Perginya pelakon veteren Abu Bakar Omar pada tanggal 16 April yang lalu ke negeri abadi, merupakan berita mendukacitakan buat semua. Pelakon yang popular menerusi drama dan filem pecah panggung antaranya Fenomena, Cinta Kolestrol dan Hingga Hujung Nyawa ini begitu disanjungi bakatnya. Semoga arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman, amin.
Turut berkongsi rasa kesedihan dengan pemergian insan tercinta, Mohd Zainuddin Abu Bakar yang juga merupakan anak sulung arwah telah menitipkan apa terbuku di hati. Luahan rasa betapa rasa cemburu di hati turut membuatkan warganet berasa pilu dan sama-sama mendoakan agar arwah berbahagia di sana.
Bapak..
Aku rasa akulah orang yang paling kenal bapak ..
Rupanya aku salah…banyak rahsia bapak yang hanya timbul selepas bapak kembali ke dakapan rahmat Allah…
Aku kenal bapak aku dari sisi bukan seorang bapak..sama seperti kalian kenal…
Anak wayang yang mengisi ceritera nusa dan bangsa..dipuji, dicerca, dimarah, disayangi kesan watak yang diberikan…antagonis watak yang terlalu sinonim zaman mudanya..
Anak pasar borong yang dipenuhi dengan pelbagai ragam dan rasa…hingga beliau digelar Bakaq Bolong..mengambil tanggungjawab menjaga keluarga seawal usia darjah tiga..membantu tok wan di pasar borong…
Namun hakikat bapak jauh dari itu…
Allah kurniakan pengakhiran hayatnya dengan segala keindahan…
Allah jemput di penghulu segala hari dalam penghulu segala bulan…Jumaat pertama Ramdhan..dalam fasa Rahmat Allah..
Bapak dimandi dan dikafankan oleh kami semua anak2nya…malah lebih dari itu..anak2 yang menumpang kasih beliau sebagai bapa…
Sangat mudah diuruskan…jenazah yang sangat lembut…tenang bapak persis tidur…tiada kotoran yang keluar dari badan bapak tika istinjak dan dimandikan..
Bapak seolah tahu masanya telah tiba…
Diminta cucu sulong untuk rapikan dirinya beberapa hari sebelum itu..
Di pesan kepada adikku mencari pasangan..buat peneman bonda…itulah pesannya berulang kali hingga hari terakhir..
Bapak tunggu sehingga semua kami adik beradik sampai…barulah bapak meninggalkan kami dalam keadaan sangat tenang..persis tidur gayanya…
Jenazah diuruskan dengan teratur dan lancar sekali….ribuan doa pengampunan dan kebaikan dibacakan untuk bapak dari khalayak yang tidak pernah bapak kenali mereka..tak kurang juga ramai yang mengatakan bahawa ia adalah kematian yang dicemburi…
Sungguh bapak…
Aku cemburu…lihat bapak disayangi orang luar…
Luar biasa sayangnya itu bapak…
Ramai yang menghubungiku secara peribadi menceritakan baiknya bapak dalam membantu mereka…yang aku tak pernah tahu pun..dari masjid hingga marhaen biasa menceritakan kepadaku apa yang dikau bantu mereka…
Aku cemburu bapak…
Seorang ibu kematian dua orang anak yang tak pernah dikau kenali…dengan hati yang sangat tulus tanpa sebarang kepentingan sekadar memaklumkan kepadaku bahawa beliau membaca setiap hari hampir ratusan kali Surah Al Fatihah dan Al Ikhlas didoakan khusus untuk anak2nya…dan bermula dari saat kematianmu…secara khusus ibu ini memasukkan sekali namamu bapak…akan dilakukan sepanjang hayatnya…itulah bicara janjinya dengan ku…
Aku cemburu bapak…
Ratusan yang hadir solat jenazahmu…sebahagian besarnya bukan dari orang yang kami kenali..bukan juga teman2 lakonanmu…tapi jelata yang sangat menyayangimu…
Aku cemburu bapak…
Tanah kubur kelompok keluarga kita yang lazimnya sangat berselut umpama sawah bergenang air dalamnya…tapi Allah takdirkan untuk persemadianmu itu tanahnya merah lembut tanpa setitis air.. yang sangat sempurna liangnya..
Aku cemburu bapak…
Usai ziarah pusaramu pada hari berikutnya…aku terserempak dengan satu keluarga yang teresak nangisnya..bertanyakan di mana kuburmu…tanpa kenali siapa aku…mereka menceritakan betapa bapak telah sangat membantu hidup mereka…hinggakan mereka mangaku bahawa bapak adalah ayah angkat mereka…sungguh aku tidak pernah kenal mereka…
Aku cemburu bapak…
Aku cemburu..
Aku masih menyelongkar rahsia hidupmu…
Rahsia hidup yang dikau sembunyikan dari kami…
Hingga mulianya dikau dipenghujung hari…
Bapak…
Damailah di sisi Ilahi..
Kami menjadi saksi…
Dikau bapa yang sangat disayangi…
Mohon sudi doakan Ayahanda kami..
Almarhum Tuan Haji Abu Bakar Omar..
Sumber : Muhamad Zainuddin Abu Bakar
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club