Usaha tangga kejayaan. Sikap tidak putus asa ibu ini akhirnya impian untuk memiliki anak perempuan tercapai.
Mengakui tidak pernah terfikir akan memiliki anak perempuan memandangkan setiap kali melakukan imbasan, hasilnya sama.
Namun Alexis Brett tidak menyangka memperoleh zuriat perempuan setelah yakin dia akan mendapat seorang bayi lelaki untuk kandungannya yang ke-11 itu.
“Semua sayang kepadanya. Setiap kali melahirkan bayi baru, seluruh keluarga gembira namun berbeza pada kali ini yang berasa sangat teruja,” kata wanita berusia 39 tahun itu.
Ads
Menurut Alexis, sudah semestinya sepuluh orang anak lelaki yang berusia dua hingga 17 tahun itu akan memberikan perhatian sepenuhnya kepada adik perempuan mereka.
Ads
“Mereka akan bantu memakai gaun yang cantik serta menjadi pelindung kepada adik kesayangan,” ujarnya.
Tambah Alexis yang juga merupakan bekas jururawat berkata, dia dan suaminya Davie tidak pernah terfikir akan memiliki anak perempuan.
Ads
“Pada jangkaan saya, sudah cukup untuk memeriksa jantina apabila setiap kali hamil kerana akan sama sebaik sahaja melahirkan anak kami,” katanya.
Sumber: Metro.co.uk
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Remaja OKU sebabkan kematian warga emas kerana ditegur main motosikal didakwa. Seorang remaja lelaki orang kurang upaya (OKU) intelektual dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, Selasa, atas tuduhan membunuh seorang warga emas dalam kejadian pertengahan Jun lalu.
Tertuduh berusia 18 tahun itu dibawa ke hadapan Majistret Tun Faez Fikhrie Tun Asrul Saini, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan sepanjang prosiding berlangsung.
Berdasarkan pertuduhan, remaja terbabit didakwa menyebabkan kematian Shamsudin Mohamed, 60, di kawasan tepi jalan berhampiran sebuah kedai runcit di Kampung Buluh, Gual Ipoh, di sini sekitar jam 6 petang pada 16 Jun lalu.
Kes tersebut diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, atau jika tidak dijatuhkan hukuman mati, penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun, serta tidak kurang 12 kali sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mazlan, memaklumkan mahkamah bahawa tiada tawaran jaminan diberikan memandangkan kesalahan yang didakwa adalah tidak boleh dijamin.
Remaja berkenaan tidak diwakili peguam dalam prosiding itu. Mahkamah menetapkan 2 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia dan perubatan.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki warga emas meninggal dunia selepas dipercayai dipukul dengan sebatang besi hingga mengalami kecederaan parah di bahagian muka.
Siasatan awal mendapati insiden itu berpunca akibat perselisihan lama apabila mangsa beberapa kali menegur remaja terbabit kerana menunggang motosikal secara berbahaya di sekitar kampung.
Mangsa, Shamsuddin Mohamad, mengalami kecederaan parah pada wajah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sekitar jam 5.30 petang. Suspek dipercayai seorang remaja lelaki berumur 18 tahun, yang dikatakan berdendam kerana pernah ditegur oleh mangsa berhubung cara menunggang motosikal secara merbahaya di kampung tersebut.
Menurut adik tiri mangsa, Hasnah Ghazali, 40, ketika kejadian abangnya sedang berbual dengan seorang rakan di bangsal bersebelahan sebuah kedai runcit. Suspek kemudiannya datang dan mengajak mangsa ke bahagian belakang premis tersebut sebelum memukulnya.
“Abang saya rebah dan tidak sedarkan diri selepas dipukul,” katanya kepada media pada Jumaat.
Hasnah memaklumkan kejadian disedari oleh seorang lelaki yang kebetulan berada di kawasan itu. Beliau dimaklumkan mengenai insiden berkenaan sekitar jam 5.45 petang dan terus bergegas ke lokasi kejadian.
Kalau ditanyakan soalan ini, ‘bila kali terakhir anda sebagai ibu bapa puji anak-anak?’ rasa-rasa anda boleh jawab tak?
Sedangkan kita yang dewasa ni kalau orang puji pun boleh senyum simpul, terbawa-bawa pujian tu seharian, apatah lagi anak-anak yang tiada siapa yang boleh diharapkan untuk beri pujian kepada mereka selain ibu bapa mereka.
Ingat tau, kat rumah macam-macam benda kita boleh buat dengan anak, momen dalam rumah itu sendiri boleh menghidupkan hari-hari mereka. Seperti yang dikongsikan oleh Dr Redza Zainol ini. Jom kita hayati perkongsiannya!
