Berita

Adik Lelaki Meninggal Dunia, Fauziah Ahmad Daud Kongsi Rasa Pilu

Share

Seniwati Fauziah Ahmad Daud berkongsi berita duka tentang pemergian adik lelakinya, Fazal Ahmad Daud, yang meninggal dunia akibat komplikasi batu karang dalam hempedu.

Menurut Fauziah atau lebih dikenali sebagai Ogy, arwah menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Taiping, Perak, sekitar jam 7 pagi tadi.

Tambahnya lagi, arwah telah lama menderita penyakit tersebut namun memilih untuk menyimpannya sebagai rahsia daripada pengetahuan adik-beradik lain.

Saya kehilangan adik lelaki saya hari ini’ – Fauziah Ahmad Daud

“Allahyarham sudah menjalani pembedahan tetapi keadaan kesihatannya semakin merosot sebelum menghembuskan nafas terakhir.

“Saya kehilangan adik lelaki saya hari ini. Saya memohon ampun maaf bagi pihak arwah Fazal Ahmad Daud, jika ada salah silap selama di atas muka bumi Allah.

“Jika ada hutang piutang boleh hubungi kami. Kepada sesiapa nak ziarah boleh ke rumah kami. Insya-Allah kami akan uruskan pengebumian arwah adik hari ini,” katanya yang tidak dapat menahan sebak.

Jenazah Allahyarham telah dibawa ke kediaman Fauziah di Taman Melawati sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Melawati, Hulu Kelang.

Fauziah, yang juga seorang aktres dan guru lakonan berusia 62 tahun, turut memohon agar orang ramai mendoakan segala kebaikan untuk Allahyarham.

“Sebagai kakak saya mohon ampun dan maaf. Dia anak, adik, abang, suami dan ayah yang baik.”

“Fazal, Kak Ogy sayang sangat kepada Fazal, Fazal berehat ya di negeri abadi. Jangan risaukan kami. Kak Ogy akan sentiasa merindui Fazal tau. 

Allahyarham Fazal merupakan pelakon kanak-kanak dan pernah membintangi filem Hati Batu di sisi Ogy.

Sekadar info, selain Fazal, Ogy memiliki seorang lagi adik yang juga pelakon Fazlina, 49.
Mereka adalah anak kepada seniman Datuk Ahmad Daud dan primadona filem Melayu, seniwati Datin Saadiah.

Sumber: kak_ogy