
Jika di zaman 90-an dulu, pengangkutan awam ini paling ramai dinaiki terutamanya jika mahu ke ibu kota Kuala Lumpur. Ramai yang tidak sanggup untuk menempuh kesesakan ibu kota yang akan memakan masa perjalanan yang lama.
Namun hari ini, ramai di antara anak-anak muda tidak pernah menaikinya walaupun perkhidmatan ini menawarkan penjimatan waktu untuk ke destinasi yang dituju dengan tambang yang murah.
Mengambil peluang cuti sekolah, penyanyi dan pelakon Elyana serta suaminya, Khairul Anuar Husin telah meluangkan masa bersama keluarga menaiki pengangkutan awam perkhidmatan transit aliran ringan (LRT)
Menurut Elyana, ini adalah inisiatifnya dan suami untuk mengajar anak-anak menggunakan pengangkutan awam.
“Ajar anak-anak naik train,” tulis Elyana.
Wajib Baca : ‘Mungkin Ini Hikmah Allah Hadiahkan Pada Aku’ – Rita Rudaini
Elyana juga sempat memuat naik video anaknya, Cinta Sumayah dan Cahaya Ramadhani ketika menaiki pengangkutan awam itu yang kelihatan sangat teruja.
Dalam pada itu, Elyana juga sempat mengenang masa lalunya dengan menaiki train ketika baru bergelar anak seni.
“Hari pun nak hujan! Tapi syok naik train.
“Teringat zaman baru-baru nak jadi artis, pergi photoshoot balik sekolah terus naik train pergi KL,” ucap Elyana.
Bila terkenang semula zaman menaiki pengangkutan awam ini memang lucu. Ada yang tertinggal bas, ada yang terpaksa menapak lama kerana bas tidak kunjung tiba dan ada yang sampai kejung kaki sebab terpaksa berdiri lama.
Tapi itu semuanya adalah memori terindah yang tidak mungkin dilupakan. Muda-mudi zaman sekarang mungkin tidak dapat merasai pengalaman itu kerana terlalu bergantung pada kenderaan sendiri.
Mesti Baca :
- Nak macam-macam info? Sila subscribe channel Telegram KELUARGA dan join keluargagader club
Ini Punca Baju Dibasuh Berbau Busuk, Lelaki Ni Kongsi Tip Buka & Cuci ‘Tahi’ Yang Melekat Dalam Mesin Basuh!

Pernah tak anda alami masalah pakaian yang dicuci berbau walaupun diletak softner di dalam mesin basuh.
Rupa-rupanya ini disebabkan oleh ‘tahi. Jangan terkejut bukan najis tetapi kotoran hitam yang melekat pada mesin basuh yang tidak pernah dicuci selama ini.
Jika perhatikan, ada masanya kelihatan kotoran seakan-akan serpihan kertas atau tisu pada baju yang telah dicuci. Kotoran ini akan lebih jelas kelihatan pada baju berwarna hitam. Selain itu, mesin basuh yang kotor juga punca pakaian yang dibasuh dan ditinggalkan semalaman berbau kepam atau hapak.
Kalau ini berlaku, ibu-ibu boleh cuba tip menerusi video tutorial daripada Kedai Baikpulih Mesin Basuh dan Peti Sejuk -JDT bagaimana mahu membuka dan mencuci kotoran yang ada melekat pada mesin basuh masing-masing.
Melalui video dikongsikan ini, bagaimana lelaki ini bercerita cara untuk menghilangkan bau busuk pada pakaian.
Sumber: Kedai Baikpulih Mesin Basuh dan Peti Sejuk -JDT
Bertuahnya Jemaah Haji Tahun Ni, Hari Wukuf Dijangka 8 Julai 2022 Bersamaan Jumaat!

Ramai yang mengatakan beruntungnya jemaah haji tahun ini kerana dijangkakan hari wukuf adalah jatuh pada hari Jumaat dan itu bermakna jemaah haji tahun ini cukup bertuah kerana ianya merupakan Haji Akhbar (hari Haji yang paling agung)
Wukuf di Arafah adalah rukun haji yang terpenting bagi menentukan sahnya ibadah haji. Tanpa wukuf, ibadah haji akan menjadi sia-sia kerana Rasulullah SAW yang ditanya mengenai ibadah haji bersabda, haji itu adalah Arafah (wukuf di Arafah).