Setiap hari, kita diberi terlalu banyak peluang untuk cipta “Magic Moments” dengan anak kita.
Magic Moments ini ialah detik yang anak kita akan sentiasa teringat tentang kita sampailah mereka dewasa nanti.
Bayangkan anak kita baru lepas letak elok-elok pinggan dan cawan dalam sinki lepas makan. Dia pun dengan gembiranya panggil kita untuk tengok hasil kebaikan dia.
Cepat-cepat kita pergi tengok, kita buat-buat terkejut, tepuk tangan siap peluk anak kita.
“Wahhh, kakak dah besar. Pandai letak pinggan dalam sinki lepas makan.”
Senyumlah anak kita sepanjang malam. Detik itu akan jadi satu Magic Moment untuk mereka.
Kenapa magik? Sebab antara berjuta detik yang lain, detik itulah yang dia boleh ingat sampai bila-bila. Itulah magiknya.
Lagi banyak Magic Moments tersimpan dalam memori anak kita, lagi bahagialah anak kita. Bayangkan zaman kanak-kanak anak kita dipenuhi dengan ribuan Magic Moments yang hebat.
Tapi, saya sendiri banyak terlepas peluang untuk cipta “Magic Moments” dengan anak saya.
Pernah anak saya teruja nak tunjukkan sejenis ikan berkaki yang baru dia belajar pagi tu. Saya pula sibuk dengan urusan lain. Berkali-kali dia cuba nak beritahu saya pasal ikan tu.
Bila kerja saya dah selesai, anak saya pun dah tertidur. Saya fikir remeh aja cerita ikan tu. Terlintas dalam hati, esok mesti dia dah lupa pasal cerita ikan tu.
Itulah silap saya.
Esok paginya, anak saya datang dan dengan suara perlahan dia kata lepas ni dia dah tak nak cerita apa-apa lagi bila dia belajar benda baru.
Allahuakbar, saya menangis. Remuk hati ini.
Terus saya minta maaf pada anak. Leka betul diri ni. Macam tu cara Allah bagi amaran pada saya.
Sebenarnya, anak kita akan ketagih nak berkelakuan baik bila kita selalu “tangkap” dia betul-betul lepas dia buat perkara yang baik.
Bila kita beri ganjaran selepas dia buat apa-apa kebaikan, Magic Moments itu lebih mudah tercipta.
Ganjaran macam duit, permainan dan coklat bukanlah tak baik tapi ia tak sehebat ganjaran yang saya nak kongsikan ni.
Contoh ganjaran atau hadiah yang lebih hebat :
✅ Diberi kasih sayang – dalam bentuk pelukan, ciuman, high five, senyuman atau meletak tangan kita pada bahu anak.
✅ Pujian – puji secara spesifik kelakuan anak yang kita suka. – Contoh:
“Baguslah abang senyap je masa mama bercakap melalui telefon dengan nenek.”
“Kakaklah pembantu mama yang paling rajin sekali. Semua permainan kakak dah susun elok-elok dalam laci.”
✅ Diberi perhatian yang lebih atau dapat buat aktiviti khas. – main game board dengan mak ayah – mak ayah baca buku cerita bersama – tolong mak ayah sediakan makan malam – dapat pergi ke zoo bersama mak ayah.
American Academy of Pediatrics dan American Association of Child and Adolescent Psychiatry pun menyokong jika kita beri ganjaran sosial begini.
Sungguh kawan-kawan.
Kita terlalu banyak “tangkap” anak ketika mereka buat salah sampai kita terlupa nak “tangkap” mereka kita mereka berbuat baik.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Bagi kaum wanita, ketika datang bulan, mereka tidak dapat melaksanakan ibadah puasa dan tentunya amalan-amalan ibadah yang lain. Keadaan ini tentunya membuatkan kaum wanita berasa sedih dan kecewa.
Setiap kali tiba bulan Ramadan, tentunya ramai ingin mengambil kesempatan untuk menambah saham pahala. Oleh kerana bulan Ramadan hanya datang setahun sekali maka ia seharusnya tidak disia-siakan dan digunakan sebaik mungkin untuk amal ibadah.
WAHAI WANITA YANG KEDATANGAN HAID, USAH BERSEDIH PADA BULAN RAMADAN
“Aduhai, tak boleh pulak nak puasa. Ruginya rasa.”
“Ya Allah, seronoknya tengok orang lain boleh terawih ramai-ramai.”
