Sambutan hari ulang tahun perkahwinan adalah satu perkara yang “wajib” bagi setiap pasangan suami isteri. Mengikut cara tradisionalnya, makan malam romantik atau “candlelight dinner” sudah cukup tetapi pasangan perubatan ini akan menyambut hari ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-10 di Makkah.
Baru-baru ini, Dr Ahmad Samhan telah memuat naik satu hantaran di Facebook berdedikasi untuk isterinya, Dr Rushaida Zabidi. Beliau berkata bahawa impian isterinya adalah untuk menyambut hari ulang tahun perkahwinan mereka di Makkah serta mengucapkan terima kasih kepada agensi Umrah yang dipilih kerana membantu merealisasikan impian isterinya.
Diilhamkan oleh isterinya, Dr Ahmad mengimbas kembali kepada zaman kesusahan mereka sepanjang 10 tahun berkahwin pada hantaran yang sama.
“Kami diijabkabul di tahun 3 perubatan. Tak mudah berumah tangga ketika masih belajar. Pernah sekali aku betul-betul tak ada duit. Tapi takkanlah dah ada isteri ni aku tergamak nak minta duit belanja dari Abah. Duit aku hanya cukup-cukup beli sepapan telur” luah Dr Ahmad.
“‘Sayang, bulan ni abang mampu beli ni je. Kita makan nasi dengan kicap, telur sebiji kita kongsi ya?’.’Tak apalah, ini pun dah cukup’. Dia masuk bilik ambil marker dan tulis atas telur nombor 1 hingga 30. Tujuan supaya tak masak lebih dari sebiji setiap hari. Aku sebak” jelas beliau.
Dr Ahmad Sahman juga menceritakan kehebatan isterinya menemani dan menjaganya ketika jatuh sakit pada 7 tahun yang lepas.
“7 tahun lepas aku disahkan ada ketumbuhan rahang. Perlu jalani pembedahan besar. Pembedahan ini menjadikan aku manusia bisu. Mulut diikat dengan dawai dan tekak di tebuk. Kaki disimen, minum susu ikut hidung dan kencing melalui tiub. Siksa, Allah saja tahu. Namun, dia tetap setia disisi menemani dan menjaga. Sikit pun tak mengeluh. Dialah yang sentiasa beri kata-kata semangat waktu aku putus harapan. Dialah yang sentiasa memahami dan memberi sokongan penuh setiap apa yang aku lakukan.”
“Di sebalik kehebatan seorang lelaki, ada wanita hebat di belakangnya. Wanita yang telah banyak berkorban. Kerana itu aku berusaha sedaya yang mampu untuk penuhi hasratnya. Nasihat saya untuk suami, hargailah isteri ketika susah dan senang. Jangan lupa pengorbanan dia bila berada di puncak. Layanlah dia sebaik mungkin. Hargai dia. Hari ini dia ada, esok lusa mungkin dia tiada.
Kerana apa yang dia buat untuk kita dan keluarga tiada bandingan” nasihat Dr Ahmad.Hantaran Dr Ahmad Samhan telah menyentuh hati warganet yang sebanyak 23,000 di Facebook. Semoga artikel hari ini memberi manfaat dan inspirasi kepada anda semua. Sayangilah pasangan anda sebelum terlambat.
Terima Kasih.
Sumber: Dr Ahmad Samhan di Facebook