Ulama bersepakat ibadah wukuf di Arafah telah ditentukan dengan masa dan waktu yang jelas iaitu pada hari kesembilan Zulhijjah setiap tahun. Ia bermula daripada waktu gelincir matahari (Zuhur) sehingga sebelum waktu fajar (Subuh) pada hari kesepuluhnya.
Dalam pada itu, dimaklumkan, ibadah wukuf tahun ini akan jatuh pada hari Jumaat bersamaan 8 Julai 2022.
Apa keistimewaan wukuf jika jatuh hari Jumaat?
Ramai mengatakannya raya haji tahun ini ialah Haji Akbar. Apa dimaksudnya dengan Haji Akbar? Ini penjelasan Mufti mengenainya.
Ibn al-Qayyim telah menyenaraikan beberapa kebaikan yang terdapat pada hari wuquf yang jatuh pada hari Jumaat. Antaranya ialah:
1- Bertemunya dua hari (Arafah dan Jumaat) yang merupakan sebaik-baik hari.
2- Hari yang mudah diperkenankan doa oleh Allah.
3- Bersamaan dengan hari wuquf Rasulullah saw ketika mengerjakan haji wada’.
4- Pertemuan besar manusia di Arafah pada hari wuquf, ditambah pula pertemuan pada hari Jumaat untuk khutbah dan solat Jumaat.
5- Kedua-dua hari tersebut merupakan hari ‘raya’.
6- Ketaatan dan amalan soleh yang dibuat pada hari Jumaat mempunyai nilaian dan kelebihannya yang tersendiri.
7- Bersamaan dengan Hari Perhimpunan Agung di akhirat kelak. Rasulullah saw juga telah menyatakan bahawa kiamat akan berlaku pada hari Jumaat
Apakah yang dimaksudkan dengan Haji Akbar?
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Irsyad al-Hadith pada kali ini akan menerangkan berkaitan maksud sebenar Haji Akbar. Di dalam al-Qur’an, Allah SWT telah menamakan satu hari dengan nama hari Haji Akbar (hari Haji yang paling agung). Hari yang agung ini disebut di dalam firman-Nya:
- Firman Allah SWT:
وَأَذَانٌ مِّنَ اللَّـهِ وَرَسُولِهِ إِلَى النَّاسِ يَوْمَ الْحَجِّ الْأَكْبَرِ
Maksudnya: “Dan inilah perisytiharan dari Allah dan Rasul-Nya kepada umat manusia, (diisytiharkan) pada Hari Haji yang terbesar”. [al-Taubah:3]
وَأَذَان) إعْلَام (مِنْ اللَّه وَرَسُوله إلَى النَّاس يَوْم الْحَجّ الْأَكْبَر) يَوْم النَّحْر (أَنَّ) أَيْ بِأَنَّ (اللَّه بَرِيء مِنْ الْمُشْرِكِينَ) وَعُهُودهمْ (وَرَسُوله) بَرِيء أَيْضًا وَقَدْ بَعَثَ النَّبِيّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلِيًّا مِن السَّنَة وَهِيَ سَنَة تِسْع فَأَذَّنَ يَوْمَ النَّحْرِ بِمِنَى بِهَذِهِ الْآيَات أَنْ لاَ يَحُجَّ بَعْدَ العَامِ مُشْرِكٌ وَلاَ يَطُوفَ بِالْبَيْتِ عُرْيَانٌ رَوَاهُ الْبُخَارِيّ
Maksudnya: “Inilah adalah satu pengumuman daripada Allah dan Rasul-Nya kepada umat manusia pada hari Haji Akbar iaitu hari Raya Korban bahawa sesungguhnya Allah berlepas diri daripada orang-orang musyrik dan perjanjian-perjanjian mereka. Begitu juga dengan Rasul-Nya. Sehubungan dengan ayat ini, Imam al-Bukhari telah meriwayatkan sebuah hadith bahawa pada tahun itu juga iaitu tahun kesembilan Hijrah, Nabi SAW telah mengutus Ali RA untuk mengumumkan berkenaan ayat-ayat ini pada hari Raya Korban di Mina. Kandungannya adalah selepas daripada tahun ini, orang musyrik tidak boleh lagi melakukan haji dan tawaf di Baitullah. Dalam masa yang sama, tidak boleh juga melakukan tawaf di Baitullah dalam keadaan telanjang”. [Lihat: Tafsir al-Jalalayn, 240]
Makna Haji Akbar
Di dalam tafsir al-Thabari, imam al-Thabari telah mendatangkan beberapa pendapat bersama dengan riwayat-riwayat atau athar-athar samada daripada Nabi SAW, sahabat RA dan juga para tabi’in yang menyokong pendapat tersebut dalam menentukan makna Haji Akbar ini. Di sini kami ringkaskan dengan memilih beberapa pendapat seperti yang berikut:
Pertama: Haji Akbar adalah hari Arafah.
