Setiap pasangan suami isteri pasti mendambakan kehadiran insan kecil bernama anak dalam rumah tangga mereka. Usaha, doa tidak putus-putus agar Tuhan memakbulkan rezeki yang satu ini.
Namun Kun Fa Ya Kun, yang berusaha hanyalah insan biasa, penentu segalanya adalah sang Pencipta. Jika belum diberikan rezeki itu, maka reda dan terima dengan hati terbuka. Pasti suatu hari nanti, doa tersebut didengari.
Ternyata benar apa yang Allah janjikan itu. Bagi Noor’adn Muhammad dan suaminya, Mohd Yuhairi Haniff Yoon, 8 oktober yang lalu menjadi momen paling indah dalam hidup mereka.
Penantian mereka selama 13 tahun untuk menimang cahaya mata akhirnya dimakbulkan jua dengan kelahiran seorang bayi yang ‘disimpan’ sejak enam tahun lalu.
Lebih istimewa, zuriat lelaki seberat 3.34 kilogram itu juga melakar sejarah tersendiri apabila menjadi bayi pertama di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu itu dilahirkan menerusi teknik pemindahan embrio, selepas enam tahun ia dibekukan.
Bayi sulung Noor’adn, 38, yang bertugas sebagai guru dan Mohd Yuhairi Haniff, 37, yang bekerja sebagai kontraktor itu selamat dilahirkan secara pembedahan jam 8.38 pagi semalam di HSNZ.
Pengorbanan Noor’adn dalam usahanya untuk mendapatkan zuriat bersama suami bukan calang-calang, apabila dia nekad mengambil cuti tanpa gaji sebaik disahkan hamil Februari lalu, demi menjaga keselamatan kandungan.
Tidak cukup itu, guru di Sekolah Rendah Kampung Baru Serada, Marang itu juga tidak dapat bertemu ibu dan keluarganya di Kelantan, termasuk pada Aidilfitri dan Ramadan lalu kerana enggan mengambil risiko perjalanan jauh, demi memastikan keselamatan kandungan.
Noor’adn berkata, beliau mula menjalani rawatan persenyawaan tabung uji (IVF) di HSNZ sejak 2012, selepas dirujuk dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan.
“Saya sudah beberapa kali menjalani rawatan IVF, namun kandungan keguguran termasuk sepasang kembar pada Julai 2013 ketika usia kandungan 20 minggu.
“Saya mengambil masa lima tahun untuk bertenang kerana trauma keguguran bayi, sebelum memutuskan mahu kembali hamil menerusi teknik pemindahan embrio.
Disember lalu saya mula bertemu doktor dan bersetuju untuk mencuba lagi, namun percubaan itu tidak berjaya.
“Pada 27 Januari lalu saya kembali menjalani prosedur pemindahan embrio kelima yang dibekukan dan Alhamdulillah, Allah mengabulkan doa saya dan suami dan disahkan hamil dua minggu kemudian,” jarnya lagi.
Dalam pada itu, Noor’adn meluahkan rasa syukur dengan kurniaan terindah ini serta mengucapkan terima kasih kepada keluarga, rakan-rakan dan pihak hospital yang banyak membantunya sepanjang rawatan ini.
Allah swt telah makbulkan doa kami. Saya dan suami amat gembira kerana penantian untuk memiliki zuriat selepas 13 tahun berkahwin menjadi kenyataan. Saya juga berharap bayi kami ini membesar dengan sihat.
Sumber: Bernama & Harian Metro