Seniwati Fauziah Ahmad Daud berkongsi berita duka tentang pemergian adik lelakinya, Fazal Ahmad Daud, yang meninggal dunia akibat komplikasi batu karang dalam hempedu.
Menurut Fauziah atau lebih dikenali sebagai Ogy, arwah menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Taiping, Perak, sekitar jam 7 pagi tadi.
Tambahnya lagi, arwah telah lama menderita penyakit tersebut namun memilih untuk menyimpannya sebagai rahsia daripada pengetahuan adik-beradik lain.
Saya kehilangan adik lelaki saya hari ini’ – Fauziah Ahmad Daud
“Allahyarham sudah menjalani pembedahan tetapi keadaan kesihatannya semakin merosot sebelum menghembuskan nafas terakhir.
“Saya kehilangan adik lelaki saya hari ini. Saya memohon ampun maaf bagi pihak arwah Fazal Ahmad Daud, jika ada salah silap selama di atas muka bumi Allah.
Ads
“Jika ada hutang piutang boleh hubungi kami. Kepada sesiapa nak ziarah boleh ke rumah kami. Insya-Allah kami akan uruskan pengebumian arwah adik hari ini,” katanya yang tidak dapat menahan sebak.
Jenazah Allahyarham telah dibawa ke kediaman Fauziah di Taman Melawati sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Melawati, Hulu Kelang.
Fauziah, yang juga seorang aktres dan guru lakonan berusia 62 tahun, turut memohon agar orang ramai mendoakan segala kebaikan untuk Allahyarham.
Ads
“Sebagai kakak saya mohon ampun dan maaf. Dia anak, adik, abang, suami dan ayah yang baik.”
“Fazal, Kak Ogy sayang sangat kepada Fazal, Fazal berehat ya di negeri abadi. Jangan risaukan kami. Kak Ogy akan sentiasa merindui Fazal tau.
Allahyarham Fazal merupakan pelakon kanak-kanak dan pernah membintangi filem Hati Batu di sisi Ogy.
Sekadar info, selain Fazal, Ogy memiliki seorang lagi adik yang juga pelakon Fazlina, 49.
Mereka adalah anak kepada seniman Datuk Ahmad Daud dan primadona filem Melayu, seniwati Datin Saadiah.
Pelajar perempuan tingkatan lima hidap leukemia – “Saya sedih tak dapat ke sekolah.” Ketika rakan-rakan seusia sedang bergelut belajar membuat persiapan menghadapi peperiksaan SPM, lain cerita pula dengan Nurul Syuhadah Ab Rahman.
Pelajar Perempuan Tingkatan Lima Hidap Leukemia – “Saya Sedih Tak Dapat Ke Sekolah”
Pelajar tingkatan lima yang kini menjalani kemoterapi akibat leukemia, meluahkan kerinduannya untuk kembali ke sekolah bersama rakan-rakan terutama pada hari pertama sesi persekolahan yang bermula pada Isnin.
Nurul Syuhadah
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Muadzam Shah, Pahang itu bagaimanapun perlu memberikan tumpuan kepada rawatan, menyebabkan dia terlepas sesi persekolahan 2025.
Nurul Syuhadah disahkan menghidap leukemia tahap sederhana yang juga sejenis kanser darah, selepas mengalami demam berpanjangan pertengahan tahun lalu.
“Pada awalnya, saya ingatkan demam biasa, tapi selepas hampir sebulan, ibu bapa bawa saya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut ketika kami pulang bercuti di kampung nenek di Kuala Krai.
“Hasil ujian darah menunjukkan saya hidap leukemia,” katanya.
Nurul Syuhadah (kiri) yang kini menjalani kimoterapi, dikunjungi rakan-rakannya dari Pahang.
Seluruh kehidupan Nurul Syuhadah berubah dan dia kini menjalani kemoterapi keempat daripada lapan kitaran rawatan yang dijadualkan.
“Saya sedih tak dapat ke sekolah sejak disahkan sakit pada 15 September lalu.
“Saya juga terlepas banyak kelas, tapi cikgu dan rakan-rakan sering tanya khabar, mereka beri saya semangat untuk terus berjuang,” katanya.
Nurul Syuhadah (dua dari kanan) gembira ke sekolah sebelum disahkan menghidap leukemia.
