“Orang kata ini ujian, tetapi saya kata ini adalah cabaran dan gurauan Allah kepada saya… kenapa kata gurauan, kerana kita hanya bergurau dengan orang yang kita sayang… bila anggap ujian ini sebagai gurauan kita akan rasa Allah sayangkan kita.”
Itu kata-kata yang dilontarkan oleh Masitah Mohd Afandy, 32, yang diduga hilang penglihatan akibat kemalangan yang berlaku lebih sebulan lalu.
Kecacatan kekal itu mendorong Masitah yang juga Ketua Pegawai Eksekutif NM Aircond Sdn Bhd lebih bersemangat memberikan motivasi kepada orang lain dan tidak patah semangat walaupun ujian yang dihadapi amat besar.
“Saya tak anggap ujian ini sebagai bala atau musibah tetapi hadiah daripada Allah SWT dan tanda sayangNya dengan cara yang berbeza,” kata usahawan, Masitah Mohd Affandy.
Dahulunya wanita ini normal namun buta kedua matanya selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 21 Mac lalu iaitu dua hari sebelum Ramadan yang mengorbankan seorang pekerjanya.
“Ketika baru kemalangan dan mengetahui seorang pekerja saya meninggal dunia akibat kemalangan itu saya ada beritahu kepada suami bahawa Allah lebih sayangkan Mok. Disebabkan itulah Allah ambil dia.
“Namun dalam hati saya ada cakap, mungkin Allah tak sayangkan saya tu sebab dia tak nak ambil saya, namun belum sempat saya rasa sedih suami terus kata yang memang betul Allah sayangkan Mok namun Allah sayangkan saya dengan cara berbeza dan ia menjadi sumber positif saya sehingga sekarang.
Aura positifnya dapat dilihat menerusi perkongsian video di TikTok dengan rata-rata netizen kagum dan memuji Masitah yang nampak tenang walaupun selepas berdepan ujian hebat.
Mengimbas detik hitam itu, Masitah berkata, kemalangan berlaku ketika dia menaiki kereta dipandu oleh kakitangannya dan suaminya, Nik Nazri Abidin, 36, tiada bersama kerana ada urusan di Batu Pahat, Johor.
“Kejadian berlaku ketika saya dalam perjalanan pulang dari Sabak Bernam, Selangor ke Johor Bahru, Johor selepas kereta dinaiki saya hilang kawalan sebelum terbabas ke lori di laluan bersebelahan.
“Saya sedar selepas kemalangan cuma serta merta buta dan berulang kali tanya kepada kakitangan apa yang berlaku.
“Di hospital, doktor beritahu suami ada kebarangkalian untuk saya melihat tetapi 20 peratus saja dan peratusan semakin menurun hingga disahkan buta sepenuhnya.
“Selepas dapat tahu, saya beritahu suami yang saya okay saja, malah selama 24 hari di wad, hanya 12 hari saja saya berehat.
“Selebihnya, saya buat kerja macam biasa walaupun tak berada di pejabat.”
Masitah mengakui sedih dengan apa yang berlaku namun menganggap ia bukan pengakhiran buatnya, malah bersyukur kerana diberi peluang kedua untuk terus hidup.
“Tipu kalau saya katakan tak sedih langsung namun hidup perlu diteruskan dan saya percaya Allah SWT tak ambil nyawa saya kerana ada tugas besar menanti buat saya di hadapan.
“Ikutkan, saya memang tak dapat dibantu kerana masalah membabitkan saraf mata jadi saya reda dan selepas buta, saya pernah mimpi dapat melihat tetapi anggap ia rezeki yang Allah SWT beri walaupun bukan dalam dunia nyata.
“Alhamdulillah, suami sentiasa ada di sisi malah dia kini yang memasak dan buat kerja rumah jadi saya berdoa semoga Allah beri ganjaran baik buatnya,” katanya.
Bagaimanapun Masitah berkata, sekiranya masih ada rasa sedih itu dalam dirinya, beliau tidak akan membiarkan ia berlarutan.
“Orang terdekat amat mengenali saya dan saya adalah seorang yang susah nak rasa sedih.
“Kalau ada pun, saya akan lihat kembali tujuan dan impian saya antaranya saya mahu beri manfaat kepada orang ramai jadi kalau saya ‘down’ saya akan tanya balik diri saya.
“Saya juga akan hadkan masa sedih itu, beri masa kepada diri saya berapa minit atau berapa jam boleh bersedih. Sebab saya rasa berapa jam yang saya ada untuk bersedih itu sebenarnya banyak orang yang boleh saya bantu dan beri manfaat kepada mereka.
“Saya juga tidak akan tenggelam dalam fasa ‘down’ itu terlalu lama,” katanya.
Dalam pada itu, Masitah menasihatkan orang ramai supaya mencari setiap hikmah dalam cabaran diberikan Allah.
“Kalau kita sentiasa mencari hikmah atau mencipta hikmah dalam perspektif positif, insya-Allah kita akan lebih kuat menghadapi kehidupan serta bersyukur atas segala nikmat diberikan.
“Sebab kadang-kadang apa kita rasa itu seronok namun ia bukanlah terbaik untuk kita namun yang kita tidak suka itulah sebenarnya yang terbaik,” katanya.
Sementara itu, suaminya, Nik Nazri berkata, apa yang berlaku tidak mengubah perasaan cintanya terhadap isteri malah menambah rasa sayang.
“Kehidupan perlu diteruskan dan saya tak pernah terlintas untuk cari wanita lain hanya kerana keadaannya (isteri) begitu atau putus asa.
“Bagi saya, dia (isteri) masih orang yang sama, tiada kekurangan pun cuma tak dapat melihat, itu saja.
“Jadi, biar saya menjaganya dan memang itu yang dilakukan daripada awal dia bangun hingga tidur,” katanya.