Ada Masa isteri Perlu ME TIME Bersama Kawan, Tak Perlu Selalu Atau Kerap. Bukan Nak Kata Bosan, Tapi Jika Suami Buka Mata Akan Nampak Keperluannya

Share

Mencari sahabat buat isteri. Mungkin ada yang beranggapan lain apabila membaca ayat tersebut. Baca apa yang ingin disampaikan oleh saudara Akhtar Syamir menerusi laman facebooknya.


Mencari sahabat buat isteri.

Bayangkan anda seorang suri rumah. Anda berada di rumah, membuat kerja-kerja rumah seperti menyapu, memasak, mengemas, menghias dan menjaga anak-anak.

Seharian aktiviti anda dipenuhi dengan tugasan ini sambil menunggu orang yang dicintai pulang untuk kembali menjadi manusia biasa.

Manusia biasa yang dimaksudkan di sini ialah orang yang mempunyai kawan dan sahabat yang boleh dibawa berbual. Bukan mengumpat, tapi berbual.

Lepas kahwin tak perlu kawan ! Itu kata-kata suami yang memandang isteri seperti satu alat, seperti satu perkhidmatan atau servis buat dirinya.

Kita jangan jadi seperti itu. Isteri ini adalah manusia biasa. Isteri suri rumah paling utama kerana tiada kawan lain selain suaminya. Jika ada rezeki, ada anak-anak untuk mengisi jiwanya sementara menunggu suami pulang.

Namun, suami ialah suami. Kawan ialah kawan. Lelaki ialah lelaki, wanita ialah wanita. Sehebat mana suami pun, kami tidak mampu berfikiran 100% seperti wanita. Ada benda yang walapun sudah menjadi isteri, masih malu untuk dibualkan bersama suami kerana ianya perkara wanita.

Perkara-perkara seperti alat solek, perhiasan, deko, pakaian, masakan, jualan murah, anak, keluarga dan lain-lain lagi. Ramai suami yang boleh borak benda-benda ni, tapi takkan sedalam seorang wanita. Kita lelaki, tahu warna biru, warna hijau, mereka tahu warna tiffany blue, pink belacan, dusty pink, apa benda ni? Ini namanya wanita punya pandangan. Lelaki ada tahapnya. Sampai satu tahap tu, kita tak rasa perlu untuk tahu. Warna-warna itu contohnya. Tapi bukan wanita. Benda tu penting bagi mereka.

Jadi, untuk mengisi satu ruang khas untuk berkawan di hati isteri, berilah dia ruang. Ada masanya isteri perlu ME TIME bersama kawan-kawannya. ME TIME ini ialah masa peribadi seseorang yang tidak diganggu pasangan. Bukan perlu selalu atau kerap. Tetapi cukup untuk mengembalikan norma kehidupan kepada isteri.

Jadi, beberapa hari lepas saya menghantar isteri saya Nora Azni untuk membuat rawatan rambut di sebuah Salon mesra Muslimah bersama 3 orang sahabat yang dikenali dari 3 tempat yang berlainan. Seorang jiran Mulan Chayank, seorang bisneswomen Aiza Ab Aziz dan seorang kenalan dari Facebook Aniza Zakaria.

Saya mengambil alih tugas beberapa jam menjaga anak-anak supaya dia tidak diganggu. Saya pesan, jangan risau pasal kami. Saya boleh jaga. Tak perlu rasa kena balik cepat. Saya tak nak ada perasaan tergesa-gesa.

Terpancar kegembiraan di muka isteri sewaktu melangkah keluar dari kenderaan, menuju ke salon. Melihat isteri tersenyum sebegitu telah menjadi matlamat hidup saya dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Isteri ini kadang-kadang dia tak bagitau. Tapi jika kita buka mata, kita akan nampak keperluan-keperluan kecil dia. Bukan nak kata dia bosan, tetapi kita nak pandangan dia luas. Isteri yang bekerja, keluar hari-hari melihat dunia, tetapi bukan isteri suri rumah. Jadi, tanggungjawab suami untuk bawa dunia kepada dia.

Alhamdulillah sesi ME TIME berjalan dengan amat gembira hasil keriangan isteri selepas pulang sambil melibas-libaskan rambutnya. Ya, membuat rawatan rambut ini amat penting. Jangan memandang rendah. Rambut wanita dan lelaki tidak sama. Mereka lebih panjang, lebih lebat, lebih perlu penjagaan.

Bantulah isteri anda, beri apa yang mereka perlukan mengikut kemampuan. Jika rawatan rambut itu kosnya RM100. Kumpul la RM10 sebulan. Bukan suruh buat hari-hari. Jangan membesarkan benda yang seringkas ini.

Di samping rambut yang sihat, mereka juga boleh bersama-sama kawan menjadi seorang wanita normal.

Saya sentiasa percaya isteri ini umpama layang-layang. Biarkan ia bebas mengikut angin, melihat kehidupan, membuka mata, merasai kegembiraan terbang tinggi, tetapi dalam masa yang sama masih terkawal dengan tali perhubungan yang kemas. Biar angin kuat melayang dia ke sana, sini, ia tetap akan pulang ke pangkuan yang dicintainya.

Jom bawa isteri anda ke salon !

Kongsikan penulisan ini supaya terdetik idea ini di dalam kepada para suami. Janganlah ingat perkara ini menyusahkan kerana isteri yang gembira bakal menggembirakan semua.

Jemput follow saya ? Akhtar Syamir. Saya selalu menulis mengenai hubungan suami isteri, kekeluargaan dan isu semasa.

Jom join Supergroup Telegram BroOhsem Fans di mana kita boleh berinteraksi dengan lebih rapat lagi.

▶️ http://t.me/broohsemfans ◀️

BroOhsem