- Daripada Ikrimah berkata:
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: يَوْمُ الحَجِّ الأَكْبَرِ، يَوْمُ عَرَفَة
Maksudnya: Ibn Abbas RA mengatakan: “Haji Akbar adalah hari Arafah”. [Lihat: Tafsir al-Thabari, 116/14]
Kedua: Haji Akbar adalah hari al-Nahr (10 Zulhijjah).
- Daripada Ibn Umar RA, beliau berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَقَفَ يَوْمَ النَّحْرِ بَيْنَ الْجَمَرَاتِ فِي الْحَجَّةِ الَّتِي حَجَّ، فَقَالَ: أَيُّ يَوْمٍ هَذَا؟ قَالُوا: يَوْمُ النَّحْرِ، قَالَ: هَذَا يَوْمُ الْحَجِّ الْأَكْبَرِ
Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW berdiri pada hari al-Nahr (10 Zulhijjah) di antara jamrah-jamrah pada waktu Baginda SAW menunaikan Haji, lalu Baginda SAW bertanya: “Hari apakah ini?”. Mereka menjawab: “Hari al-Nahr (hari 10 Zulhijjah)”. Nabi SAW bersabda: “Ini adalah hari Haji Akbar”. [Riwayat Abu Daud, (1945)][Sanadnya adalah sahih menurut Syeikh Syuaib al-Arnaouth]
Ketiga: Haji Akbar adalah hari-hari haji keseluruhannya.
- Daripada Ibn Abi Najih, bahawa Mujahid berkata:
عَنْ مُجَاهِد: يَوْمُ الحَجِّ الأَكْبَرِ، حِيْنَ الحَجّ، أَيَّامُهُ كُلّهَا
Maksudnya: “Hari Haji Akbar adalah ketika waktu haji serta kesemua harinya”. [Lihat: Tafsir al-Thabari, 127/14]
Selain itu juga, Imam al-Nawawi berkata dalam menentukan makna Haji Akbar ini ketika beliau mensyarahkan hadith pada bab “tidak akan melakukan haji bagi orang yang musyrik dan tidak akan boleh melakukan tawaf dalam keadaan telanjang, beliau berkata:
“Para ulama’ telah berselisih pendapat dalam menentukan apa yang dikehendaki dengan makna Hari Haji Akbar. Dikatakan ia adalah Hari Arafah. Telah berkata Malik, al-Syafie dan jumhur bahawa ia adalah hari al-Nahr. Al-Qadhi ‘Iyadh telah menukilkan daripada al-Syafie bahawa ia adalah hari Arafah. Ini adalah khilaf yang ma’ruf (diketahui) oleh mazhab al-Syafie. Telah berkata ulama’ bahawa dikatakan Haji Akbar itu adalah untuk menjauhkan atau membezakan dengan Haji Ashghar iaitu umrah. Manakala, hujah bagi sesiapa yang berpegang dengan Haji Akbar ini adalah Hari Arafah adalah dengan hadith yang masyhur iaitu “Haji itu Arafah”. [Lihat: al-Minhaj Syarh Muslim, 116/9]
Pendapat Yang Dipilih
Berdasarkan pendapat-pendapat di atas, pendapat pertama dan kedua adalah pendapat yang masyhur dalam menentukan makna Haji Akbar ini. Setelah melihat pandangan para ulama’ dalam masalah ini, kami cenderung untuk mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan Haji Akbar adalah Hari al-Nahr iaitu 10 Zulhijjah atau hari Raya Korban sepertimana pendapat yang kedua.
