Aidil Adha Paling Bemakna, Awie Jumpa Anak Selepas 8 Tahun

Share

Selepas lapan tahun berpisah, penyanyi dan penerbit Datuk Awie meluahkan rasa syukur apabila berpeluang untuk bertemu kembali dengan dua cahaya matanya iaitu Putra Ahmad Rezzki, 15, dan Puteri Qasseh Atasha, 13.

Memetik dari artikel OhBulan!, Awie berkata dia bercadang untuk berjumpa dengan dua anaknya itu pada hari raya Aidiladha. Jelas Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 54, detik – detik tersebut bakal menjadikan sambutan hari Raya Haji tahun ini yang paling bermakna buat dirinya.

“Raya Haji tahun ini mungkin saya dapat berjumpa dengan dua anak saya yang sudah terpisah lapan tahun lalu.

“Mungkin ini akan menjadi Raya Haji yang bermakna untuk saya. Ikut perjanjian pada Aidiladha ini. Saya sangat teruja untuk momen itu, harap-harapnya dapatlah.

“Kemana nak dibawa berjalan masih belum tahu lagi. Jika diberikan peluang untuk bawa keluar saya akan bawa anak-anak itu keluar.

“Sekiranya tidak dibenarkan, dapat datang melawat di rumah sahaja seharian itu. Dapat tengok setengah hari pun cukuplah.” Kata beliau kepada OhBulan!

Awie berkata demikian apabila ditemui pada malam gala tayangan filem terbitannya berjudul Sue-On yang diadakan di Starling Mall, pada Selasa.

Dalam pada itu, ditanya bilakah anaknya menghubungi dirinya untuk bertemu, vokalis kumpulan Wings itu berkata dia mendapat mesej pesanan ringkas daripada Qasseh selepas pulang mengerjakan ibadah Umrah, pada Ramadan lalu.

“Selama lapan tahun langsung tak pernah berhubung. Ada suatu hari anak saya yang perempuan, Qasseh telah hantar mesej kepada saya.

“Tetapi sebelum itu, waktu saya berada di Makkah ketika bulan Ramadan. Saya ada berdoa di sana dan kemudian balik ke Malaysia saya dapat mesej tersebut, berderai airmata saya.” Kata beliau kepada OhBulan!

Sementara itu, diminta berkongsi perkataan pertama yang diucapkan dalam mesej tersebut, Awie berkata anaknya meluahkan rasa rindu serta sayang kepada dirinya.

“Assalamualaikum daddy, ini Qasseh. Saya sayang dan rindu daddy sangat-sangat.”

Untuk makluman, Putra Ahmad Rezzki dan Puteri Qasseh Atasha merupakan anak daripada hasil perkahwinan terdahulu Awie bersama bekas isteri Rozana Misbun.

Selain Rezzki dan Qasseh, mereka juga mempunyai seorang lagi cahaya mata bernama Putra Ahmad Merrah.

Untuk rekod, Awie dan Rozana mendirikan rumah tangga pada 20 Jun 2005 dan disahkan bercerai pada 1 November 2014.

Sementara itu, Sue-On merupakan filem pertama terbitan Datuk Awie di bawah syarikat Rumah Produksi Merah yang akan ditayangkan di pawagam mulai 6 Julai 2023.

Selain bertindak sebagai penerbit, Awie juga memegang watak utama sebagai Mat Dosa dalam filem seram komedi berkenaan.

Turut membintangi filem tersebut adalah Reen Rahim, Achey, Azlee Senario, Ropie dan ramai lagi.

Sumber: OhBulan!

Baca artikel menarik lain di sini:

Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club