Baru sahaja Kementerian Pendidikan (KPM) membenarkan semula pelaksanaan aktiviti luar yang sebelum ini ditangguhkan berikutan cuaca panas. Namun semalam kita dikejutkan dengan berita yang ada seorang pelajar tingkatan tiga mengalami strok haba ketika menyertai aktiviti larian.
Hal ini mendapat pelbagai reaksi dan antaranya yang meninggalkan komen awal di facebook Sinar Harian berkenan berita tersebut adalah Cikgu Fadli Salleh yang tidak asing lagi buat kita semua.
“Aduh. Baru je KPM benarkan aktiviti luar. Murid-murid baru je gembira, dapat berita gini tak sedap hati nak buat aktiviti luar masa PJ ni. Main bawah bangunan je la sementara ni. Seram” Itu antara komen awal daripada Cikgu Fadli Salleh bila terbaca berkenaan paparan berita ada seorang pelajar mengalami strok haba ketika menyertai aktiviti larian yang dilaksanakan oleh pihak sekolah.
Ini sekali gus turut menarik perhatian ramai ibu ayah yang turut bimbang dengan keselamatan anak-anak mereka yang dikatakan bakal terlibat dengan aktiviti merentas desa di beberapa sekolah.
Baca artikel menarik lain di sini:
Pelajar Alami Strok Haba, Gara-gara Aktiviti Larian
Memetik berita yang dikongsikan Sinar Harian, Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, pelajar lelaki berusia 15 tahun itu dibawa ke Hospital Pekan selepas mengalami simptom suhu badan terlampau melebihi 39 darjah Celsius, degupan jantung meningkat selain percakapan dan fungsi otak terjejas.
Menurutnya, pelajar tersebut diberi rawatan hidrasi dan sokongan sebelum dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.
“Pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) HTAA dan keadaannya semakin stabil,” katanya melalui satu kenyataan pada Rabu.
Dr Nor Azimi berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan mengehadkan aktiviti di luar dalam cuaca panas.
“Gunakan pelindung diri dan sentiasa mengekalkan tahap hidrasi untuk mengawal-atur suhu badan.
“Sentiasa awasi gejala keletihan dan strok haba dan segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya mengalami gejala penyakit akibat cuaca panas,” katanya.
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club