Sebelum ini, ada antara netizen yang membuat spekulasi pelakon cantik manis ini sedang berbadan dua apabila melihatkan penampilannya di dalam satu majlis perkahwinan baru-baru ini, namun empunya diri hanya mendiamkan diri.
Sehinggalah akhirnya pelakon Ombak Rindu ini mengesahkan dia kini hamil enam bulan.
Jelas Izara Aishah, 27, dia baru bersedia untuk berkongsi khabar gembira itu memandangkan apa sahaja boleh berlaku pada fasa awal kehamilan.
“Sejak mendirikan rumah tangga, saya dan suami memang merancang untuk mendapatkan zuriat pada 2020 kerana masing-masing sibuk bekerja. Selain itu, kami juga mahu menikmati masa bersama terlebih dahulu. Alhamdulillah, Tuhan memakbulkan doa saya dan suami.
“Sebelum ini, apabila ada yang bertanya soal zuriat, masing-masing tidak berani untuk mengatakan kami ada perancangan sendiri. Kami hanya mengaminkan sahaja doa mereka. Pada masa sama, ada segelintir pihak di luar saya yang menuduh saya mandul.
Seperti yang diketahui ramai, saya bukannya suka berkongsi hal peribadi secara terbuka. Berita kehamilan ini pun saya simpan selama enam bulan sebelum sedia untuk dikongsi,” katanya.
Ditanya mengenai pengalaman mengandungkan anak sulung, kata Izara semuanya dalam keadaan baik.
“Saya langsung tiada alahan. Alhamdulillah, bayi dalam kandungan juga sihat. Saya sendiri masih memenuhi pelbagai undangan, termasuk majlis perkahwinan teman baik, Farah Nabilah, baru-baru ini.
“Semoga proses kelahiran anak kami nanti juga akan dipermudahkan,” kata isteri kepada Adib Khalid ini.
Menyentuh kerjaya lakonannya, selepas selesai penggambaran siri Ombak Rindu, Izara memilih untuk berehat seketika.
Izara berkahwin dengan anak tiri penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza, itu pada 17 November 2017.
Sumber: Berita Harian