6 Cara Masak Bubur Lambuk Jadi Super Pantas, Sedap Pulak Tu!

Share

Bubur Lambuk sememangnya cukup sinonim dengan bulan puasa. Tak sah rasanya kalau resipi ini tidak muncul ketika bulan puasa. Lambakan bubur lambuk yang dijual di bazaar pastinya tidak sesedap rasanya yang dimasak sendiri di rumah.

Bagaimanapun langkah membuat bubur yang memakan masa agak lama pasti buat kita teragak-agak untuk mencubanya di rumah. Tidak perlu menunggu hari minggu, anda boleh mencubanya pada bila-bila masa sahaja.

Bagaimana cara pantas dan sedap untuk membuatnya? Kena cuba petua ini.

Rendam Beras
Untuk menjadikan bubur lebih cepat dimasak, rendamlah beras terlebih dahulu. Tidak perlukan masa yang lama, 30 minit atau satu jam, itu sudah memadai. Biarkan direndam seketika. Namun pastikan beras dibasuh bersih terlebih dahulu dan kemudian barulah direndam. Tutup dan biarkan.

Guna Periuk Nasi
Selepas direndam, toskan airnya dan masukkan semula air yang banyak ke dalam beras. Masaklah seperti biasa. Petua menjadikan ia lebih senang di masak dan tidak perlukan proses mengacau dengan kerap, anda bolehlah memasak di dalam periuk nasi.

Namun pastikan airnya diletakkan pada kuantiti yang banyak dan tambahkan airnya dari semasa ke semasa. Senang, mudah dan cepat.

Kisar Beras
Anda boleh juga mengisar beras terlebih dahulu sebelum memasaknya seperti biasa. Kisarkan berasnya terlebih dahulu kemudian barulah di basuh bersih dan dimasak seperti biasa. Namun jangan pula dikisar terlalu halus. Biarkan sedikit tekstur pada bubur anda.

Bekukan
Proses membekukan beras juga merupakan salah satu langkah memasak bubur lambuk dengan lebih cepat. Jika anda merancang memasak bubur keesokkan harinya, malamnya basuhlah beras segera dan bekukan di dalam peti ais. Letakkan juga bersama sedikit air. Apabila tiba waktu memasak, masukkan ke dalam periuk, tambahkan sedikit air bersama bahan-bahan lain. Biarkan masak.

Masukkan Semua Bahan
Tak perlu pening kepala, masukkan sahaja kesemua bahan seperti daging, ayam atau udang ke dalam beras yang hendak di masak. Tambahkan sayur seperti biasa seperti kentang dan sebagainya sekaligus. Biarkan direneh bersama-sama supaya rasanya lebih enak dan sebati. Akhir sekali barulah diberikan perasa.

Guna Stok
Mahu rasa bubur yang lebih enak, ada baiknya anda menggunakan stok air rebusan ayam atau daging ketika memasak. Stok ini membantu mengenakkan lagi rasa bubur putih sedia ada. Biarkan ia benar-benar sebati dan mesra, bubur anda pasti lebih sedap.