Dia tetap berusaha belajar sendiri kerana tidak mahu ketinggalan membuat persediaan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Saya mahu ambil SPM seperti rakan-rakan lain, walaupun sekarang banyak berehat akibat kesan rawatan. Saya berharap dapat kembali ke sekolah secepat mungkin,” ujarnya.
Nurul Syuhadah merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik dan ibu bapanya menjalankan perniagaan kedai makan di Muadzam Shah namun terpaksa menutup sementara perniagaan itu untuk menjaganya di kampung.
“Keluarga saya banyak memberi sokongan termasuk adik-beradik. Rakan-rakan juga sering datang melawat dan beri kata-kata semangat, saya harap dapat sembuh serta kembali menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.
Wanita bekas guru KAFA diselamatkan 2 remaja daripada terjun Sungai Kelantan. Tindakan pantas dua remaja berjaya menyelamatkan bekas guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) daripada terjatuh Sungai Kelantan dari Jambatan Sultan Yahya Petra, di Tumpat, Kelantan.
Wanita Bekas Guru KAFA Diselamatkan 2 Remaja Daripada Terjun Sungai Kelantan
Wanita itu dipercayai mengalami tekanan. Ibu tunggal berusia 43 tahun dilihat cuba memanjat penghadang jalan jambatan pada pukul 11 pagi tadi.
Seorang saksi dikenali sebagai Hafiz berkata, dia dan rakannya terpaksa bergelut dengan wanita itu selain meminta pertolongan orang ramai.
Katanya, dalam keadaan cemas, seorang anggota polis yang kebetulan melalui lokasi berhenti dan membantu mangsa.
“Anggota polis turut memujuk wanita itu dan memaklumkan akibat yang akan ditanggung keluarga sekiranya nekad terjun dalam Sungai Kelantan.
“Wanita itu meronta-ronta minta dilepaskan. Tidak lama kemudian, dia melupakan hasratnya untuk terjun dari jambatan tersebut,” katanya.
Hafiz memberitahu, wanita itu dipercayai berasal dari Kampung Kok Pasir, Kota Bharu dan menetap di Kampung Padang Tembesu selepas berpisah dengan suaminya setahun lalu.
Menurutnya, wanita itu memaklumkan dia mengalami tekanan perasaan kerana tiada pekerjaan tetap untuk menyara anaknya.
“Wanita itu turut berpesan kepada anaknya mengenai wang simpanan dan kelengkapan penting menerusi WhatsApp,” katanya yang memberitahu mangsa dibawa ke Balai Polis Wakaf Bharu untuk tindakan lanjut.
Anak kena belajar susah, barulah dia jadi lebih kuat. Sebagai ibu bapa, adalah naluri semula jadi untuk ingin memberikan yang terbaik kepada anak-anak. Namun, dalam usaha memastikan mereka hidup selesa, ada risiko anak-anak menjadi terlalu bergantung atau kurang memahami erti susah dan usaha.
Anak Kena Belajar Susah, Barulah Dia Jadi Lebih Kuat
Oleh itu, penting bagi kita mendidik mereka untuk merasai kesusahan, agar mereka membesar sebagai individu yang lebih berdikari, kuat, dan matang.
Berikut perkongsian Mohd Zulkifli Shafie
Kena belajar rasa susah, supaya dia lebih kuat.Pagi tadi anak saya nak ke Balai Seni di KL. Dia nak siapkan assignment universiti katanya.
Dia cek Grab, tambang sehala RM90.00. Itu belum masuk tol. Kos pergi balik boleh cecah RM200.
Jadi saya suruh dia naik MRT dan naik bas sahaja. Lebih jimat.
Dia keluar dua beradik (adik lelaki dia sebagai bodyguard) tak habis pun RM20.00. Kos sebenar cuma RM15.20 untuk dua orang.
Walaupun mampu untuk benarkan dia naik Grab, tapi kena biasakan diri hidup macam mahasiswa yang lain. Yang ibubapa mereka tak mampu sediakan segalanya.
Dia pun kena belajar susah.
Bila dah terbiasa susah, kita tak akan rasa susah lagi bila susah sebenar tu datang.
Hari ni dia anak orang yang ada duit. Yang boleh sediakan segalanya untuk dia belajar dengan selesa. InsyaAllah.
Tapi masa depan dia belum pasti.
