Ayam pencen atau ayam tua memang menjadi rebutan kita kala menyediakan juadah Rendang Ayam Pencen. Bagi sebilangan orang, rendang dengan menggunakan ayam pencen atau tua ini punya rasa yang cukup enak dan berbeza sekali. Begitu kata sesetengah orang.
Namun memasaknya kenalah harus lebih sabar. Ia bukan sahaja perlu memasak lebih lama berbanding ayam biasa bahkan kena ada caranya untuk memastikan ia dimasak agar jadi lebih sedap berbanding biasa.
Rasa ayam pencen yang liat dan kenyal ini bukan hanya memerlukan masa yang lama untuk lembut tetapi juga perlukan pelbagai teknik sebagai bahan mempercepatkannya. Cuba semua petua ini.
Air Kelapa Muda
Air kelapa memang banyak khasiatnya. Selain sihat untuk badan, air kelapa juga dikatakan mujarab untuk melembutkan ayam pencen. Rebus ayam bersama air kelapa hingga empuk dan kemudian masaklah seperti biasa. Bukan saja lembut tetapi juga sedap.
Lada Hitam
Lada hitam juga dikatakan membantu melembutkan ayam tua ini. Rasa ‘panas’ bertindak lebih cepat melembutkan ayam. Tumbuk sedikit lada hitam bersama halia tua dan rebuslah bersama-sama ayam pencen. Biarkan hingga empuk. Angkat dan toskan airnya. Kemudian bolehlah dimasak seperti biasa.
Tebu
Ketika memasak tebu, masukkan satu ruas keratan tebu ke dalam periuk berisi ayam yang hendak dimasak. Biarkan ia dimasak bersama hingga lembut. Hasilnya ayam lebih cepat empuk dan lembut.
Periuk Tekanan
Teknologi hari ini usah pula diketepikan. Memasak menggunakan periuk tekanan sangatlah membantu kerja-kerja anda. Rebuslah ayam pencen menggunakan periuk ini dan lihatlah hasilnya. Ayam jadi lebih cepat dimasak tetapi juga enak rasanya.
Nenas
Nenas memang banyak gunanya. Kisar buah nanas dan lumurkan pada ayam pencen hingga rata. Biarkan diperap selama satu jam kemudian bersihkan dan masaklah seperti biasa. Nenas yang ‘kuat’ ini membantu lembutkan isi ayam.
Daun Pisang
Selain nenas, daun pisang juga banyak membantu. Semasa merebus ayam, letakkan daun pisang abu dan biarkan direbus hingga sebati dan empuk. Apabila ayam lembut, keluarkan daun pisang dan biarkan dimasak lagi hingga betul-betul empuk.