5 Tip Jaga Mak Ayah Yang Diserang Strok, Tambah Ilmu Dengan Perkongsian Tip Ini!

Share

Kadangkala kita tidak menduga bagaimana ujian yang datang kepada kita. Anak yang sakit, juga mak ayah yang terlantar sakit merupakan ujian buat kita dalam
menghadapi sejauh mana kita bersabar dan bertindak dengan insan terbaik buat orang-orang yang tersayang.

Menjaga mak ayah yang sakit sememangnya satu tugas yang besar namun inilah tanggungjawab yang wajar kita galas dengan sebaiknya. Bukan mengelak daripada
memikul tanggungjawab ini.

Namun bila saatnya diuji dengan mak ayah yang sakit kita panik dan tidak tahu untuk bertindak. Ada baiknya kita tambah ilmu dengan perkongsian Dalin Ali,
yang berkongsi diblog peribadinya mengenai tip menjaga mak ayah yang diserang strok. Jom ikuti tip yang dikongsikannya.

” Lewat tahun 2002, keluarga saya diuji Allah swt dengan ibu saya yang terkena penyakit strok dan sekali lagi diserang pada Julai 2015. Dua kali dilanda
strok Mak masih mendapat belas Ilahi untuk kembali sembuh pada setiap kalinya meskipun tidak 100% pulih.

Pengalaman kami sekeluarga menjaga Mak yang strok ini telah mengajar kami banyak perkara. Tentang kasih-sayang, tentang sabar dan juga tentang redha.
Kadang-kadang Allah swt mendidik hati kita dengan cara yang sangat istimewa. Dan strok adalah salah-satu di antaranya.

Usaha untuk mengubati penyakit strok adakalanya bukan hanya terletak pada ubat-ubatan, barisan doktor atau hospital sahaja. Ia mungkin lebih daripada itu.
Apa kata ikuti 5 tip buat anak-anak yang menjaga ibu atau bapa yang strok ini cebisan dari pengalaman kami menjaga Mak yang strok sebanyak dua kali.

1. Buat Si Dia Tersenyum
Janganlah serius sangat. Kadang-kadang kerana tekanan kerja, kita bertukar menjadi orang lain (seperti Incredible Hulk). Menjaga ibu atau bapa yang strok
memerlukan banyak tenaga, sama seperti waktu mereka membesarkan kita dahulu. Bermula seawal pagi dengan membersihkan, menyediakan makanan, menjadi nurse (memberi ubat) dan menemani mereka sehinggalah ke tengah malam nanti.

Tidak kira betapa letihnya kita dengan urusan seharian, bertukar menjadi anak yang ceria sewaktu menjaga mereka. Senyum waktu pujuk mereka untuk mandi,
makan, ambil ubatan dan bersenam. Kadangkala mereka enggan buat sesuatu kerana terlalu letih dan tidak mahu menyusahkan kita. Ceritakan kisah lucu waktu
kita membesar dan buat mereka ketawa.

Kita mungkin boleh beli supplemen mahal atau bayar hospital terbaik tetapi kita tidak mampu membeli senyuman ibubapa kita. Senyuman ini akan hilang satu
hari nanti jadi lihat live depan mata sewaktu mereka masih ada di dunia ini.

2. Bantu Solat
Perasan tak waktu selepas solat kita akan merasa sangat tenang. Kita ada tempat bergantung harap dan bercerita 24 jam sehari. Begitu juga dengan ibu bapa
kita yang kurang sihat. Mereka kadangkala rasa sedih dan kecewa kerana tidak dapat menguruskan diri sendiri lagi. Kalau dahulu mereka yang mengajar kita
untuk berdiri, rukuk dan sujud, kini sudah tiba masanya untuk kita membantu mereka pula.

Mulakan langkah dengan bantu mereka mengambil wudhuk satu-persatu. Ingatkan langkah solat yang mereka mungkin terlupa (kerana strok memberi kesan kepada ingatan) dan duduk di tepi sehingga selesai. Tidak kira di rumah atau hospital, terdapat banyak cara Islam memudahkan urusan solat ini antaranya solat secara duduk, baring atau melalui kerdipan mata sahaja. Solat dapat memberikan ketenangan hati dan rasa redha kepada ibu bapa kita yang sakit.

Melihat ibu bapa kita bersolat sambil berbaring adakalanya menimbulkan rasa sayu juga. Satu hari nanti sama ada kita atau dia yang akan disolatkan begitu,
tidak tahu siapa yang akan pergi dahulu.

3. Sedekah
Mak selalu kata kalau kita memberi kita akan rasa gembira. Beri kucing yang datang ke rumah makan sehingga kenyang atau tolong orang tua melintas jalan.
Kalau orang tidak ucap terima kasih pun tidak mengapa. Kita memberi supaya Allah sentiasa sayangkan kita. Malah sepanjang hidup Mak dan Ayah pun mereka
sentiasa memberi kepada kita. Memberi pelajaran, kasih-sayang, berkorban masa dan wang ringgit untuk lihat kita bahagia.

