Alamak! Terlebih Masin Pula! Jangan Risau, Anda Boleh Kurangkan Masin Dalam Makanan Dengan Cara Ini

Share

Pasti haru-biru jika hidangan Hari Raya anda terlebih masin. Sudahlah para tetamu sudah hampir mahu bertandang, makanan extra pula tiada. Hanya mengharapkan hidangan yang sedia ada. 

Pasti anda rasa tidak sampai hati untuk menhidangkan juga juadah tersebut. 

Walaupun sudah bermacam-macam cara dibuat, num masinnya tetap sama. Bak kata orang ‘boleh kena darah tinggi.’

Jangan risau, ada beberapa cara untuk anda selamatkan lauk tersebut dan membetulkan rasa masakan supaya tidak terlalu masin. Bahan-bahannya juga mudah untuk dicari di dapur.

7 PETUA KURANGKAN MASIN DALAM MASAKAN YANG TERLEBIH GARAM

Berikut adalah petua kurangkan masin dalam masakan yang boleh anda praktikkan dalam ‘kecmasan’.

1. PELEPAH / DAUN PISANG

Gunakan pelepah pisang untuk kurangkan rasa masin. Potong dalam kira-kira seinci, bersihkan dan masukkan dalam lauk dan didihkan bersama sehingga lauk masak. Kemudian buang pelepah tersebut bila nak dihidang.

Selain pelepah pisang, daun pisang juga boleh digunakan untuk kurangkan rasa masin. Caranya ialah dengan meletakkan koyakan daun pisang yang sudah dibersihkan ke dalam juadah yang siap dimasak. Biarkan selama 30 minit. Daun pisang juga dapat meyerap lebihan rasa masin pada lauk.

2. MASUKKAN KENTANG

Apabila lauk hampir siap dan terasa masin apabila dicuba, jangan panik. Jika tiada pelepah pisang, boleh masukkan sebiji kentang yang dipotong empat di dalam lauk dan biarkan sehingga mendidih. Kentang akan membantu menyerap kemasinan dalam lauk dan mengimbangi rasa masakan.

Boleh juga pakai sayur-sayuran yang tinggi kandungan air seperti terung dan timun yang dipotong secara memanjang untuk membetulkan rasa masin pada juadah.

3. BERAS

Masukkan sedikit beras yang dah dibasuh ke dalam sehelai kain bersih yang jarang. Ikatkan seperti bunjut dan masukkan ke dalam lauk yang terlebih masin.

Bunjut beras ini akan menyerap lebihan rasa masin dalam lauk. Bila lauk dah siap masak dan rasanya pun dah OK, bolehlah keluarkan bunjut beras tadi.

4. HAMPAS KELAPA

Dengan teknik yang sama seperti membuat bunjut beras, anda boleh ambil sejemput hampas kelapa ikatkan supaya menjadi bunjut. Masukkan bunjut kedalam lauk dan masak bersama dalam 15 ke 20 minit.

Bunjut hampas kelapa dapat membantu membuang rasa masin berlebihan dan turut memberi rasa lemak pada lauk. Kemudian, boleh keluarkan bunjut tadi dari lauk.

5. CEBISAN ROTI

Bagi lauk yang berkuah pekat seperti sup cendawan atau stew, adalah lebih baik untuk mengekalkan kepekatannya supaya lebih enak. Daripada menambah air, terdapat cara yang lebih praktikal untuk membetulkan rasanya.

Ambil beberapa keping roti dan koyak kepada beberapa cebisan. Kemudian, masukkan ke dalam kuah supaya ia dapat menyerap rasa masin. Setelah roti terendam, keluarkan roti dan cuba rasa masih masin atau tidak. Jika masih masin, ulang beberapa kali sehingga rasanya memuaskan.

6. IMBANGKAN RASA MANIS & MASAM

Selain penggunaan barang dapur seperti sayuran dan roti, boleh juga gunakan perasa lain untuk meneutralkan kembali rasa makanan. Tambahkan sesudu gula, kacaukan dan kemudian tambahkan sesudu perasa masam seperti cuka atau perahan limau nipis. Boleh ulang beberapa kali sehingga mencapai rasa yang diinginkan.

Boleh juga cuba untuk memekatkan kuah lagi dengan cara menambah santan sehingga cukup rasa.

7. TEKNIK TUTUP PERIUK

Apabila rasa lauk agak masin, tutup lauk dengan tudung periuk dan didihkan beberapa minit. Biarkan seketika. Kemudian, angkat tutup periuk dan basuh dengan air paip. Biarkan basah dan tutup semula periuk tadi dan tunggu lagi 10 minit.

Ulangkan lagi dan alihkan tutup periuk apabila lauk dihidang. Lauk akan menjadi kurang masin dengan sendirinya.

MUDAHKAN?

Memasak sendiri sebenarnya adalah cara terbaik untuk mengawal pemakanan dengan berkesan. Pakar kesihatan mengesyorkan pengambilan garam dalam satu suku sudu teh sahaja dalam diet harian. 

Dengan memasak sendiri, kita dapat menyukat sendiri jumlah perencah dan perasa dalam lauk.

Jadi, jangan rasa down kalau masakan tak jadi atau tersilap sukatan. Semoga dengan petua kurangkan masin ini, anda masih dapat menyelamatkan rasa masakan dan menjadikannya lazat untuk dihidangkan!

[TIPS]

Nak macam-macam info? Sila subscribe channel Telegram KELUARGA  dan join keluargagader club