“Cemburunya…. Semua orang berebut-rebut kumpul pahala bulan Ramadan. Aku tak boleh nak buat apa-apa.”
Sedihnya…
Beginilah antara beberapa keluhan dan luahan yang kadangkala keluar daripada mulut para wanita yang didatangi haid pada bulan Ramadan.
Haid adalah fitrah bagi seorang wanita. Saidatina Aisyah r.a. juga pernah menangis kerana kedatangan haid sewaktu ingin mengerjakan haji. Rasulullah SAW menenangkan hati
Maksudnya: “Sesungguhnya ini adalah perkara yang telah Allah tetapkan bagi kaum wanita dari anak cucu Adam. Lakukanlah apa yang dilakukan oleh orang-orang yang haji, kecuali tawaf di Kaabah.” [HR Bukhari]
Wanita yang berada dalam keadaan haid semasa Ramadan tidak perlu bersedih, kerana ini adalah ketetapan daripada Allah SWT. Tidak boleh berpuasa bukanlah bermaksud semua ibadah semasa Ramadan tidak dapat dilakukan. Sebenarnya, masih banyak amalan yang boleh diamalkan oleh para wanita yang didatangi haid dalam bulan Ramadan.
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepada-Nya di waktu pagi dan petang.”
[Surah al-Ahzab: 41-42]
Maksudnya: Ingatlah Aku, nescaya Aku akan mengingatimu, dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur. [Surah al-Baqarah: 152]
2. MEMBERI MAKAN KEPADA ORANG YANG BERPUASA
Amalan mudah bagi seorang wanita adalah menyediakan juadah berbuka buat orang yang berpuasa.
Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhani r.a.:
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا
Maksudnya: “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun.” [HR Tirmizi, hadis sahih]
3. MEMPERBANYAKKAN SELAWAT
Daripada Abdullah bin ‘Amr r.a., bahawa Nabi SAW bersabda:
فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا
Maksudnya: “Sesungguhnya barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.” [HR Muslim]
4. MEMPELAJARI ILMU AGAMA
Nabi Muhammad SAW bersabda:
وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ
Maksudnya: “Siapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan mudahkan baginya jalan menuju syurga.” [HR Muslim]
5. MELAZIMI SEDEKAH
Wanita yang haid masih boleh melakukan sedekah di bulan Ramadan.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a.:
يَا مَعْشَرَ النِّسَاءِ تَصَدَّقْنَ وَأَكْثِرْنَ الْاِسْتِغْفَارَ ، فَإِنِّـيْ رَأَيْتُكُنَّ أَكْثَرَ أَهْلِ النَّارِ
Maksudnya: “Wahai kaum wanita! Bersedekahlah kamu dan perbanyakkanlah istighfar. Kerana, aku melihat kaum wanitalah yang paling banyak menjadi penghuni neraka.” [HR Muslim]
Maksudnya: “Nabi SAW merupakan orang yang paling pemurah dengan kebaikan dan sifat pemurahnya semakin memuncak dalam bulan Ramadan, ketika Jibril menemui Baginda. Jibril a.s. menemui Baginda setiap malam di bulan Ramadan sehinggalah selesai Nabi Muhammad SAW memperdengarkan al-Quran kepadanya. Ketika Jibril a.s. datang, Baginda memberikan kebaikan melebihi angin mursalah (yang bertiup atau yang dikirimkan).” [HR Bukhari]
6. MENDENGAR ALUNAN AL-QURAN
Ketika sedang didatangi haid, para wanita masih boleh mendengarkan alunan ayat-ayat suci al-Quran. Disebutkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah r.a.:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَتَّكِئُ فِي حَجْرِي وَأَنَا حَائِضٌ، ثُمَّ يَقْرَأُ القُرْآنَ
Maksudnya: “Nabi Muhammad SAW meletakkan kepalanya di pangkuanku saat aku sedang haid, dan ia membaca al-Quran.” [HR Bukhari]
Sesungguhnya, wanita yang didatangi haid semasa Ramadan tidak terkecuali dalam merebut pahala. Usahakan melazimi amalan-amalan yang disebutkan di atas supaya kita tidak terlepas daripada merasai kemanisan beribadah di bulan Ramadan yang mulia.
Selain berpuasa dan solat, banyak lagi amalan yang boleh dilakukan ketika dalam keadaan haid. Dalam bulan Ramadan misalnya, menyediakan hidangan untuk bersahur dan berbuka puasa juga salah satu cara untuk mendapat pahala. Jadi, usahlah bersedih wahai wanita…