Tazkirah yang ditulis oleh seorang ustazah ini dapatlah kiranya dijadikan peringatan buat hati-hati kita yang sering lalai.

Turut disenaraikan beberapa point penting muhasabah diri saat Perintah Kawalan Pergerakan ini dilancarkan.

Jom baca ini perkongsiannya.

IKLAN

Hand sanitizer simbolik ikhtiar seorang insan.

Al-Quran simbolik penyerahan kepada Tuhan.

7 points penting muhasabah diri sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan COVID-19 ini:

1. Berserah segalanya kepada Allah S. W. T tanpa usaha dan ikhtiar semudah #StayAtHome adalah konsep tawakkal yang salah.

Ingat kembali kisah Siti Hajar yang berulang alik antara Safa dan Marwah. Beliau cekal berusaha demi mencari air untuk puteranya, Ismail yang kehausan di tengah padang pasir yang tandus.

Itulah konsep tawakkal yang sebenar. Berusaha sebagai seorang hamba dan bergantung kepada kekuasaan Yang Maha Esa.

2. Mengharap sepenuhnya kepada usaha mengamalkan hand sanitizer, pemakaian face mask, social distancing dan rutin makan ubat/vitamin adalah syirik kecil yang menyebabkan Allah murka.

IKLAN

Kesihatan itu rezeki daripada Allah Ya Salam. Maka, asasnya kembali kepada Allah. Hanya kepada-Nya kita memohon dan meminta.

Ustaz Adi Hidayat memberi peringatan apabila pakar perubatan mengatakan tidak ada ubat penawar kepada sesuatu penyakit, Allah lebih awal menyediakan penawar di dalam Al-Quran.

Sungguh, Allah Maha Penyembuh.

Maksud surah Asy-Syu’ara ayat 80;

“Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan penyakitku.”

3. Kata Ustaz Farid Abu Auliya, “Orang mukmin sejati rasa bersalah, bukan mencari salah.”

Mari ambil pengajaran daripada kisah Nabi Adam A. S yang dikeluarkan dari Syurga. Boleh saja Nabi Adam menyalahkan iblis dan Hawa yang menjadi asbab imannya rapuh.

Namun, dengan penuh rasa bersalah Nabi Adam merayu memohon ampun kepada Allah 40 tahun lamanya tanpa sikap menyalahkan.

4. Apa yang berlaku kepada negara dan dunia sekarang amat menyedihkan.
Jika kita bukan termasuk golongan the frontliners, bukan pesakit COVID-19 dan bukan ahli keluarga kepada pesakit yang terkena jangkitan atau bukan juga golongan susah yang terputus sumber rezeki melalui perniagaan kecil-kecilan..

Sudahkah kita menangis keinsafan?
Atau sekurang-kurangnya menangis kesyukuran?

Jika belum, menangislah untuk hati yang masih keras untuk menangis. Semoga air mata ini menjadi saksi di Akhirat.

Maksud sabda Rasulullah S. A. W;
“Andai kalian tahu apa yang aku tahu, nescaya kalian akan sedikit ketawa dan banyak menangis.”

5. Ada hikmah di sebalik musibah. Mufti Menk menegaskan, apa sahaja yang terjadi mengikut takdir Allah, jika itu mampu membuatkan kita bertambah ibadah dan dekat kepada Allah, maka itu adalah rahmat yang besar. Bersyukur dan bersabar saat diuji. Dunia ini sememangnya diciptakan sebagai medan ujian.

6. Kita merasa takut dengan virus yang terus merebak dan mengancam nyawa. Sesuatu yang paling harus kita takuti ialah dosa-dosa kita sendiri yang boleh mengheret kita ke Neraka.

Renung kembali..
Apa yang kita cakap, buat dan tulis?

Allah memberi peluang kita berada di dalam ruang lingkup rumah yang kecil supaya kita melebihkan masa merenung satu ruang yang lebih kecil – – – > dasar HATI yang paling dalam.

7. Kita masih berharap keadaan akan kembali seperti biasa kerana keyakinan kita Allah itu Ar Rahman Ar Rahim, Maha Pengasih Maha Penyayang.

Kita sedih dataran menghampiri Kaabah dikosongkan. Keizinan untuk menunaikan umrah ditutup. Hancur impian mereka yang sudah membuat persiapan.

Kita sedar pintu masjid sudah tertutup. Solat jumaat dibatalkan. Pecah jiwa mereka yang merupakan ahli masjid.

Bersyukurlah, sehingga saat ini..Pintu taubat masih terbuka.Sehingga tahap ini teguran Allah kepada kita, adakah belum terjentik rasa?

Coretan Hati Insan Berdosa,
Nurkhomsiah Bakrim
21 Mac 2020

sumber : Nurkhomsiah Bakrim