci. Elakkan tempat berkarpet.
“Jadi ibu-ibu pastikan kenali punca sebenar, dah kasian Arif selama ini kena menahan makan coklat, keju dan sebagainya. Ternyata debu je,” jelas Tya lagi.
Gara-gara membuat kesilapan sewaktu mendarat ketika pergerakan akrobatik sewaktu menjayakan persembahan di The Hardest Singing Show (THSS) pada minggu lalu, penyanyi dan pelakon Ayda Jebat mengakui kawasan jahitan pembedahannya mengalami kesakitan.
Semuanya kerana kesilapannya sewaktu mendarat hingga memberikan kesan pada bahagian perutnya yang kini masih dalam proses pemulihan selepas bersalin secara pembedahan (czer) pada Disember lalu.
Hal itu dikongsikan Ayda menerusi satu hantarannya di media sosial miliknya semalam.
Pun begitu tambah Ayda dia tidak berputus asa sebaliknya mencuba dan berlatih lagi sehingga membuat aksi lompatan itu sempurna.
“Percubaan pertama mendarat ke depan. Berdenyut tempat czer. Satu malam tak buat dah.
“Esok cuba lagi. Terbang berpusing dan mendarat ke belakang. Alhamdulillah. Berlatih sampai sempurna,” tulisnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan kerisauan malah menasihati penyanyi kesayangan ramai itu untuk tidak terlalu extreme dalam membuat persembahan demi menjaga kesihatan dirinya yang baru sahaja melahirkan cahaya mata keduanya pada Disember lalu.
Mereka juga menasihati Ayda untuk beristirehat dan melakukan pemeriksaan pada bahagian perut lebih-lebih lagi penyanyi berusia 32 tahun itu belum pulih sepenuhnya.
Sepanjang menjayakan persembahan di The Hardest Singing Show yang bersiaran di Astro itu, Ayda dilihat sentiasa mempamerkan persembahan cemerlang dan terbaik setiap minggu.
Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan kini sedikit longgar namun orang ramai tidak dibenarkan pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya Aidilifitri.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan kesukaran untuk memastikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Kesihatan berkaitan pencegahan COVID-19, menjadi punca mengapa pulang ke kampung untuk sambutan Aidilfitri dan juga ziarah tidak dibenarkan.
Katanya, perkara tersebut sememangnya berat untuk dihadapi rakyat terutama yang menyambutnya, namun berbanding pasar raya sebagai contohnya, SOP itu sebenarnya lebih mudah untuk ditetapkan di premis perniagaan seperti itu.
“Sebagai contoh siapa yang nak masuk mesti beratur, jarak satu meter… penjarakan sosial mesti dijaga, sebelum masuk juga kena saring dan untuk masuk juga kena ada jumlah tertentu yang kita perlu tetapkan, jadi semua SOP itu kita jelas.
“Tetapi balik kampung siapa yang nak pantau, dalam satu rumah tiba-tiba berpeluk-peluk dengan saudara-mara, macam mana kita nak pastikan penjarakan sosial berlaku?
“Bagaimana nak pastikan ada yang periksa suhu setiap orang yang masuk ke rumah,” katanya dalam program ‘Ruang Bicara’ Bernama TV, yang disiarkan secara langsung, malam tadi (Khamis).
Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, walaupun satu jawatankuasa khas telah dibentuk antara agensi kerajaan untuk memantau kepatuhan kepada SOP berkenaan, namun beliau berkata anggota yang ada, tidak mencukupi untuk memantau setiap rumah di seluruh negara.
“Jadi (pemantauan) pematuhan itu kita jangka tak dapat kita laksanakan. Jadi apa yang kita buat ini adalah untuk menjaga kepentingan semua.
“Kita tidak mahu Aidilfitri ini menjadi satu kluster baharu, akibat raya balik ke tempat kerja bawa penularan baharu,” katanya.
