Memang benar, lain orang tentu lain cara mendidik anak-anak yang dipraktikkannya. Pun begitu, tujuan kita sebagai ibu dan ayah ketika mengajar anak-anak pasti mahukan anak-anak dapat belajar dengan sebaik mungkin dan faham apa yang cuba kita sampaikan. Sekali gus, menjadikan anak-anak ini seorang anak yang bijak pandai.
Mengetahui lanjut cara mengajar anak-anak di bawah umur 2 tahun, ayuh kita baca perkongsian daripada puan Maryam Jamadi ini untuk info bersama.
NAK ANAK BIJAK
Kadang-kadang saya garu kepala bila, anak lelaki, semua mainan kereta.
Anak perempuan, semua mainan anak patung.
Dalam merangsang perkembangan anak, pemilihan mainan sangat penting terutamanya anak bawah 2 tahun yang permainannya terhad dengan apa yang diberi dan apa yang ada.
Tidak perlu 1 rak mainan kereta untuk anak lelaki tetapi tidak ada 1 pun mainan masak-masak. Yang ada anak perempuan, tidak perlu pun penuh katil dengan teddy bear tetapi tiada mainan kereta.
Semua mainan penting.
Ads
Ramai yang bertanya saya, mainan apa yang paling bagus untuk anak umur bawah 2 tahun. Jawapan saya, apa apa mainan pun bagus asalkan tak bahaya.
Asalkan dapat merangsang perkembangan anak, macam mana nak merangsang perkembangan? Dengan merangsang semua deria. Ada 7 jenis deria yang perlu dirangsang sejak lahir kalau nak anak pandai dan bijak:
1. Sentuhan 2. Keseimbangan dan pergerakan 3. Sendi 4. Visual 5. Auditori 6. Rasa 7. Bau
Maka, pemilihan mainan yang pelbagai sangat penting untuk merangsang semua deria. Otak anak bawah 2 tahun macam span, menyerap segala benda dan jangan terkejut jika kita merangsang semua deria dengan optimum dan cukup. Kesannya sangat memberangsangkan, malah anak cepat “tangkap” apa-apa input yang diberi kepadanya.
Ads
Kalau nak anak bijak, bukan dengan mengajar membaca seawal lepas lahir ya. Tetapi dengan merangsang deria-deria, dan cara yang paling bagus untuk mengajar anak benda baru adalah dengan menggabungkan semua deria yang ada.
Contohnya nak ajar buah epal, daripada guna flashcard epal lebih baik guna epal yang betul kerana jika flashcard ia hanya menggunakan 2 deria sahaja iaitu pendengaran dan penglihatan. Jika kita beri buah betul, ia secara tak langsung menggunakan semua deria
Ads
1. Sentuhan, anak pegang tekstur dan bentuk epal.
2. Auditori, anak dengar perkataan epal.
3. Visual, anak lihat buat epal.
4. Bau, anak bau epal.
5. Rasa, anak rasa epal.
6. Sendi, anak pegang epal dan agak berat epal.
7. Keseimbangan, anak cuba seimbangkan badan dan tangan semasa memegang epal.
Teknik ini juga sangat berkesan untuk anak yang lewat bercakap (speech delay). Tetapi, berapa banyak mainan yang ada pun tak boleh tandingi “mainan” mak ayah yang meluangkan masa bermain dengan anak.
Kepada mak ayah yang ada anak bawah 2 tahun, mohon sangat-sangat untuk luangkan masa bermain untuk anak. Tiada guna beli mainan berbakul-bakul tetapi “tiada” mak ayah yang bermain bersama.
Lumrah hidup berumah tangga, ada pasang surutnya. Ada baik dan ada buruknya. Masing-masing ada kekurangan dan kelebihan tetapi yang penting kedua-dua belah pihak kena selalu muhasabah diri dan memperbaiki diri.
Berikut Tips 7 ‘C’ yang menyebabkan suami benci isteri yang dikongsingkan oleh Dr Fadzilah Kamsah. Ia baik dan sangat berguna untuk renungan bersama agar keharmonian rumah tangga dapat dipelihara. Untuk para isteri, elakkan daripada melakukan 7C ini.
1. Cabar
Lelaki mempunyai ego mereka yang tersendiri. Lelaki tidak suka dicabar terutama sekali oleh wanita dan wanita perlu tahu batas tindakan mereka agar lelaki tidak rasa tercabar.
Isteri, apabila bergaduh dengan suami mulalah kata, “Kalau awak berani cubalah (cabar suami cari perempuan lain)!”
