Tidak lagi diberikan secara percuma, diskaun tol sebanyak 50 peratus akan dilaksanakan sepanjang musim perayaan tahun ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tahun lalu, Kabinet memang memutuskan untuk selaraskan pemberian subsidi supaya lebih tersasar kepada mereka yang memerlukan.
“Jadi, keputusan itu memang tetap dan tak ada lagi pada tahun ini (tol percuma).
“Seperti sedia maklum, minggu lepas Tahun Baru Cina bukan diberi tol percuma tetapi diskaun 50 peratus.
“Disebabkan itu, Aidilditri dan perayaan lain tahun ini kita akan buat diskaun 50 peratus,” katanya ketika lawatan ke lokasi tapak pembinaan jejantas laluan motosikal dan pejalan kaki berhadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Leman, semalam.
Sebelum ini, kerajaan memberi potongan tol 50 peratus sempena Tahun Baharu Cina, dilaksanakan di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara.
Katanya, keputusan itu ditetapkan dalam mesyuarat Kabinet 24 Januari lalu dan membabitkan kerajaan menanggung pampasan RM20.08 juta sebagai pampasan kepada syarikat konsesi tol.
“Semua tol dibiayai oleh kerajaan dan bukan dibiayai syarikat konsesi. Saya berharap rakyat tahu akan perkara ini.
“Kalau tol percuma, kita menggunakan lebih RM 100 juta setahun. Jika diskaun 50 peratus, kira-kira RM 80 juta kerajaan akan bayar kepada syarikat konsesi dan penjimatan ini boleh digunakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan,” katanya.
Sumber: Berita Harian