Bukan mudah mendidik ahli keluarga menjadi anak yang baik. Sebagai ibu bapa pastinya tanggungjawab berat agar memastikan anakn-anak dapat membesar dengan baik dan mendengar kata.
Sebuah perkongsian Wawa Shauqi yang menyentuh hati mengenai seorang ibu yang gagal dalam mendidik anak. Jom semak!
“Ada cara tak kalau saya sebagai seorang ibu nak betulkan silap saya?”
Tanya seorang ibu di seminar kelmarin. Ceritanya buat kami di dewan seminar sebak.
Saya namakan akak ni sebagai Kak Ma. Kak Ma seorang ibu bekerjaya hebat. Dari tudung Bokitta yang dipakainya pun dah boleh agak. Kiranya kalau dari segi kewangan dan kerjaya, dia nampak hebat dan berjaya.
Tapi bila di rumah, dia dilihat sebagai seorang ibu yang gagal. Anak lelakinya menganggap dia seperti musuh. Manakan tidak, Kak Ma ‘tidak hadir’ sebagai seorang ibu kepada anaknya sepanjang anaknya membesar.
Anaknya membesar bersama nenek. Bukan dia tidak cuba jaga anaknya itu sendiri. Tapi anak terunanya sendiri sentiasa mengelak, tak mahu duduk di bawah jagaan Kak Ma. Saya agak, ada sesuatu yang membuat hati anak ini terluka.
Sehinggalah si anak mencecah umur 16 tahun, barulah Kak Ma berjaya bawa anaknya pulang tinggal bersama. Kalau tak kerana nenek yang dah tak tua dan tak mampu menjaga, tak mungkin anaknya sanggup.
Kak Ma sangka bila dah tinggal sebumbung, lebih mudah hubungan mereka pulih. Tapi sebaliknya berlaku. Setiap tingkah laku anaknya seolah sengaja membangkitkan marah Kak Ma.
Setiap kali itu dia cuba menegur. Kadang-kadang jadi membebel. Tapi kebiasaannya interaksi antara mereka pasti mencetuskan perang dingin. Kata Kak Ma, “Hari-hari kami bertekak sampai boleh melambung rasa bumbung rumah ni”.
Anak dah dewasa. Dah tau dirinya ada kuasa. Rotan dan marah dah tak kuat untuk melawan kuasa rebel seorang anak remaja.
Kak Ma sedar selama anaknya membesar, dia tidak memainkan peranan sebaiknya sebagai seorang ibu.
Atas sebab tu Kak Ma redho bila berulang kali si anak mengulang sebut kegagalan Kak Ma sebagai ibu. Apa yang dikata anak semuanya benar belaka.
Bebanan rasa bersalah itulah yang buat Kak Ma redho bila anak terunanya meminta duit dan berbelanja mewah. Sedangkan dia tau, duit itu digunakan anak untuk berpeleseran. Tapi apa pilihan yang dia ada untuk raih kembali kepercayaan anaknya terhadap dia.
Dia fikir, ‘Tak apelah. Asalkan anak aku masih sudi tinggal bersama aku.’
Kami di dewan hanya mampu tumpukan mata dan tajamkan telinga mendengar kisah Kak Ma. Wajahnya betul-betul kosong. Tak tahu apa usaha yang perlu dia buat.
Bila Ibu Rose tanya apa yang dia harapkan pada waktu ni, dia hanya melepaskan keluhan berat dan jawab, “Saya harap saya boleh kembali ke waktu anak saya kecil, menyayangi dia dan melayani anak saya tu sebagaimana yang sepatutnya.”
Ya Allah waktu tu terus berkaca mata saya. Orang belakang dah ‘sok sek sok sek’ bunyi hidung berair. Rakan sebelah saya dah mengelap air mata. Satu dewan gagal tahan sebak. Masing-masing terkenang masa depan dengan anak-anak.
Masing-masing menyedari anak kecil yang mereka sayang dan masih boleh ditimang ini juga punya risiko mendewasa sebagai remaja rebel.
Kak Ma, kerana akak, pandangan saya terhadap anak saya luar biasa rasa sayangnya. Kerana Kak Ma, saya lebih mudah bersabar dengan anak saya. Kerana akak juga saya ingin melihat anak saya sebagai bakal dewasa yang akan terus menyayangi ibunya walaupun dah tua kerepot.
Terima kasih Kak Ma, semoga Kak Ma diizinkan Allah memulih hati anak yang luka. Semoga Kak Ma jumpa momen untuk meraih semula kepercayaan anak. Semoga hubungan antara Kak Ma dan anak kembali berbunga dan hidup subur sehingga ke taman syurga.
.
1. Banyak perkara yang kita nak kejar dalam hidup ni. Kita sentiasa sibuk pandang tinggi orang lain, tanpa sedar anak kita sendiri memandang kita sebagai idola. Kita sentiasa sibuk nak mencari sumber kewangan buat memberi makan anak kita, tanpa sedar kita dah biar anak kita laparkan perhatian.
2. Anak-anak tidak mahu harta kita. Bagi mereka perhatian dari kita lebih berharga. Lupakan letih dan tugas kita seketika. Pandang wajah mereka. Dengarkan mereka teruja bercerita. Akan sampai satu masa, mereka tidak lagi ada masa yang banyak untuk kita.
3. Biar tak banyak masa. Asalkan bila ada, cipta momen sebaiknya. Peluk cium anak, biar mereka tahu betapa kita menyayangi mereka. Jadikan setiap 5 minit pendek yang kita ada untuk anak tu sebagai impak positif dalam hidup anak sehingga 50 tahun akan datang.
4. Masa takkan dapat kita putar kembali. Setiap minit anak makin membesar. Sesibuk mana pun kita membina kerjaya, jangan lupa kerjaya sebenar kita sebagai ibu dan bapa. Let’s be real parents again