Ada ‘Berita Baik’ Buat Penjawat Awam Untuk Bajet 2022. Undang Rasa Tak Sabar Tunggu Pembentangan Jumaat Ni!

Share

Pastinya kita sebagai rakyat  ternanti-nanti apakah perancangan dan perlaksanaan yang dilakukan oleh pihak kerajaan untuk membawa negara dan rakyat ke arah kehidupan lebih baik pada masa ini di bawah kerajaan Keluarga Malaysia  untuk 12 bulan akan datang.

Akhirnya masa yang ditunggu-tunggu akan  terjawab Jumaat ini, di mana Bajet 2022 akan dibentangkan di dalam persidangan Dewan Rakyat oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz Jumaat ini (29 Oktober ).

Lebih-lebih lagi baru-baru ini Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ada memberi bayangan ada ‘berita baik’ untuk penjawat awam, sekali gus membuatkan seramai 1.6 juta penjawat awam sudah ada yang tersenyum dan tidak sabar menunggu pengumuman Bajet 2022 tersebut.

Photo by Ishan @seefromthesky on Unsplash

‘Berita Baik’ Buat Penjawat Awam

Ini sepertimana memetik laporan berita di Astro Awani, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkhidmatan 1.6 juta penjawat awam sentiasa dihargai oleh kerajaan dan rakyat.

“Kita sangat menghargai penjawat awam kerana mereka sangat penting kepada pembangunan negara, tentu sekali tidak pernah melupakan mereka… tunggu sajalah pembentangan Bajet 2022,” katanya ketika ditanya mengenai ‘berita baik’ bagi penjawat awam dalam belanjawan tahun depan semasa Wawancara Bajet 2022 media bersama Perdana Menteri di sini hari ini.

Gambar sekadar hiasan

Dua aspek yang diberi tumpuan dalam Bajet 2022 adalah penjanaan pekerjaan bagi sektor swasta dan awam bagi mengatasi masalah pengangguran dan pendidikan yang merangkumi peruntukan untuk institusi pendidikan bukan hanya untuk Sekolah Kebangsaan, tetapi juga Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil serta Maahad Tahfiz.

Ismail Sabri berkata, penjanaan pekerjaan melibatkan semua pihak, golongan belia, rentan dan orang kurang upaya (OKU).

“Hampir 440,000 penempatan pekerjaan dan penciptaan pendapatan berjaya dilaksanakan di pelbagai kementerian dan agensi kerajaan setakat 22 Okt lepas menerusi pelbagai inisiatif,” katanya.

Beliau berkata, majoriti daripada kejayaan itu disumbangkan oleh penempatan pekerjaan secara pengambilan terus menerusi program Penjana Kerjaya, program Short-term Employment Program atau MySTEP serta Program Perantisan dan Skim Perantisan Nasional (SPN) membabitkan peruntukan RM3.9 bilion.

Katanya, kadar pengangguran dalam negara juga beransur pulih dari nilai tertinggi iaitu 5.3 peratus pada Mei 2020 kepada 4.6 peratus pada Ogos lepas hasil program latihan relevan yang disediakan kerajaan bagi meningkatkan kebolehpasaran dan melengkapkan rakyat dengan kemahiran selari permintaan industri.

Sehubungan itu beliau mengajak rakyat supaya mendengar dan memberi tumpuan kepada faedah yang bakal mereka peroleh daripada Bajet 2022.

Tumpuan Sektor Pendidikan 

Dalam sektor pendidikan, Ismail Sabri berkata kerajaan akan terus menekankan kualiti pendidikan serta membina ketahanan sistem pendidikan negara berdasarkan pengalaman semasa pandemik COVID-19 selain memberi perhatian mengenai pembayaran pinjaman pendidikan.

Perdana Menteri berkata, Bajet 2022 juga akan menyokong kembali sesi pembelajaran yang lama terjejas akibat penutupan aktiviti ekonomi dan sosial terutama melalui agenda digitalisasi menerusi penyediaan kemudahan serta bantuan pendidikan kepada golongan B40 yang paling terjejas.

“Apa yang penting adalah imunisasi anak-anak kita yang sekarang ini sedang berjalan lancar dan ini salah satu aspek yang akan menentukan kejayaan pembukaan sekolah semula, di samping pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang baik dan berdisiplin,” katanya.

Beliau berkata, sekolah-sekolah daif khususnya di luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak tidak ketinggalan mendapat perhatian dalam Bajet 2022 yang mana ia akan dibaik pulih bagi memastikan pelajar dapat mengikuti proses pembelajaran secara kondusif dan sempurna.

Katanya, Bajet 2022 akan membantu Keluarga Malaysia di bandar dan di luar bandar yang berdepan dengan tekanan kenaikan kos sara hidup ditambah lagi dengan penularan pandemik COVID-19. – BERNAMA

Sumber : Astro Awani

ARTIKEL MENARIK : “Kenderaan Adalah ‘Monster’ Yang Telan Banyak Duit…”-Lelaki Ni Pesan, Ada Betulnya!

LAGI ARTIKEL MENARIK :Pakar Jelaskan Punca Kemerosotan Tulang & Otot, Serta Tips Pemakanan Yang Baik. Sila Take note, Rugi Kalau Tak Tahu!

Baca Ini Juga : Umur 40an Aim Nak Badan Langsing. Pakar Dietitian Ni Kongsi Caranya Perlu Praktik!

Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club