Selain itu juga, ini adalah pendapat Imam al-Thabari setelah beliau menceritakan pendapat-pendapat berkaitan masalah ini. Imam al-Thabari berkata:
“Pendapat yang utama dan sahih disisi kami adalah sesiapa yang mengatakan bahawa Hari Haji Akbar adalah Hari al-Nahr (10 Zulhijjah) disebabkan zahirnya (jelasnya) khabar-khabar daripada sekumpulan sahabat-sahabat Nabi SAW bahawa Ali RA telah mengumumkan apa yang diperintahkan kepadanya oleh Rasulullah SAW kepada kaum Musyrikin, lalu beliau membaca kepada mereka surah “براءة (al-Taubah)” pada hari al-Nahr. Selain itu juga, berkenaan dengan khabar-khabar yang telah kami sebutkan daripada Rasulullah SAW bahawa Baginda SAW telah bersabda pada hari al-Nahr: “Adakah kamu semua tahu, hari apakah ini?”. Baginda menjawab dengan mengatakan: “Ini adalah Hari Haji Akbar”. [Lihat: Tafsir al-Thabari, 127/14]
Tambahan pula, Syeikh al-Mubarakfuri memberi peringatan serta menyanggah pemahaman sebahagian masyarakat yang mengatakan bahawa Haji Akbar ini adalah apabila hari Arafah jatuh pada hari Jumaat. Disebabkan itu, ia dinamakan Haji Akbar. Beliau berkata:
قَدْ اشْتَهَرَ بَيْنَ الْعَوَّامِ أَنَّ يَوْمَ عَرَفَةَ إِذَا وَافَقَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ كَانَ الْحَجُّ حَجًّا أَكْبَرَ وَلَا أَصْلَ لَهُ
Maksudnya: “telah tersebar dan masyhur dalam kalangan orang awam bahawa apabila hari Arafah jatuh pada hari Jumaat maka ia adalah Haji Akbar. Kenyataan atau pemahaman ini adalah tidak mempunyai asal sama sekali”. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 27/4]
Perbezaan Haji Akbar (الحج الأكبر) dan Haji Ashghar (الحج الأصغر)
Soalan: Apakah perbezaan di antara Haji Akbar dan Haji Ashghar
Jawapan: Adapun makna Haji Ashghar yang dilihat oleh jumhur adalah umrah. Adapaun Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani mengatakan bahawa perkara ini telah menjadi perselisihan dalam menentukan makna Haji Ashghar. Jumhur mengatakan makna Haji Ashghar adalah umrah dan dikatakan juga bahawa Haji Ashghar itu adalah hari Arafah. Manakala Haji Akbar adalah hari al-Nahr (10 Zulhijjah) kerana padanya (hari 10 Zulhijjah) disempurnakan manasik-manasik (perbuatan-perbuatan) haji yang lain. [Lihat: Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 321/8]
Tambahan pula, Imam al-Thabari mengatakan bahawa sebab yang betul ia dinamakan dengan Haji Akbar adalah kerana Haji Akbar adalah haji dan haji lebih besar daripada umrah dengan penambahan amalan-amalan yang ada padanya. Disebabkan itu ia dinamakan Haji Akbar disebabkan amalan pada waktu haji lebih banyak berbanding amalan pada waktu umrah. Adapun Haji Ashghar (kecil) adalah umrah kerana amalan padanya lebih sedikit berbanding amalan ketika menunaikan haji. Oleh sebab itu, ia dinamakan dengan Haji Ashghar disebabkan kurangnya amalan pada waktu umrah berbanding amalan pada waktu haji. [Lihat: Tafsir al-Thabari, 130/14]
Berdasarkan pendapat di atas, kami cenderung untuk mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan Haji Ashghar adalah umrah dan bukannya hari Arafah berdasarkan pendapat jumhur.