Bagaimanapun, katanya ia tertakluk kepada Menteri Kesihatan yang mempunyai kuasa untuk mengeluarkan sebarang arahan berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, termasuk kebenaran untuk pulang ke kampung.
“Seperti saya katakan, kita akan rujuk kepada Kementerian Kesihatan, kerana Akta 342 ini adalah akta di bawah kementerian berkenaan, dan di dalam akta ini Menteri Kesihatan boleh keluarkan arahan, jadi arahan menteri pada ketika ini, tidak boleh,” katanya.
Ismail berkata, walaupun ada juga beberapa pihak yang minta supaya kebenaran diberikan dengan mengenakan SOP tertentu, beliau berkata ia tidak dapat dilakukan, selagi ia diletakkan di bawah senarai terlarang.
“Selagi itu ia tidak boleh ada SOP pun, SOP hanya boleh dikeluarkan kepada senarai dibenarkan,” katanya.
Sumber: BERNAMA
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Melihat pasangan ini menguruskan dan mendidik anak-anak mengikut acuan sendiri nyata memberi motivasi kepada ibu bapa lain. Tidak hairanlah setiap kali mengemas kini status terbaru di media sosial, ada sahaja pertanyaan dan permintaan daripada orang ramai yang ingin mereka berkongsi ilmu keibubapaan.
Tidak sekadar itu sahaja, pasangan ideal Dato’ Dr Sheikh Muszaphar dan Datin Dr Halina juga tidak menggunakan bantuan pembantu rumah dalam menguruskan anak-anak. Sebaliknya mereka lebih selesa melakukan sendiri sejak dahulu lagi.
Push anak belajar banyak benda
Senada dan sehati dalam segala hal, namun Dato’ Dr Sheikh Muszaphar sedikit ‘dominan’ terutama dalam mendidik anak-anak. Tegasnya, anak-anak perlu didedahkan dengan segala kemahiran sejak kecil lagi bagi memudahkan pada masa akan datang.
“Alahmdulillah, syukur kerana ini rezeki yang Tuhan berikan pada kami. Saya dan isteri memang suka anak ramai. Saya suka mendidik anak-anak ikut cara saya yang dipraktikkan hasil pembelajaran melalui ajaran ibu bapa saya dan juga sebelah Halina. Saya suka tonjolkan anak-anak dengan unsur kasih sayang selain ‘push’ mereka sehingga ke tahap maksima kerana kita tidak tahu potensi mereka yang boleh pergi.
“Saya mahu didik mereka dalam semua bidang termasuklah bab agama, akhlak, mengaji, belajar berenang, tekwando dan pelbagai lagi. Setiap ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anak, demikian juga kami. Dalam hal ini, saya mengharapkan anak-anak akan jadi lebih baik daripada kami kelak. Awalnya isteri saya agak takut dan kesian kerana anak-anak masih kecil.
“Tetapi sebenarnya mereka suka jika apa yang kita suruh buat itu benda yang menyeronokkan buat mereka. Penerimaan Bella dan Tasha baik dan saya tidak suka mereka membazir masa begitu sahaja kerana pada saya setipa minit itu adalah pelajaran. Kebetulan juga kami berdua sibuk dengan kerja, kerana itu saya suka hantar anak-anak ke kelas untuk menambahkan kemahiran mereka.
“Pernah juga mak saya tegur kononnya biarlah anak-anak main tetapi bagi saya pelajaran juga satu corak permainan. Contohnya ke kelas menyanyi, persekitaran tersebut cukup menyeronokkan. Jadi, daripada situ mereka selesa dan seronok untuk belajar. Saya berimpian mahu melihat anak-anak mengikut jejak langkah kami dalam bidang kedoktoran. Kerana itu saya mendedahkan mereka dengan bidang perubatan ini sejak awal lagi.
“Tetapi andai suatu hari nanti mereka mahu memilih bidang lain, saya akur. Tetapi saya percaya jika kita didik dan asuh minda mereka sejak awal ke arah tersebut, maka saya yakin mereka akan menuju ke arah yang betul.
