
Setelah mendapat tahu bahawa ada pelajar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong yang menghadapi kesulitan membayar yuran persekolahan sehingga bimbang dimarahi guru, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem tampil mengambil inisiatif dengan menulis surat kepada pengetua sekolah berkenaan.
Surat yang ditulis tangan dan diberikan kepada pelajar terbabit, dimuat naik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong itu di akaun Facebook miliknya.
Terdahulu, beliau yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi Inovasi dan Komunikasi Digital turut dimaklumkan bahawa pelajar berkenaan turut tidak mampu membeli pakaian sekolah baharu.
Katanya, beliau membantu menulis surat kepada pengetua sekolah bagi memaklumkan situasi yang dihadapi individu itu, sekali gus memohon penangguhan bayaran yuran.
“Bila malam semalam baru diberitahu ada anak Duyong takde duit nak bayau yuran dan takde baju sekolah, tak ke bertanduk ko jadinya.”
“Bila disuruh ke sekolah je dulu, tak dipercayanya. Takut cikgu marah. Cikgu pun manusia ler. Ada hati perut kecuali ko ni dah selalu mengakal cikgu-cikgu.”
Jelas beliau, surat itu bukan untuk rujukan pihak sekolah secara formal namun ditulisnya bagi memberikan keyakinan kepada pelajar terbabit supaya pergi ke sekolah, sekali gus mengelak dia dimarahi guru.
“Surat ni bukan untuk sekolah sangat pun. Tapi buat yakinkan anak-anak ni ko pergilah daftar sekolah dulu. Nanti acik waibee ko ni selesaikan yuran dengan baju sekolah tu.”
Meninjau di ruangan komen rata-rata kagum dengan usaha yang dilakukan oleh wakil rakyat berkenaan. Ada yang berseloroh ingin menjadi penduduk Duyong.
“Terbaik YB. Memang ku kenai sgt bentuk tulisan ni. Mmg raw YB mantapp.”
“Tindakan yang spontan atas logik akal fikiran YB sendiri bagi impak yg sangat positif “
“Moga terus jadi wakil kepada rakyat YB.ringkasan komen dari rakyat yg cemburu dengan penduduk Duyong ada YB macam ni”
“Nak pindah ke Duyong lah. Pinjam kejap YB kamu”
Sumber: Mohd Noor Helmy