Sayur mempunyai khasiat yang cukup baik kepada tubuh. Pun begitu ada juga diantara sayur-sayur yang kurang sesuai untuk kita makan terutama kepada mereka yang mengalami masalah batu karang atau darah beku.
Menurut perkongsian Dr Suri Roowi di laman Facebooknya, beliau meminta agar orang ramai lebih peka berkenaan jenis sayur yang sesuai dimakan.
Menurut Dr Suri Roowi, terdapat beberapa jenis sayur yang perlu dielakkan atau dikurangkan jika seseorang berpenyakit kerana akan ‘mengaktifkan’ penyakit dalaman.
“Kita sedia maklum sayur-sayuran memang banyak memberikan khasiat kepada kita tapi pada masa yang sama, jika kita tidak sihat atau berpenyakit, maknanya kita kena lebih berhati-hati.
“Contohnya sayur bayam, walaupun banyak khasiat tetapi ada vitamin K yang mampu mengakibatkan pembekuan darah. Jadi, kalau darah kita senang beku, memang dinasihatkan untuk elakkan makan sayur bayam.
“Selain itu, bayam juga tinggi satu bahan lain yang dikenali sebagai Oxalate yang mana tidak sesuai untuk yang mempunyai sejarah batu karang. Contohnya kalau dalam ahli keluarga atau diri sendiri ada sejarah batu karang, kena kurangkan makan sayur bayam,” jelasnya.
Sekiranya anda masih teringin untuk makan sayur bayam, caranya adalah bekukan terlebih dahlu di dalam peti ais sebelum masak. Teknik ini akan membantu menurunkan kandungan oxalate yang mengakibatkan batu karang.
Dr Suri Roowi turut menambah jenis sayur lain yang perlu dielakkan jika anda berpenyakit iaitu sayur manis kerana pengambilan secara berlebihan boleh mengakibatkan kerosakan paru-paru.
Beliau turut memberitahu agar merebus pucuk ubi sebelum makan dan jangan dijadikan sebagai ulam. Hal ini kerana kandungan Cyanide dalam pucuk ubi boleh menyebabkan penyakit menyerang.
Sumber: Facebook Dr Suri Roowi