Dr Fadzilah kata JANGAN CABAR SUAMI, nanti suami buat betul-betul isteri juga yang putih mata.
2. Cabul
Perbuatan dan kata-kata isteri yang tidak sopan (isteri hilang sifat malu) seperti mengeluarkan kata-kata yang tidak baik pada mertua mahupun suami.
3. Celupar
Wanita yang cantik akan kelihatan hodoh jika mulutnya celupar, sama seperti cabul. Isteri selalu cakap yang tidak manis, selalu terlepas cakap pada suami sehingga membuat suami jauh hati.
4. Comot
Ada wanita yang cantik tetapi comot. Comot sama ada melibatkan wajah, penampilannya yang selekeh, kerja yang dilakukan serta tindak-tanduknya. Isteri bila nak keluar rumah saja barulah nak comel berhias tapi bila di rumah, comotnya! Ada isteri kata mekap untuk suami, tapi bila di rumah tidak mekap pun. Suami nak dekat pun tiada nafsu
5. Cemburu
Cemburu perlu dalam sesuatu hubungan tetapi wanita yang terlampau cemburu hingga pasangannya merasa terkongkong akan membawa padah kepada perhubungan mereka.
Ini akan membuatkan lelaki akan rasa diri mereka tidak dipercayai.
Suami lemas kalau isteri cemburu berlebih-lebihan. Sikit-sikit telefon suami di pejabat. Suami baru balik kerja sudah kena tanya macam-macam. Suami balik lewat overtime mula syak yang bukan-bukan. Suami mana yang tahan kan dengan perangai sebegini?
6. Cerewet
Kata ulama hati wanita terletak pada mulutnya. Oleh itu wanita perlu mengawal percakapan. Suami tidak suka bila isteri cerewet tak bertempat. Sangat tak suka.
7. Cincai
Buat kerja rumah cincai, masak cincai, kemas rumah cincai, jaga anak cincai. Dr Fadzilah kata suami paling benci bila isteri cincai jaga anak. Anak sudah masuk longkang tapi mak masih lagi lepak depan televisyen. Tapi manusia adalah insan yang mudah lupa dan lalai pada masa-masa tertentu, mungkin juga kerana sifat suami dan keadaan sekeliling yang buat kita mempunyai salah satu ciri-ciri 7C ini. Justeru, bagi anda yang bergelar isteri, andai ada tanda-tanda 7C dalam diri cepat-cepat muhasabah dan elakkan perangai tersebut.
Sumber: Sempoimedia.blogspot
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Bimbang juga apabila melihat anak tidak mengalami pertumbuhan secara normal termasuk ketinggian.
Ada orang kata, ia dipengaruhi oleh genetik yang mempengaruhi ketinggian seseorang anak itu.
Dalam pada itu, tidak dinafikan terdapat lambakan produk supplemen untuk menambah ketinggian bagi orang dewasa di pasaran pada hari ini.
Bagaimanapun kita sebagai pengguna kena bijak memilih. Sehubungan itu, apa kata ikuti tip yang dikongsi oleh Doktor Afiq Rahim bagi mempercepatkan proses menambah ketinggian anda atau anak anda.
1. Ambil Diet Makanan Yang Seimbang
Makanan Seimbang Untuk Pembesaran Tulang Diet pemakananan yang seimbang akan membuat anda menjadi lebih tinggi dan berasa lebih baik. Apakah diet yang sesuai untuk tumbesaran tulang?
Banyakkan pengambilan protein tanpa lemak. Protein seperti beans, kacang soya, dan kekacang dapat membantu meningkatkan pertumbuhan otot dan tulang yang sihat. Elakkan pengambilan berlebihan ‘simple’ karbohidrat seperti pizza, kek, gula-gula, dan soda kerana diet ini akan merencatkan pertumbuhan tulang anda.
Makan banyak sumber kalsium yang terdapat dalam sayur-sayuran hijau seperti bayam dan kale, dan dalam makanan yang diperkaya. Kalsium amat pentinng untuk membantu mempromosikan tumbesaran tulang yang sihat.Dapatkan diet zink yang mencukupi. Terdapat beberapa kajian walaupun masih tidak kukuh telah menunjukkan kemungkinan hubungan antara kekurangan zink dan masalah tumbesaran di kalangan kanak-kanak lelaki.
Sumber zink yang baik termasuk gandum, labu dan squash seeds dan kacang dapat membantu meningkatkan proses pembesaran tulang.Dapatkan vitamin D yang mencukupi. Vitamin D menggalakkan pertumbuhan otot dan tulang pada kanak-kanak. Kekurangan vitamin D boleh menyebabkan terbantutnya tumbesaran kanak-kanak dan menyebabkan peningkatan berat badan di kalangan remaja perempuan.