Kini waktu mereka sakit semuanya sudah terbatas. Kita sebagai anak boleh membantu dengan mula memberi untuk mereka. Kita mungkin suka memasak, jadi masak dan sedekahkan atas nama Mak Ayah kita. Pandai mengajar boleh beri tuisyen percuma untuk anak-anak dari keluarga yang memerlukan. Bukan hanya wang ringgit boleh diberikan, tetapi kemahiran atau kepakaran kita yang boleh digunakan terus oleh orang lain.

Buat satu rutin khas untuk bersedekah atas nama ibu bapa kita. Sedekah ini memberikan ketenangan hati dan juga sebagai usaha untuk mengubati penyakit
strok yang dihidapi juga.

“Ubatilah orang yang sakit di antara kamu dengan sedekah”.

Hadis Riwayat Baihaqi

Tidak banyak yang dapat kita beri kepada kedua ibu bapa kita sepanjang hayat mereka. Sedekah adalah salah satu hadiah buat mereka yang hasilnya akan
dituai sehingga ke akhirat kelak.

4. Sabar Dan Solat
Walau bagaimana kuat pun kita mencuba, pesakit strok tetap mempunyai kelemahan mereka yang tersendiri. Mereka cepat terasa hati, mudah menjadi marah dan berasakan kita tidak menyayangi mereka lagi. Adakalanya badan yang letih membuatkan hati kita menjadi jauh juga. Kita memang hanya manusia biasa.

Ingat tak kecil-kecil dahulu kita pernah berguling-guling inginkan permainan kesukaan kita? Atau waktu remaja kita pernah melebihkan kawan-kawan
berbanding ibu bapa kita sendiri? Tetapi doa Mak dan Ayah tidak pernah putus buat kita. Mereka sabar dan sentiasa mendoakan kita. Di mana kita berdiri
pada hari ini adalah berkat kesabaran ibu bapa kita dahulu.

Jika hati mula menjauh, mengadulah pada Dia. Menangislah selepas solat tetapi jangan pernah tinggalkan Mak Ayah kita.

Mereka tidak pernah tinggalkan kita waktu kita berguling-guling dahulu. Rasa sakit akibat strok yang dialami mereka hanya Tuhan sahaja yang mengetahuinya.
Kita cuma perlu bersabar dan minta pertolongan dari Dia.

5. Doakan Mereka
Kita mungkin sudah berusaha segala-galanya. Menyediakan rawatan dan jagaan terbaik untuk ibu bapa kita yang terkena strok. Tetapi kuasa menyembuhkan tetap
urusan Ilahi.

Mak atau Ayah akan selamanya menyembunyikan kesusahan dan kesakitan yang mereka alami kerana tidak mahu menyusahkan anak-anak. Selain dari menjaga mereka
dengan sepenuh hati jangan lupa doakan ibu bapa kita setiap hari juga.

Cetak dan baca doa-doa yang tercatat di dalam Al-Quran ini dengan rasa rendah hati dan penuh keikhlasan mudah-mudahan urusan ibu bapa kita akan sentiasa
dipermudahkan.

Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, “”Wahai Tuhanku! Sayangilah keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku pada waktu kecil.

Surah Al-Isra’ : Ayat 24
Ya Tuhanku, ampunilah aku, ibu bapaku, dan siapa pun yang memasuki rumahku dengan beriman dan semua orang yang beriman lelaki dan perempuan.

Surah Nuh : Ayat 28

Ya Tuhanku, berilah aku petunjuk agar aku dapat mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau limpahkan kepadaku dan kepada orang tuaku, dan agar aku dapat
berbuat kebajikan yang Engkau redhai; dan berilah aku kebaikan yang akan mengalir sampai ke anak cucuku.

Surah Al-Ahqaf : Ayat 15

Adakalanya dalam hidup ini, kita akan melalui situasi yang kita sendiri tidak tahu bagaimana untuk menghadapinya. Bukan mudah untuk melihat insan yang
paling kita sayangi seperti Mak dan Ayah dilanda penyakit seperti strok yang membawa pergi senyuman dan sebahagian kekuatan dirinya. Kita juga mungkin
berperang dengan diri sendiri, kerjaya dan pelbagai keperluan dunia yang menunggu kehadiran kita.

Apabila merasa buntu kembalilah kepada Dia. Di situ kita akan bertemu jawapannya.

Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-
tambah, dan menyusuinya dalam usia dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua orang tuamu. Hanya kepada Aku kembalimu.

Surah Luqman: Ayat 14

Mengejar dunia, kita sendiri tidak pasti apa penghujung cerita kita. Mungkin gembira, mungkin juga duka. Tetapi mengejar redha Mak dan Ayah, membolehkan
kita mendapat redha Ilahi.

Adakalanya Dia mengingatkan kita dengan cara yang sangat istimewa.

Strok ini seperti satu peringatan bahawa satu hari nanti kita mungkin akan rindu mendengar Mak dan Ayah memanggil nama kita hanya untuk sekali lagi.

Sumber: Dalin Ali