Penutup
Kesimpulannya, Haji Akbar adalah hari Nahr (يوم النحر) iaitu hari Raya Korban yang disambut pada 10 Zulhijjah setiap tahun. Ini kerana, pada hari tersebut akan dilaksanakan manasik-manasik haji seperti tawaf, bersa’ie (antara safa dan marwah) ,melontar, berkorban, bercukur dan lain-lain perkara lagi. Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kita kesempatan dan peluang untuk menunaikan rukun Islam yang kelima ini. Amin.
Sumber :Pejabat Mufti Wilayah
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
“Anak Perempuan Kena Tahu & Rajin Buat Kerja Rumah.” Didik Anak Ikut Ajaran Ibu, Lisdawati Akui ‘Open Minded’ Tapi Konservatif!

Dia punya aura tersendiri. Kelembutan bual bicara ditambah dengan personalitinya yang penyayang antara sebab kenapa dia mudah diterima oleh anak-anak tirinya. Namun, akui pemilik nama Lisdawati atau nama sebenarnya Nisdawati Nazaruddin, bergelar ‘ibu segera’ bukan sesuatu yang mudah.
Sementelah anak-anak tirinya ketika itu masih kecil. Tetapi bak kata pepatah alah bisa tegal biasa, dorongan dan sokongan sang suami banyak membantu memainkan peranan dalam membolehkan hubungan Lisdawati dan anak-anak tirinya menjadi akrab.
“Berkahwin dengan lelaki yang mempunyai anak, secara automatik saya perlu menerima kehadiran mereka seperti anak sendiri. Alhamdulillah, sejak bergelar isteri kepada fauzi Nawawi sehingga kini, hubungan saya dengan anak-anak tiri cukup rapat.
“Malah, selepas mempunyai anak sendiri, hubungan kami tidak renggang. Saya bersyukur kerana mereka dapat menerima saya sebagai ibu baru dan mungkin pendekatan yang saya gunakan melalui kasih sayang menjadi.
“Biasanya kalau mereka buat salah saya akan terangkan dan lama-kelamaan mereka faham. Saya tidak suka marah tanpa sebab kerana anak-anak makin membesar. Jadi saya suka buat mereka seperti kawan.
Tidak berat sebelah
“Saya tidak mahu apabila mereka ada masalah, orang pertama yang mereka cari untuk luahkan perasaan adalah kawan. sebaliknya saya mahu mereka cari saya atau ayah mereka terlebih dahulu.
“Dalam mendidik juga, saya tidak bersikap berat sebelah. Baik anak kandung mahupun tiri semuanya saya anggap seperti anak-anak sendiri. Jadi layanan sama rata. Kalau buat salah tetap kena marah atau denda.
“Kalau marah, saya akan terangkan bukan sebab saya benci tetapi saya sayang. Saya lakukan semua itu dengan tujuan untuk mendidik mereka. Jujurnya saya memang garang dan lebih tegas dengan anak-anak berbanding suami.
‘Tetapi dalam masa yang sama saya sangat ‘open minded’ dan anak-anak bebas meluahkan apa jua masalah dan saya akan membantu sekadar yang boleh,” ujar Lisdawati yang mengakui tiada istilah ibu tiri dalam kamus hidupnya malah dia adalah mama kepada semua anak-anaknya.
Tegur kerana sayang
Memerhatikan hubungan di antara ibu dan anak tiri ini, memang terbukti apa diperkatakan orang selama ini bahawa Lis memang rapat dengan anak-anak tirinya adalah benar.
Dalam mendidik anak-anak, saya tetap tegas sama ada dengan anak kandung mahu pun anak tiri. Saya selalu memberitahu mereka, saya marah atau tegur kerana sayang. Bukan kerana benci. Saya lakukan semua itu dengan tujuan nak didik mereka. Saya juga mama mereka, selain ibu kandung mereka. Saya dah anggap seperti anak. Jadi, takkan saya tak boleh tegur atau marah anak sendiri? Biasanya saya akan terangkan apa sebabnya saya marah. Saya takkan marah tanpa sebab.
