Ada Pecahan Bajet Raya, Lagi Mudah Urus Duit. Wanita Ni Kongsikannya!

Share

Melakukan perancangan kewangan untuk berhari raya walau ada yang menyifatkan seakan sukar untuk direalisasikan tetapi andai bijak diurus akan mudah kita menjalani kehidupan ini.

Melihat lebih detail, wanita ini kongsikannya contoh kira-kiranya untuk dijadikan panduan.

BAJET RAYA – NGABIHKAN BOREH JO…

Ada rakan sahabat mencadangkan akak untuk membebel tentang bajet raya. Baiklah akak cuba ya… Jika ada yang tertinggal, silakan saja tambah agar kita semua beroleh manfaat.

Bagi rakan sekerja yang mengenali akak tentulah terfikir, elleehh…. akak suami isteri bergaji Manager juga Senior Engineer. Lagi nak sembang pasal bajet raya!

Duhai sahabat,Jika anda membaca e-catatan “Pelabur Bilis Yang Rojak” pasti anda faham bagaimana akak sentiasa menulis daripada perspective rakan bergaji rendah juga pasangan muda.

Benar, pendapatan isi rumah kami hari ini mencecah lima angka. Namun di awal perkahwinan kami adalah miskin bandar.

Arrgghh.. Anda bacalah e catatan akak baru anda faham. Barulah anda tahu bahawa 13 tahun lepas akak pernah memakai ‘kasut’ yang sama seperti anda.

Okay, berbalik kepada persoalan bajet raya, akak berpegang kepada beraya lah mengikut kemampuan. Jika bergaji besar tidak mengapa.

Namun jika gaji isi rumah di bawah RM3,000 anda mungkin berkeluh kesah bagaimana mahu membina bajet bagi menyambut perayaan?

Maka ini adalah pandangan akak yang pernah bergaji kecil juga :

1 – Pecahkan jumlah bajet perbelanjaan raya tahunan kepada beberapa bahagian seperti gambaran di bawah.

2 – Bahagikan jumlah tersebut kepada kadar bulanan dan kemudiannya harian. Barulah nampak berapa kadar harian perlu di simpan.

3 – Daripada situ kita boleh nampak bahawa peruntukan raya adalah pada kadar di bawah RM5 sehari. Bajet begini sederhana tapi bahagia.

4 – Kalau kita mengamalkan tabung berwarna hijau, hal ini tidaklah menjadi masalah. Setakat baju raya tiga orang anak tentulah lepas. Beli jenama Hari-Hari dan Mydin pun okay juga. Janji selesa.

5 – Tambahan pula jika kita punyai dana kecemasan untuk kerosakan kereta, kesihatan juga ‘unforseen maintainance’. Jika tiada apa berlaku, pulangkan balik ke dalam tabung kecemasan.

6 – Pakaian raya jika Baju Melayu dan baju kebaya seharusnya selang dua tahun barulah beli. Suami isteri di hari lain pakai baju uniform pejabat.

7 – Ye la, bukannya setiap hari kita pakai baju Melayu juga kebaya. Terkadang time kenduri kendara atau majlis tertentu sahaja. Itupun kalau ada jemputannya…

8 – Bab duit raya juga berilah secukup rasa. Jangan malu jika envelop kita nipis. Sekurang2 kita guna wang simpanan, bukan wang pinjaman untuk beraya.

9 – Kuih raya dua tiga jenis dah cukup dah. Adik beradik lain pun bawa balik kuih ke kampung juga. Jika di combine dah dapat 5-6 jenis kuih. Kan meriah jika adik beradik berkongsi rasa?

8 – Dalam wassup group family bincang dengan abang kakak. Saya bawa balik kacang dan kerepek, abang bawa semperit, kakak bawa tart nenas dan adik bawa air cordial. Mak ayah tentu gembira lihat keakraban kita adik beradik saling bekerjasama.

9 – Lebih meriah jika sekeluarga berkongsi rasa. Sediakan juga sedikit wang untuk beli lauk pauk juga. Sesekali balik kampung jangan jadi buaya. Selamba membedal makanan langsung tak nak keluar belanja. Sorang seratus dua, 3-5 beradik dah tentu cukup belanja.

10 – Jika gaji tak cukup untuk bina tabungan raya, carilah pendapatan kedua. Target sehari mahu dapatkan minimum RM5 sebagai bajet raya tahunan.

11 – Bajet raya tahun ini seharusnya bermula semenjak lepas raya tahun lepas. Rancang awal mengikut kadar harian tidaklah pening kepala.

12 – Macam biasa, kalau malas cari pendapatan kedua ikat perut kurangkan belanja. Dah memang asas kewangan begitu. Samada tingkatkan pendapatan atau kurangkan belanja.

13 – Jauhi perangai bergaya sakan di hari raya, hutang peribadi tidak terkira. Pagi raya kemain suami isteri menangis keinsafan. Balik raya fikirkan hutang suami isteri menarik muka. Apa guna bergaya raya hingga hilangnya rasa cinta?

14 – Credit card pun jangan asyik diguna. Wang plastik itu bukanlah hak kita. Itu wang bank yang punya. Gaji ciput perlulah kita berkira-kira. Berbelanja dengan berjaga-jaga.

15 – Yang mertua ipar duai janganlah perangai syaitoon kembali di hari raya. Buang perangai membanding mengumpat sesama kita. Menantu ini bagi angpow sedikit menantu itu bagi banyak. Adoiii jangan jadi dasar mertua versi ‘mak kau hijau’

16 – Kita ini di zaman millenium. Masyarakat lebih pintar. Kita tak heran gaya kalau poket rabak di sini sana. Langsir, sofa dan balang kuih bukanlah keutamaan berbanding saling menziarah bertanya khabar sanak saudara.

17 – Biar kurang gaya asalkan buku akaun berderet angka, asset dan passive income sentiasa ada. Bila dikutuk, abaikan saja. Mereka tak nampak angka PNB, KWSP, TH, AHB, portfolio juga pendapatan sewa yang kita punya. Tak perlu pun kita heboh cerita. Asset kita tak perlu dijaja cerita kepada sesiapa.

18 – Ehhh tapi ingat, bajet pun bajet juga. Zakat fitrah bayar sekarang. Jangan asyik bertangguh sesaja. Takut nanti terlupa, sibuk gegarkan rumah kawan yang layak menerima di awal pagi raya. Ini menyusahkan semua.

19 – Akak cerita ini bagi yang bergaji kecil. Yang gajinya besar masa ini adalah musim kita bersedekah. Berilah mengikut kemampuan. Dalam rezeki kita ada hak kawan. Jangan kedekut hingga menewaskan rekod ‘Haji Bakhil’ pula.

20 – Dalam gambaran di bawah akak cuba bina cadangan bajet bagi isi rumah bergaji bawah RM3,000. Anda nilai dan selarikan ikut kesesuaian. Dah nama pun cadangan secara anggaran.

21 – Sekian dulu bebelan akak. Semoga sedikit memberi manfaat. Mulakan bajet raya seawal boleh ya.. Jangan too little money, too much to spend pula.

22 – Ehh! Lagi satu, beria-ria buat BAJET RAYA tapi tak kalau tak de disiplin nak patuh, lebih baik jangan buat bajet. NGABIHKAN BOREH JO…

Notakaki : Sila rujuk anggaran bagi mendapat sedikit idea cara mudah membina bajet raya. Asingkan mengikut kategori ya!

Salam Sayang Ampun Maaf Di Pinta

Sumber : Marliya Ramli