“8 Tahun Tak Bersama, Kini Giliran Saya Jaga Anak.” Hidup Sudah Lengkap, Fitri Kini Mahu Anak Kuasai Ilmu Fardhu Ain

Share

Tiada yang lebih bermakna bila dapat bersama yang tersayang. Ikatan kasih sayang lebih kuat dan bermakna. Lebih-lebih lagi jika lama berjauhan.

Penyanyi bernama  Fitri Haris atau nama sebenarnya Mohamad Fitri Mohamad Haris,33 mengakui 8 tahun adalah tempoh yang cukup lama yang terpaksa berjauhan dengan buah hati pengarang jantungnya, sofea Solehah,13 tahun.

“Saya sangat rapat dengan anak. Disebabkan dia juga, saya berhenti belajar 5 tahun demi nak menjaga sendiri kerana tak percaya orang luar.   Kebetulan  waktu itu, saya dan bekas isteri masih belajar.

“Jadi saya ambil keputusan untuk jaga sendiri. Yakin anak kita, kita yang kena jaga sendiri. Tak harapkan orang lain.  Saya sambung belajar umur 25 tahun ketika anak dah besar umur 4-5 tahun.

“8 tahun tak bersama kerana sambung belajar dan tahun ini baru balik, memang sukar nak ungkapkan dengan kata-kata. Bila dah dapat bersama semula rasa hidup lengkap.

“Sebelum ini memang selalu berhubung Cuma tak ada sentuhan kulit seperti pelukan, bawa jalan-jalan dan sebagainya dulu tak de, tapi sekarang dah sempurna,”ungkap Fitri lagi.

Sesetengah orang kebahagian mereka di ukur dengan kesibukan kerja tapi penyanyi ini pula sibuk dengan anak itulah bahagia yang sebenar bagi dirinya.

“Dugaan paling mencabar waktu berjauhan dengan anak bila dia sakit. Saya terasa tak tenang kerana berada jauh. Jadi saya minta famili untuk jenguk. Selain itu, saya bertanya khabar dengan hubungi bekas isteri. Mak mentua dan sebagainya. Satu perangai anak saya kalau sakit dia akan cari saya walaupun sakit perut, sakit kepala dan sebagainya.

“Anak saya sejak kecil sudah dibesarkan dengan makanan barat seperti pizza, burger, kentang dan sebagainya. Dia jarang makan nasi, sebaliknya membesar dengan susu, itulah bezanya  orang perempuan dan lelaki jaga anak. Sampai besar anak dah biasa makanan tersebut tapi pada saya yang penting makanan tu halal,”ujarnya lagi.

Sejujurnya sebagai ayah,  Fitri mengakui jarang jumpa anak menyebabkan dia terlalu manjakan anak sehingga menganggap anaknya itu  macam baby.

“Cuma suami pada bekas isteri menyedarkan sesuatu yang  anak saya ini sebenarnya sudah  besar, matang, datang bulan dan sebagainya.

“Jadi, saya tengah belajar layan dia seperti kawan. Tapi  saya masih belajar Cuma tetap nak layan dia macam baby nak kiss dan sebagainya kerana sudah biasa dari dulu.

“Jadi sekarang saya tengah belajar jadi kawan. Saya kurangkan bercakap sebaliknya bertanya jadi  dia banyak bercakap terutama bab sekolah, pelajaran dan juga kawan-kawan dia.

“Selain itu saya pun macam tak percaya kerana dia dah pandai nak melawa. Tapi anak saya akan bertanya terlebih dahulu sebelum buat sesuatu  misalnya pakai baju mesti labuh dan menutup aurat.

“Saya cuba dan masih belajar untuk berkawan dengan anak  serta belajar lebih memahaminya. Saya tak nak menimbulkan rasa rimas padanya  kerana saya sendiri pernah remaja sebelum ini.

Mengulas mengenai status duda yang disandangnya, akui Fitri sekarang dia lebih kepada komitmen, serik atau sebagainya tidak timbul Cuma menjadi lebih memilih.

“Tipu andai saya kata takde orang yang saya suka, tak de orang yang suka saya. Memula okey tapi lama-lama berlaku satu isu yang mana bukan semua orang boleh faham kita yang ada anak dan sebagainya.

“Bukan semua orang nak kita dan kehidupan kita yang boleh jaga nama baik kita dan keluarga. Ada yang mementingkan diri. Alhamdulillah, Allah membantu untuk mengenali  orang sebelum berkahwin. Kalau dah kahwin susah.

“Saya tak letak syarat atau serik tetapi saya lebih kepada melihat kesabaran orang tersebut. tetapi ini bukan bermakna saya mencari yang sempurna.

“Cuma saya berdoa pada Allah ada seseorang yang akan membuka hati saya kerana jodoh itu sudah ditetapkan yang terbaik olehnya. Saya mencari yang faham, terima dan percaya pada saya memandangkan karier saya dalam bidang ini.

Fitri yang juga juara program Gema Gegar Vaganza (GGV) musim kedua, mengakui kini dalam proses mencari sekolah baru untuk anaknya di sekitar Changlun atau Alor Setar, Kedah.

“Saya dan bekas isteri tetap baik jadi bab jaga anak memang sudah lama berbincang. Saya sudah cakap lepas habis belajar mahu jaga anak  dan tunaikan tanggung jawab dalam mendidik benda asas seperti fardu ain, solat dan sebagainya. Jadi sekarang saya mencari sekolah yang bersesuaian.

“Sekarang ini anak saya tinggal di Singapura, jadi kalau tak jumpa sekolah yang sesuai mungkin anak akan tinggal di sana. Tetapi bekas isteri setuju jika anak dijaga oleh saya.

“Tak sabar sebenarnya nak bangun pagi untuk sediakan sarapan, hantar dia ke sekolah dan sebagainya.  Hidup saya ada hala tuju, sebelum ini ada tapi lebih kepada kerjaya tapi sekarang keutamaan adalah anak.

“Inilah impian saya dan jika terlaksana, lengkap lah  sudah,”ujar Ftri sebelum menutup perbualan.