Dia kena belajar rasa susah sama macam mahasiswa lain supaya lebih mudah dia bina kejayaan dia sendiri.
Kesenangan yang berpanjangan boleh menjadikan kita lemah. Ibarat hidup tanpa exercise, badan makin lama makin lemah.
Tekanan ketika exercise tu menjadikan otot dan tulang kita makin kuat. Tekanan tu menjadikan tubuh kita lebih kuat.
Daya tahan hadapi tekanan itulah menjadikan diamond sebagai batu pertama yang paling kuat.
Mengapa Anak Perlu Belajar Rasa Susah?
Membangunkan Ketahanan Diri
Kesusahan mengajar anak untuk menghadapi cabaran hidup dengan tenang dan berani. Mereka belajar bahawa hidup ini tidak selalu mudah, dan setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Ini membantu mereka mengembangkan daya tahan (resilience) yang penting untuk berjaya dalam kehidupan.
Menghargai Usaha Dan Pengorbanan
Apabila anak mengalami kesusahan, mereka akan lebih memahami nilai usaha dan pengorbanan. Contohnya, jika mereka terlibat membantu kerja rumah atau menabung untuk membeli sesuatu, mereka akan lebih menghargai barang tersebut kerana mereka tahu usaha yang diperlukan untuk mendapatkannya.
Mengelakkan Sikap Manja Atau Bergantung
Anak yang tidak pernah merasai kesusahan cenderung menjadi manja dan kurang berdikari. Mereka mungkin sukar membuat keputusan atau menangani masalah apabila berhadapan dengan realiti kehidupan yang mencabar. Belajar menghadapi kesusahan membantu mereka berdikari dan lebih yakin pada diri sendiri.
Mengajar Nilai Kesyukuran
Kesusahan mengajar anak-anak untuk mensyukuri apa yang mereka miliki. Mereka akan memahami bahawa bukan semua orang bernasib baik, dan ini akan membentuk sifat empati serta keinginan untuk membantu orang lain.
Bagaimana Ibu Bapa Boleh Mengajar Anak Untuk Menghadapi Kesusahan?
Berikan Tanggungjawab
Libatkan anak-anak dalam tugasan harian seperti mengemas rumah, membasuh pakaian, atau memasak. Tanggungjawab ini akan mengajar mereka bahawa hidup memerlukan usaha dan kerjasama.
Ajarkan Pengurusan Kewangan
Berikan peluang kepada anak untuk mengurus wang mereka sendiri, contohnya dengan memberi wang saku dan menggalakkan mereka menabung. Apabila mereka perlu menyimpan untuk sesuatu yang mereka inginkan, mereka akan belajar bahawa wang tidak datang dengan mudah.
Jangan Terlalu Cepat Membantu
Biarkan anak-anak menghadapi masalah mereka sendiri sebelum campur tangan. Contohnya, jika mereka tertinggal kerja sekolah, biarkan mereka bertanggungjawab mencari cara untuk menyelesaikannya. Ini akan mengajar mereka menyelesaikan masalah secara sendiri.
Libatkan Mereka Dalam Aktiviti Sukarela
Bawa anak-anak menyertai aktiviti sukarela seperti membantu golongan kurang bernasib baik. Ini akan membuka mata mereka tentang kesusahan orang lain dan mengajar mereka untuk lebih bersyukur.
Beri Galakan, Bukan Kemanjaan
Walaupun menghadapi kesusahan, anak-anak tetap memerlukan sokongan emosi daripada ibu bapa. Berikan galakan untuk mereka terus berusaha, tetapi elakkan memberikan keselesaan berlebihan yang boleh melemahkan semangat mereka.
Kesimpulannya mendidik anak untuk merasai kesusahan bukan bermaksud kita tidak menyayangi mereka. Sebaliknya, ia adalah langkah penting untuk membantu mereka memahami realiti kehidupan dan membentuk keperibadian yang lebih kuat dan berdikari.
Sebagai ibu bapa, tugas kita bukan sekadar memberikan kemewahan atau keselesaan, tetapi juga memastikan anak-anak kita bersedia menghadapi cabaran masa depan dengan yakin. Ingatlah, anak yang pernah merasai kesusahan akan lebih menghargai apa yang dimilikinya dan mampu menjadi individu yang tabah dan berjaya.