Tanyalah pada setiap pasangan suami isteri tentang keinginan untuk memiliki rumah sendiri selepas berkahwin. Pasti jawapannya semua orang mahu membeli rumah untuk didiami bersama keluarga tercinta malah jika ada rezeki ingin juga ditambah jumlahnya agar boleh dijadikan aset yang bernilai di kemudian hari.
Pun begitu, hakikatnya pembelian rumah adalah suatu pembelian yang memerlukan komitmen yang besar dan perlu dirancang dengan sebaik mungkin. Pokok pangkalnya bukan pada kemampuan kewangan semata-mata tapi lebih kepada perancangan dan pelaksanaan.
Andai kata merancang untuk menangguhkan pembelian rumah kerana ingin melunaskan terlebih dahulu hutang kereta 9 tahun, adakah ini keputusan yang tepat? Jika itu perancangannya, tanyalah dalam diri adakah 9 tahun akan datang anda mampu membeli rumah yang pastinya harganya menjadi jutaan ringgit.
Sewajarnya jika anda telah membeli kereta awal, tak perlu tunggu hutang kereta habis. Anda ada beberapa cara lain untuk beli rumah dan tip ini telah di kongsikan oleh Haristh Faisal di laman facebooknya, semoga memberi manfaat.
1. Kalau masa beli kereta dulu tu, hutang dengan bank nama suami, kali ni usahakan untuk beli rumah dengan nama isteri pula.
2. Kalau isteri surirumah sepenuh masa, mungkin boleh usaha untuk cari kerja tetap pula. Dah ada payslip, senang sikit.
3. Anda belajarlah dulu cara kira kelayakan. Manalah tahu kot-kot masih layak beli rumah dengan gaji sekarang ni.
4. Kalau tak layak rumah teres dua tingkat, beli teres setingkat. Atau apartmen dulu ke. Tak dapat 1,000sqft, yang 700sqft pun okay.
5. Kalau nak harap gaji suami seorang tak layak, gabung saja gaji suami isteri. Takpa. Nanti boleh refinance bila dah sedia.
6. Kalau anda tak dapat simpan deposit rumah sebab kos selenggaraan kereta yang tinggi ya amat, anda mulakanlah hidup berjimat cermat.
7. Tapi kalau dah berjimat kaw-kaw, masih juga tak dapat menyimpan, anda kenalah cari side income. Banyak benda boleh buat.
8. Kalau tak cukup juga duit, buatlah 2 side income. Tak cukup juga, buat 3 side income. Ikutlah tahap pengorbanan masing-masing.
9. Tak beli rumah sebab risau nanti komitmen tinggi? Buat simpanan kecemasan 3 bulan gaji. Risau juga? Upgrade jadi 6 bulan gaji.
10. Kalau dah terbeli kereta bayar RM1,000 sebulan, juallah. Memang harga jatuh pun. Nasiblah. Pakai ja kereta bayar RM400.
“Semoga bermanfaatlah ya. Saya bagi idea saja. Yang nak buatnya anda sendiri juga. Yang penting, isteri kena support suami! Dah tahu suami sedang gigih jimat dan cari duit nak beli rumah, janganlah isteri asyik nak travel dan ajak dia shopping benda tak perlu pula.”
Sumber : Haristh Faisal