Vitamin D dapat ditemui dalam alfalfa dan cendawan, serta makanan diperkaya dengan Vitamin D seperti susu dan bijirin. Walau bagaimanapun, sebahagian besar sumber Vitamin D kita boleh didapati daripada pendedahan cahaya matahari yang mencukupi. Hanya 15 minit sehari di bawah matahari (secara purata) dapat memastikan kita mendapat bekalan Vitamin D yang diperlukan.
2. Banyakkan Bersenam semasa Remaja dan Fasa Tumbesaran
Kerap bersenam dapat membantu anda atau anak anda menambah ketinggian mereka dengan cepat semasa usia remaja. Keluar dan lakukan senaman dan serta pergerakkan otot sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari.
Sertai gym daripada sekarang. Menyertai gym akan membantu anda memberi banyak latihan kepada otot dan membuat anda bermotivasi untuk bersenam (anda akan berasa seperti orang yang bodoh jika anda berada di gym tetapi tidak bersenam).
Bersukan. Orang yang bersukan akan menggunakan daya saing semulajadi mereka untuk membakar kalori tambahan dan ini amat baik untuk mendapatkan tubuh yang lebih tinggi. Jika tidak ada apa-apa yang mahu anda lakukan, maka anda boleh bangun dan mula berjalan kaki.
Berjalan ke kedai runcit. Berjalan ke perpustakaan. Berjalan kaki ke sekolah. Berjalanlah ke mana-mana yang penting anda membakar kalori dan menggerakkan otot anda.
3. Dapatkan Tidur Yang Mencukupi
Tidur secukupnya untuk menambah ketinggian Tidur adalah masa yang amat penting untuk tumbesaran semasa kanak-kanak sehingga remaja. Tidur yang mencukupi dapat memberi badan kita lebih banyak masa untuk proses pertumbuhan.
Dapatkan antara 9 hingga 11 jam tidur setiap malam semasa usia remaja. Hormon pertumbuhan manusia dihasilkan secara semula jadi di dalam badan kita terutamanya semasa fasa tidur deep sleep. Tidur yang baik dan sihat akan menggalakkan pengeluaran hormon tumbesaran, yang dicipta di dalam kelenjar pituitari dan merangsang proses pembesaran tulang dan otot secara semulajadi.
4. Cari Pasangan Yang Tinggi
Para saintis menganggap bahawa 60% hingga 80% ketinggian anda ditentukan oleh genetik manusia. Oleh itu, sekiranya ibubapa anda mempunyai ketinggian yang baik, maka ianya boleh mempercepatkan proses menambah ketinggian dari awal zaman kanak-kanak. Jadi, jika anda mahu anak-anak yang tinggi, maka carilah pasangan yang mempunyai keluarga dengan genetik ketinggian tubuh badan.
5. Elakkan Minuman Berkafein
Elakkan pengambilan kaffein kepada Kanak-kanak Kajian menunjukkan kafein tidak merencatkan tumbesaran kanak-kanak secara langsung. Akan tetapi pengambilan kafein boleh mengganggu tidur yang lena dan seterusnya merencatkan pengeluaran hormon tumbesaran sekaligus secara tidak langsung membantut proses menambah ketinggian anda atau anak anda.
6. Jauhi Merokok / Asap Rokok
Asap Rokok Boleh Mengganggu Tumbesaran Kanak-kanak Pada hakikatnya, merokok dan kesan asap rokok kepada tumbesaran kanak-kanak dan remaja masih tidak dapat diputuskan.
Kajian oleh Columbia University’s Internet Health Resource mendapati bahawa walaupun kaitan antara asap rokok dan terbantutnya tumbesaran adalah tidak kuat namun kanak-kanak yang kerap menghidu asap rokok basi adalah lebih pendek berbanding kanak-kanak yang tidak menghidu asap rokok basi.
Rokok juga mengandungi pelbagai bahan kimia yang boleh mengganggu kestabilan hormon tumbesaran dan memberi kesan jangka panjang dari sudut masalah kesihatan yang secara tidak langsung akan membantutkan tumbesaran seorang remaja atau kanak-kanak
7. Elakkan Pengambilan Steroids Tanpa Pemantauan Doktor
Pengambilan Steroids tanpa nasihat dan pemantauan doktor akan menghalang perkembangan tulang pada kanak-kanak dan remaja selain mengurangkan jumlah sperma, mengecilkan saiz payudara, meningkatkan tekanan darah dan meletakkan mereka risiko serangan jantung kepada mereka.
