Sedang pelajar lain sibuk mengulangkaji pelajaran, pergi ke kelas tambahan dan membuat study group bersama rakan-rakan sebagai usaha untuk menghadapi peperiksaan STPM, seorang pemuda terpaksa menggalas tugas sebagai ibu dan ayah selepas ibunya dimasukkan ke wad.

Dia terpaksa membawa adiknya yang masih kecil, berusia setehun setengah kapada ketika itu ke sekolah kerana tidak mahu tertinggal tip dan petua dari guru untuk menghadapi peperiksaan tersebut.

Pengakuan pemuda ini telah tular di laman Twitter apabila dia memberitahu bahawa dia terpaksa membawa adik bongsunya berusia setahun ke kelas kerana ibunya dimasukkan ke hospital bagi menjawab soalan seorang pengguna Twitter mengenai benda pelik dan random yang pernah dilakukan demi cinta.

Pemuda berkenaan, Saiful Aiman Jahari berkata, peristiwa itu berlaku pada 2008, ketika dia belajar di tingkatan enam.

Pada waktu itu juga ibunya dimasukkan ke hospital kerana menghidap penyakit kanser hati.

Hanya kira-kira tiga minggu lagi nak STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia), arwah mak saya pula dah seminggu kat wad.

“Arwah mak yang membesarkan kami adik-beradik. Sebelum tu ada saudara dan jiran yang jaga adik, tapi hari tu tak ada pula sesiapa nak jaga adik saya dan agak last minute nak minta bantuan.

“Rugi kalau saya ponteng sekolah sebab cikgu kongsi banyak tip untuk STPM. Jadi, saya tiada pilihan lain dengan membawa adik ke sekolah.”

Ads

Sebagai anak sulung daripada lima beradik, dia berasa bertanggungjawab untuk menjaga adik lelakinya, terutamanya adik-beradik lain yang juga masih bersekolah.

“Saya minta bantuan seorang rakan sekelas dan tumpang dia naik motor. Saya peluk adik yang masih kecil sepanjang perjalanan ke sekolah, saya tawakal je.

“Sampai sekolah, saya berterus-terang kepada guru yang saya terpaksa bawa adik sebab tak ada orang jaga kat rumah, dan Alhamdulillah guru-guru memahami. ujarnya yang kini berusia 33 tahun.

Pemuda yang berasal dari Klang, Selangor ini menyatakan dia bersama seorang rakannya membuat keputusan untuk duduk di meja belakang di dalam kelas.

“Saya duduk kat belakang. Kawan tolong dodoikan dan saya bagi susu. Apabila adik saya tidur, saya letak dia di paha. Saya mengikuti pelajaran seperti biasa.

Ads

“Cikgu siap offer kalau nak tidurkan adik boleh pergi ke makmal komputer kerana di situ ada aircond, lebih sejuk.

“Cuma apabila nak menyusukan adik, saya kena berlari ke makmal komputer,” katanya yang turut membawa sebuah beg mengandungi baju-baju adiknya, lampin bayi, botol dan susu.

Sebagai Abang Long, dia bersama adik-beradik lain diamanahkan untuk menjaga adik bongsu selepas pemergian ibunya ketika usia 45 tahun akibat kanser hati pada 2013.

“Adik bongsu saya dibesarkan tanpa mak dan ayah. Dan mak semasa hayatnya ada berpesan, walau apa pun lepas mak dah tak ada nanti, jaga adik-beradik elok-elok.

Ads

“Sekarang ni adik bongsu umur 15 tahun. Alhamdulillah, dia sangat sopan dan hormat abang-abang dia. Seorang yang mendengar kata,” ujarnya lagi.

Mengimbas kembali, Aiman yang merupakan seorang penerbit bersyukur kerana dengan bantuan guru-guru dan rakan-rakan, dia dapat menjaga adik bongsunya dengan baik sehingga tamat sesi persekolahan pada hari tersebut.

“Risau juga kalau adik saya masa tu menangis dan mengganggu satu sekolah. Alhamdulillah, dia tak meragam hari tu.

“Terima kasih kepada guru-guru dan rakan-rakan saya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Hamzah di Pelabuhan Klang kerana memahami situasi saya ketika itu.

“Saya akui agak stres sebab nak exam, mak pula masuk wad dan adik kecil perlu dijaga. Tapi walau apa pun berlaku, saya perlu utamakan adik-beradik dan keluarga.

“Pada masa sama, pelajaran pun penting juga. Kepada adik bongsu, harap terus menjadi adik yang baik. Jadilah orang yang bertanggungjawab dan utamakan pelajaran,” katanya.

Pengorbanan Saiful dalam menjalankan amanah ibunya ini mengundang sebak di hati para netizen. Ramai yang mendoakannya dan harap agar segala yang dikorbankan demi keluarga akan diberkati oleh-Nya.

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI