“Adik Bangun Tidur Tercari- Cari Abangnya.” Dari Demam Biasa, Anak Sulung Meninggal Mengejut, Baju Melayu Biru Jadi Kenangan

Share

Pemergian anak sulung daripada dua beradik yang berusia sembilan tahun, Muhammad Rizqi Naufal Mohd Shakir ternyata meninggalkan kesan amat mendalam buat ibunya, Siti Fatimah Jaafar, 32.

Sementelah, arwah langsung tidak menunjukkan dia menghidap sebarang penyakit sebelum itu.

Lebih memilukan,sepasang baju Melayu biru yang dibeli untuk dipakai anak lelakinya itu ketika Aidilfitri nanti hanya tinggal kenangan.

Anaknya itu meninggal dunia secara mengejut ketika dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Menurut Siti Fatimah, arwah anaknya itu dikesan hanya mengalami demam petang Isnin lalu sebelum dia membawanya mengambil ubat keesokannya.

“Selepas mengambil ubat, keadaan arwah dilihat beransur baik namun menjelang petang Selasa anak mula dilihat tidak bermaya namun dia enggan pergi ke hospital kerana takut doktor tidak akan membenarkannya pulang.

“Bagaimanapun, melihatkan keadaannya yang semakin lemah arwah terpaksa juga dikejarkan ke hospital dan keadaannya bertambah teruk jam 12 tengah malam sehingga darahnya terpaksa diambil dan ujian imbasan x-ray dilakukan terhadapnya.

“Ketika itu, arwah masih boleh berbual dengan saya sebelum dia pengsan dan kembali sedar tidak lama kemudian selepas dicucuk ubat. Sebaik tersedar, arwah terus meminta air kepada saya dan pada 7 pagi Rabu dia sekali lagi tidak sedarkan diri sehinggalah doktor memaklumkan anak sudah meninggal dunia dua jam kemudian,” katanya.

Menurutnya, dia berada di samping arwah sehingga anaknya itu menghembuskan nafas terakhir dan melihat bagaimana kakitangan hospital bertungkus lumus menyelamatkan nyawa anaknya itu dengan memberikan bantuan pernafasan.

 

“Bagaimanapun, Allah SWT lebih menyayangi dia dan saya reda dengan pemergiannya yang meninggalkan kami sekeluarga buat selama-lamanya.

“Memang terasa sunyi malah adik perempuannya yang berusia lima tahun menangis kerana mencari abangnya itu selepas bangun tidur pagi tadi,” katanya.

Katanya, dia dimaklumkan pihak hospital yang arwah anaknya itu terkena serangan jantung selain turut mengalami masalah kerosakan hati dan buah pinggang.

“Saya dimaklumkan arwah terkena serangan jantung ketika dia koma namun sehingga kini masih menunggu laporan lengkap yang menyebabkan kematian anak.

“Empat hari lalu saya sempat membelikan baju Melayu buat arwah dan dia sendiri memilih warna pakaian yang mahu dipakainya ketika hari raya nanti namun semua itu hanya tinggal kenangan,” katanya.

Jenazah Muhammad Rizqi Naufal selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Wang Besar, Tikam Batu dekat sini jam 6 petang kelmarin.

ARTIKEL MENARIK: “Tiap Malam Dia Jerit, Tak Lena Tidur.” Jururawat Ni Throwback Pengalaman Rawat Bella, Bikin Ramai Sebak

ARTIKEL POPULAR: “20 Tahun Lalu Susah Cari Sekolah Untuk Anak.” Ahmad Idham Bina Sekolah Pendidikan Khas, Kemudahan Untuk Anak Istimewa

BACA INI JUGA : “Cantiknya Baby Khadeeja, Secantik Namanya. Muka Chinese Look.” Intan Ladyana Dedah Wajah & Nama Anak

Wow! Durian Runtuh Menanti Pendeposit Simpan SSPN Sempena Sambutan Jubli Perak PTPTN!


Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA  dan join keluargagader club

 

Sumber: Harian Metro