“Aafiyah Ada Pilihan Apabila Dewasa” – Siti Nurhaliza Jawab Isu Anak Ikut Jadi Penyanyi

Share

Setiap ibu bapa semestinya mengharapkan anak-anak untuk peroleh kerjaya yang terbaik dan bersesuaian dengan mereka. Termasuklah penyanyi no 1 Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang tidak sesekali menghalang minat Siti Aafiyah Khalid sekiranya permata hatinya itu memiliki bakat menyanyi sepertinya.

Namun, jika diberi pilihan, beliau dan suami lebih berharap Aafiyah menjadi ahli perniagaan atau memilih kerjaya lain di luar bidang seni.

Berasakan bukan senang menjadi seorang artis, Siti bimbang sekiranya Aafiyah tidak mampu berdepan cabaran dan rintangan sebagai pejuang seni.

“Saya sudah melalui segala-galanya selama 26 tahun bergelar penyanyi. Namun, saya bersyukur dijaga oleh ahli keluarga, jadi saya diuruskan dengan baik.

“Jauh di sudut hati, sebagai ibu sudah tentu ada kerisauan Aafiyah mampu atau sebaliknya. Adakah anak saya saya akan hanyut dan sebagainya.

“Itu menjadi kerisauan ibu bapa seperti apa yang dilalui ibu bapa saya.

“Kalau suami nak Aafiyah jadi ahli perniagaan dan meneruskan legasi perniagaan kami, itu membuatkan saya lebih gembira. Bukan senang nak jadi selebriti, tidak seindah disangka, tak seburuk yang diduga,” katanya.

Sejak akhir ini, video memaparkan Aafiyah menyanyi sering dikongsi pengguna media sosial, sekali gus ramai beranggapan si comel berusia empat tahun itu akan mengikut jejak langkah ibunya sebagai penyanyi.

Mengulas lanjut, Siti berkata, Aafiyah mempunyai pilihan sendiri apabila besar kelak.

Katanya, apa yang penting anak sulungnya itu tahu membawa diri.

“Bakat adalah anugerah Allah. Saya pun dapat bakat saya daripada ibu saya. Tinggal sahaja, adakah itu pilihan saya atau pilihan anak saya.

“Sebagai ibu, saya kena menyokong dari segi minat dan bakat Aafiyah. Cuma, Aafiyah ada pilihan apabila dewasa.

“Sekiranya bakat Aafiyah dirasakan luar biasa, tetapi saya percaya paling penting ketahanan mental dan fizikal,” katanya.

Sumber : BH Online