Oleh itu, sekirannya seorang remaja atau kanak-kanak terpaksa mengambil steroid seperti kes serangan Asthma atau lelah atau masalah kesihatan yang lain, pastikan pemberian steroid dibuat oleh doktor mengikut dos dan garis panduan yang dibenarkan sahaja. Elakkan membeli steroid yang dijual tanpa preskripsi atau pemantauan doktor.
Baiklah, itu sahaja tips perkongsian saya pada hari ini. Masih ada banyak lagi tips untuk membantu tumbesaran kanak-kanak di luar sana. Sekiranya anda ada cadangan mahupun terdapat kesalahan fakta, sila tinggalkannya di ruangan komen di bawah. Jangan lupa kongsikan artikel ini.
Sumber: drafiqrahim.com
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Pernah dengar kan selalu orang kata, seronok apabila bergelar suri rumah tangga. Di rumah tanpa ada pengawasan. Boleh buat apa sahaja.
Realitinya, sebenarnya tidak semua wanita boleh bergelar suri rumah’ . Ini kerana ada cabarannya yang ramai tak tahu.
Menarik dengan perkongsian wanita ini dengan pengakuan mengenai pengalamannnya bergelar suri rumah. Jom kita ikuti coretannya.
Tak semua orang boleh jadi “Suri Rumah”. Ceritanya, hari itu saya ada terbaca luahan seorang isteri yang mengalami tekanan selepas berhenti kerja atas desakan suami. Puncanya, suami mahu isteri jaga anak sendiri. Ada orang ingat impian semua wanita mahu jadi suri rumah, sebab katanya seronok jadi suri rumah.
– Duduk rumah goyang kaki. – Anak ada depan mata. – Nak apa-apa minta suami. – Tak perlu menghadap tekanan di tempat kerja. – Boleh senang lenang tidur bila-bila masa.
Ini apa yang kebanyakan orang nampak. Tetapi pendapat saya, sebenarnya tak semua wanita “sesuai” jadi suri rumah. Kenapa saya guna perkataan “sesuai”? Sebab setiap orang mempunyai personaliti, impian dan latar belakang yang berbeza.
SISI ‘GELAP’ BILA BERGELAR SURI RUMAH
Pengalaman saya bekerja dan menjadi suri rumah sebentar beberapa bulan, ternyata “kerja” suri rumah lebih berat dari bekerja waktu pejabat. Lagi-lagi bila ada anak. Tiada hari cuti. Hari-hari menghadap dinding yang sama, Berjumpa orang yang sama, Rutin yang sama, Kepenatan yang sama,
Bagi sesetengah orang mungkin selesa dan seronok, tetapi ia amat menyiksakan bagi seorang extrovert. Si extrovert yang ada keperluan bercakap dengan orang. Yang seronok berjumpa ramai orang. Yang suka melihat permandangan berlainan setiap hari. Yang perlukan pengalaman baru setiap hari. Yang sukakan risiko. Yang tidak suka berseorangan. Sayalah tu.
Bila jadi suri rumah yang memang tidak ada apa-apa yang perlu difikirkan, bukan tidak ada tetapi tidak sempat pun nak fikir sebab 100% masa menjaga anak “high need”. Nak pergi tandas pun berkejaran apatah lagi nak fikir masalah dunia.
Saya mula, – Mudah menangis tidak ada sebab. – Overthinking. – Rasa tidak berguna dan menyusahkan orang. – Kecewa kerana tidak ada pencapaian dalam hidup walaupun ada ijazah. – Restless, anxiety tiba-tiba. – Mimpi perkara bukan-bukan.
Jangan terkejut kalau saya kata, perasaan ini timbul dalam masa 1 bulan sahaja selepas berhenti kerja dan jadi suri rumah sepenuh masa. Punyalah jenis tidak reti duduk diam, “cuti” sebulan pun dah resah semacam. Padahal waktu itu tak ada masalah apa-apa pun. Selepas saya fikir dalam-dalam, barulah saya sedar yang semua perasaan negatif di atas muncul bila saya tak ada buat apa-apa selain rutin harian. Hari-hari rutin yang sama,
Pagi – Mandikan anak, sarapan, basuh baju, kemas rumah. Petang – Tidurkan anak. Malam – Kemas, makan dan tidur anak lagi. Saya pula sejak dari sekolah rendah jenis aktif masuk segala aktiviti di sekolah ataupun di universiti.
Dari situlah, saya mula banyak membaca tentang perihal anak dan cuba kongsi apa-apa info tentang bidang saya. Sekurang-kurangnya saya tidak tenggelam di dalam dunia saya sendiri.
Tak sangka ramai yang mesej untuk dapatkan servis terapi cara kerja dari saya. Waktu itu sesiapa yang mesej saya bertanya tentang anak, semua saya cuba jawab dan bantu. Rasa seronok dapat berborak dan bantu orang lain.
Sampailah satu masa itu, saya cakap pada suami, “Boleh tak kalau kita buat satu bilik jadi bilik terapi untuk I nak kerja?” Tup-tup dari 1 bilik sahaja BEYOND Home Therapy ke pusat terapi yang ada berbilik-bilik. Tak sangka niat nak jaga anak sendiri, Allah gandakan rezeki kami sekeluarga. Suamilah yang banyak berkorban untuk saya capai impian. Beliau pun sedar yang lebih baik saya kerja dari tak kerja. Bila tak kerja, emosi jadi tak stabil.
Point saya disini bukan untuk cerita pencapaian, tetapi nak cerita yang tidak semua wanita sesuai jadi suri rumah. 1. Ada yang stress bekerja, gembira duduk rumah. 2. Ada yang stress duduk rumah, gembira bekerja di luar rumah. 3. Ada yang boleh duduk rumah dan bekerja dari rumah. 4. Ada yang gembira bekerja sambil bawa anak ke tempat kerja. Ikut masing-masing punya personaliti, minat dan impian.
Dalam kes saya, saya stress dan tertekan bila tidak ada sesuatu untuk dikejar. Bagi saya jadi suri rumah dan duduk rumah lebih penat dari keluar bekerja. Bukan masalah penat fizikal, tetapi “penat mental”. Ia seperti, kita ada kasut untuk berlari laju tetapi diikat dengan tali. Susah untuk diperjelaskan bagaimana perasaan itu.
Yang lagi pelik, saya jadi lagi kurang melayan anak masa saya jadi suri rumah daripada semasa saya mula bekerja semula. Mungkin sebab rasa hari-hari buat benda sama dan fokus perihal rumah sahaja waktu itu. Tetapi bila mula sibuk dengan kerja, saya jadi lebih menghargai setiap saat dengan anak. Saya pasti masalah ini mungkin banyak berlaku pada wanita atau ibu-ibu lain tanpa disedari terutamanya suri rumah.
Bagi saya, kerjaya suri rumah amatlah mulia. Bukan semua orang mampu menjadi suri rumah. Perlu kuat mental dan fizikal. Nasihat saya sebagai “suri rumah tak jadi”: 1. Kenalpasti personaliti diri sendiri, sekurang-kurangnya tahu kalian jenis intovert atau extrovert. 2. Bincang sesama suami isteri, seeloknya bincang sebelum berkahwin sebarang kemungkinan. – Adakah suami mahu isteri berhenti kerja selepas berkahwin atau bila ada anak? – Isteri mahu bekerja atau jadi suri rumah? Semuanya jadi mudah sekiranya ada kesepakatan antara suami isteri. Jangan sebelum kahwin kata dekat isteri boleh kerja, tiba-tiba dah kahwin lain pula. 3. Kalau rasa resah semacam, cepat marah-marah atau mula timbul perasaan pelik-pelik. Segeralah dapatkan bantuan atau cuba cari punca. 4. Letakkan diri sendiri nombor 1 sebelum orang lain, anak sakit kita boleh jaga tetapi kalau kita yang sakit? 5. Jangan bandingkan diri sendiri dengan orang lain, semua orang ada impian, personaliti dan keutamaan yang berbeza – beza. 6. Percaya ketentuan Allah, kita rancang macam mana pun tetapi kalau Allah kata tiada rezeki, tiadalah. Rezeki Allah beri berbeza-beza. Dapat jaga anak depan mata, rezeki. Dapat suami yang redha isteri bekerja, rezeki. Dapat mertua yang baik, rezeki. Dapat anak yang tak banyak ragam, rezeki.
Saya harap ibu di dalam luahan yang saya baca itu dipermudahkan urusan. Orang lain memang mudah sahaja nak label itu ini, hakikatnya kita memang tak akan boleh puaskan hati orang. Bila seorang ibu bekerja, dikatanya pentingkan duit sahaja tak sayang anak. Bila tak bekerja, dikatanya tidak takut suami tinggal pula. Begitulah. Yang penting kita jaga kita sendiri sebab kita sahaja tahu kita bagaimana. 🥰 Ada geng extrovert tak dekat sini? Maryam Jamadi