Aidilfitri bakal tiba. Anak-anaklah yang paling gembira. Tradisi kemeriahan lebaran ini bukan sekadar penyediaan kuih muih atau ketupat tetapi kemeriahannya lebih terasa apabila budaya kunjung-mengunjung dan ziarah dari rumah ke rumah. Paling menarik, dapat duit raya! Kanak-kanaklah adalah golongan yang rajin ziarah secara berkumpulan. Selain ibu bapa, guru-guru di tadika juga perlu mendidik kanak-kanak dengan adab bertamu menurut ajaran Islam dan budaya ketimuran.
Ada enam adab yang penting diketahui iaitu adab memberi salam, berjabat tangan, memperkenalkan diri, mengetuk pintu, apabila tidak diizinkan masuk dan menerima duit raya. Dalam hal ini, kanak-kanak sewajarnya dibimbing oleh guru tadika mengenai cara yang betul semasa melakukan ziarah hari raya. .
1.Memberi salam.
Kanak-kanak sewajarnya diajar dengan adab pertama ini. Amalan memberi salam merupakan amalan yang amat digalakkan sehingga disebut oleh Allah S.W.T melalui firman-Nya yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumah kamu sehingga kamu diizinkan penghuninya. Maka hendaklah kamu memberikan salam kepada mereka. (An-Nur: 27). Guru harus memberikan penekanan kepada amalan memberi salam semasa mengunjungi rumah tetamu.
Amalan berjabat tangan merupakan sunah Rasulullah S.A.W. Ia sebagai permulaan tindak balas positif semasa berjumpa. Selain itu amalan berjabat tangan juga adalah lambang memohon maaf. Kanak-kanak seharusnya diajar bersalaman memohon maaf kepada rakan-rakan dan saudara mara yang mereka kunjungi.
Setelah memberi salam,kanak-kanak diajar memperkenalkan diri mereka kepada tuan rumah sebelum masuk ke dalam rumah untuk menziarah. Budaya memperkenalkan diri boleh mengelakkan sebarang bentuk fitnah atau salah faham tuan rumah terhadap kunjungan tersebut.
Selain itu, kanak-kanak didik mengelak daripada mengetuk pintu tuan rumah dengan kasar atau kuat sehingga mengganggu ketenangan dan menimbulkan kemarahan tuan rumah atau jiran yang berdekatan. Sekiranya sesebuah rumah itu berpagar, menggunakan loceng tekan. Namun jika tiada jawapan, segera meninggalkan rumah untuk diziarah kerana mungkin tuan rumah tiada ketika itu.
Sekiranya ada tuan rumah tidak dapat menerima kunjungan ziarah hari raya, kanak-kanak hendaklah diajar supaya lebih berakhlak mulia. Ajari kanak-kanak kerana setiap orang mempunyai alasan tersendiri untuk tidak mengizinkan masuk ke rumah. Jangan menunjukkan sebarang reaksi buruk sama ada dengan keluhan, cacian atau tindakan-tindakan yang boleh menimbulkan kemarahan tuan rumah.
Didik rasa sifat syukur dikalangan anak-anak. Terbayang kegembiraan bila anak-anak menerima sampul duit raya daripada saudara mahupun jiran tetangga. Beritahu kepada kanak-kanak bahawa selain menabung, sebahagian duit raya mereka boleh dikongsi kepada orang yang lebih memerlukan. Ajarkan dan terapkan mereka dengan keinginan membantu dan keikhlasan dalam memberi.