“9.30 Malam Dah Masuk Tidur.” Mudah Bangun Pagi, Ayah Ni Kongsi Tip Buat Anak Masuk Tidur Awal. Simple & Berkesan!

Share

Sekolah dah nak buka,  Lepas ni berperanglah ibu-ibu dengan anak-anak yang liat bangun pagi. Apa tidaknya lama duduk dirumah kan. Sudah terbiasa tidur lambat. Jadi Lepas ni nak kena pastikan anak-anak tidur awal untuk memudahkan mereka bangun awal pagi.

Perkongsian saudara Khairul Abdullah bagaimana caranya mengendalikan tiga orang anaknya supaya mudah untuk bangun pagi.Bila buat 3 benda ni saya perasan anak-anak saya mudah sangat bangun pagi.

Anak-anak saya ni kecil lagi, si abang baru nak masuk 5 tahun dan si adik dah 3 tahun. Baby pula baru cecah setahun. Jadi apa yang saya buat ni terpakai untuk anak-anak saya sahaja.

Mungkin untuk anak orang lain tak jadi. Okay begini.

1. Pastikan anak tidur awal.

Ini sangat penting. Anak-anak saya kerah masuk bilik seawal jam 8.00 malam atau paling lewat 8.30 malam kalau di hari persekolahan. Kalau weekend tak apa.

Saya ambil contoh waktu kami tinggal di Jerman, pukul 9.30 malam dah sunyi sepi, budak-budak semua dah tidur. Kata jiran saya, anak-anak kecil perlu tidur awal dan budaya mereka begitu. Sebab tu depa champion kot.

Jadi saya cuba praktikkan.

Saya tutup tv, tutup lampu satu rumah dan ajak naik ke atas dan masuk ke bilik. Dia takde pilihan, nak duduk kat bawah gelap maka dia pun ikutlah.

Masuk bilik rampas gajet dulu. Kalau masuk bilik awal maka saya biarkan sampai setengah jam. Masuk jer 8.30 atau 8.45 saya suruh tutup semuanya. Kalau degil saya rampas.

Kemudian, ajak diorang bersembang dan baca buku atau reka sahaja apa-apa cerita untuk sessi bedtime stories. Selalunya saya suruh diaorang cerita dan kemudian saya sambung.

Lepas tu saya minta salah seorang pergi tutup lampu dan sambung lagi cerita dalam suram-suram tu pulak.

Selalunya jam 9.00 atau 9.30 malam depa dah lelap.

Biasanya dengan saya sekali tertidur. Untung tau.

2. Pastikan anak dah kenyang

Saya akan tanya setiap orang sebelum masuk bilik. Dah kenyang belum? Ada apa lagi nak di makan? Coklat atau benda yang manis tak boleh. Kadang-kadang depa nak jugak, sekali sekala layanlah, selalu tak boleh. Kalau tak memang tak tidurlah jadinya.

Saya biasanya bagi anak-anak dinner pada jam 6.30 – 7.30 malam. Kadang-kadang mandi dulu baru dinner, kadang-kadang dinner dulu baru mandi dan kadang-kadang tak mandi kalau diorang masih hensem dan kacak macam daddy nya.

Bagilah dia main sekejap lepas makan tu kemudian masuk jer jam 8 atau paling lambat 8.30 maka semua kena kerah masuk bilik dah.

Kalau dia tak kenyang, nanti dalam bilik mula dia minta nak makan itu ini. Kalau dia tidur juga nanti lewat malam dia akan terbangun dan meragam sebab kelaparan.

3. Pastikan anak tidur dengan gembira.

Dah masuk bilik semua, pasang lampu kecil (dimmed light). Kemudian main-main, usik-usik dan borak-borak dengan diorang. Lepas tu barulah sessi bedtime stories.

Sambil-sambil cerita sambil usik sambil cuit sambil peluk dan cakap I love you. Pesan-pesan juga supaya jadi anak yang baik.

Saya selalu pesan pada Khaleef supaya jadi abang yang baik. Saya perlukan pertolongan dia sebab mommy dah tak ada. Tolong daddy, tolong adik, tolong baby dan bukannya membuli. Dia akan teresak-esak sambil angguk.

Lepas tu saya peluk semuanya dan cakap saya sayang. Saya cium dahi saya usap kepala dan saya suruh pejam mata dan tidur. Esok kena bangun awal untuk ke sekolah.

Diorang akan balas “goodnite daddy” dan “i love you too” dan berebut nak peluk atau nak baring atas dada.

Layanlah sampai diorang tertidur.

Saya sentiasa bangun malam untuk tukar lampin dan susukan baby. Saya ambil peluang itu untuk cium anak-anak lagi dan cakap saya sayang dan semoga mereka jadi anak yang baik.

Begitulah.

Ini cara saya.

Tak semestinya sesuai untuk semua orang. Sebelum ni cuba juga begitu begini, tetapi tak sesuai untuk saya. Setakat ini dengan cara begini sahaja anak-anak saya dapat bangun dengan mudah dan tidak “moody”.

Kalau tidak jenuh berperang juga nak bangunkan mereka.

Kecuali baby Khaleed lah.

Saya kena jalan senyap-senyap macam ninja supaya dia tak bangun. Maklumlah, kalau dia bangun habis satu kerja pun tak jadi. Tetapi telinga budak kecik ni sensitif betul, bunyi engsel pintu pun dia boleh dengar dan bangun.

Menyampah tau.

Jadi untuk yang ada anak sebaya anak saya bolehlah cuba try test kot-kot menjadi. Kalau tak jadi sila cipta formula sendiri.

Cuba sampai jadi.

KHAIRUL ABDULLAH

#tipsdarisuperdaddy

ARTIKEL MENARIK: Rupanya Ada Tempat Letak Pewangi Dengan Betul, Barulah Satu Kereta Berbau Harum. Ini Caranya!