Take a break elak stress
Ditanya mengenai cabaran memiliki anak kembar, jelas Angkasawan negara ini lagi, memang sangat mencabar dan dalam masa yang sama terselit kebimbangan tidak mampu memberi kasih sayang sama rata.
“Memang stress dan kadang kala penat sangat kerana boleh dikatakan 24 jam kami menguruskan anak-anak sendiri. Saya bangun jam 2-3 pagi untuk susukan dan dodoikan anak. Pada saya suami kena banyak berkorban dan jangan harapkan isteri sahaja. Saya lebih suka berjaga malam dan biarkan Dr Halina tidur dan berehat. Pada saya, sebagaimana isteri berkorban begitu juga suami dan kedua-dua kena main peranan.
“Saya selalu pesan pada isteri, kalau penat ambil rehat dengan pergi keluar untuk ‘take a break’ walau hanya 30 minit. Tetapi jarang sebenarnya nak stress kerana penat macam mana sekali pun itu adalah sesuatu yang kami suka lakukan. Lagipun kembar memerlukan perhatian lebih terutama Noah yang agak kecil berbanding Adam. Jadi, dalam diam-diam saya susukan lebih supaya dapat naikkan beratnya dan Alhamdulillah tidak banyak beza kedua-duanya,” seloroh Dato’ Dr Sheikh Muszaphar lagi.
Anak sekolah aliran Cina
Tidak mahu anak terkena kejutan budaya membuatkan pasangan ini menghantar anak-anak bersekolah lebih awal sedari usia 3 tahun. Bahkan Bella menurut Dato Dr Sheikh Muszaphar lagi sudah mencapai level tahun empat untuk subjek matematik dan Bahasa Inggeris. Mengakui Bella banyak mengikut jejak langkah isterinya terutama bab bergaya, mekap, kasut dan sebagainya, Dato Dr Sheikh juga menghantar anak-anak ke sekolah Cina.
“Saya selesa menghantar anak-anak ke sekolah kerajaan kerana tidak mahu anak berasa diri ‘besar’ sebaliknya mahu mereka jadi orang biasa yang sentiasa rendah diri. Sekolah Cina menjadi pilihan kerana mahu mereka fasih bahasa Mandarin. Walaupun saya secara peribadinya tidak tahu berbahasa Cina dan terpaksa membuka Google translate apabila mengajar anak-anak, saya tidak kisah kerana bahasa ini amat penting untuk masa depan,”ulas Dato Sheikh Muszaphar.
Parenting satu eksperimen
Mengakui masih baru dalam bab keibu bapaan, Dato Dr Sheikh Muszaphar tidak mengharapkan semua orang menerima kaedah yang dipraktikkannya itu.
“Ini cara saya dan kepada mereka yang tidak setuju tidak apa. Kerana proses parenting ini seperti satu eksperimen. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan. Mungkin kita sudah berikan yang terbaik tetapi hasilnya berbeza. Namun yang pasti saya sudah melakukan yang terbaik dan jika ada yang mahu mencontohi cara saya, maka boleh ikut.
“Keutamaan saya lebih pada keluarga dan bab memberi ceramah masih diteruskan cuma tidak mahu terima terlalu banyak. Soal penerimaan tawaran untuk anak-anak buat masa sekarang kami masih kawal lagi. Kami tidak mahu mereka didedahkan pada bidang komersil dan memilih produk yang bersesuaian dengan anak-anak,”jelas Dato Dr Sheikh Muszaphar yang mengakui kerjasama dan perancangan awal yang sistematik memudahkan dia dan isteri menguruskan anak-anak baik di rumah mahupun ketika bercuti dan sebagainya.
Sumber: Majalah Keluarga Jan-Feb 2018
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Seorang pemuda ditahan kerana disyaki mencabul seorang murid perempuan yang sedang bersolat Subuh dalam Masjid Jamek Sungai Masin dekat Batang Kali, awal pagi tadi.