“Kalau di rumah, saya akan ajar anak-anak untuk buat kerja-kerja rumah sama-sama terutama anak-anak perempuan. Bagi saya anak perempuan kena tahu dan rajin buat kerja rumah. Saya perhatikan anak remaja sekarang terlalu asyik dengan telefon bimbit hingga jadi malas. Bila disuruh buat kerja rumah pun tak diendahkan. Saya tak nak anak-anak saya macam itu.” Luah Lis yang memberitahu semua anak memanggilnya mama.
Buat anak macam kawan
“Ada juga yang tak percaya saya boleh baik dengan anak-anak tiri. Tapi saya tak kisah apa orang nak cakap. Saya juga akan layan anak-anak tiri macam kawan-kawan. Ada masa kami bersembang dan keluar bersama seperti menonton wayang. Saya nak mereka rasa mereka boleh berkongsi apa saja dengan kami, berbanding rakan-rakan. Saya juga selalu tekankan pada mereka, hubungan kekeluargaan dan sesama adik-beradik kena sentiasa dijaga
“Dan si ayah pun kena faham jika kita marah anak-anak dia. Jangan pula sokong mereka jika mereka buat salah. Itu pun penting juga agar tidak timbul konflik. Selebihnya, kena banyak berdoa agar hubungan itu kekal harmoni,” Tambah Lis lagi.
Memiliki anak perempuan ramai, akui Lisda bukan satu perkara yang mudah. Sementelah zaman sekarang yang serba mencabar. Justeru, dia banyak mengikut ajaran ibunya dalam mendidik anak-anak.
“Walaupun nampak saya moden, tetapi sebenarnya sangat konservatif terutama kepada didikan anak-anak. Kalau di rumah, saya akan ajar anak-anak untuk buat kerja-kerja rumah sama-sama terutama anak-anak perempuan.
“Bagi saya anak perempuan kena tahu dan rajin buat kerja rumah. Kena bangun awal pagi, kemas tempat tidur dan bantu buat kerja rumah kerana senang apabila ke rumah mentua kelak. Saya tidak suka cakap kosong, sebaliknya praktik kan ajaran orang lama kepada anak-anak. Itulah ajaran ibu saya yang kini saya turunkan pula kepada anak-anak.
“Mungkin orang beranggapan ibu tiri sukar untuk berbaik dengan anak-anak tiri. Tapi saya tak kisah apa orang nak cakap. Yang penting anak-anak percayakan dan boleh terima saya seadanya.
“Ada masanya kami keluar bersama sama ada makan-makan atau menonton wayang. Saya nak mereka rasa mereka boleh berkongsi apa saja dengan kami, berbanding rakan-rakan.
“Saya juga selalu tekankan pada mereka, hubungan kekeluargaan dan sesama adik-beradik kena sentiasa dijaga,”tegas Lisdawati lagi.
Pelukan kukuh hubungan
Lisdawati mengakui tidak suka ada sempadan antaranya dengan anak-anak tiri. Pelukan kasih sayang antara yang dipraktikkan biarpun mereka kini sudah besar kerana baginya itu adalah satu cara untuk mengukuhkan perhubungan.
“Untuk memastikan hubungan menjadi erat kena ada ‘give and take’ tidak boleh sebelah pihak sahaja memberi. Kena kedua-duanya memainkan peranan. Barulah Berjaya sesebuah hubungan itu.
“Saya jenis yang suka suasana harmoni dan itu semua kena bermula di rumah dan orang yang paling penting memainkan peranan tersebut sudah semestinya ibu. Jadi, saya kena beri lebih ‘drama kasih sayang’ kepada anak-anak. Bermula dengan ‘drama’ barulah dapat mencambahkan kasih sayang.
“Yang lebih penting, tidak sekadar mengambil berat semata-mata, ibu dan ayah kena selalu beri pelukan, kata-kata nasihat, kasih sayang dan sebagainya.
“Ada keluarga yang tidak suka memberi pelukan dengan alasan anak-anak segan sudah besar.
“Tetapi berbeza dengan saya kerana pelukan itu ibarat pelengkap dalam rumah tangga dan mengeratkan hubungan. Anak-anak akan rasa lebih dekat dengan kita.
Sumber: Majalah Keluarga Julai 2017
sumber gambar: IG lisdawati15